Ahad, 26 Mei 2019 | 12:37am
DUKUN Kebun, Affizalina Ramatun (kiri) memperkenalkan masakan gulai lemak cili api pisang muda dan isi ikan tongkol dan Dukun Kebun, Ili Farhana Norhayat, (kanan) memperkenalkan Lempeng pisang dan sirap gula merah ketika Bengkel Memasak bersama Dukun Kebun di Rumah Seni Selangor, Petaling Jaya. NSTP/Azhar Ramli

Aktiviti memasak di kampung tarik pelancong

“MEMAHAT di dalam baris, berkata dalam pusaka”. Itu mantera yang diperturunkan oleh Dukun Kebun, Affizalina Ramatun Mohd Sufian, 32, sebelum penulis mengikut program diatur di Janda Baik, baru-baru ini.

Ia mengingatkan supaya apa sahaja perkara yang dilakukan perlu mengikut tertib ditetapkan khususnya ketika menyediakan hidangan warisan tradisional.


AFFIZALINA (kanan) membuat Demonstrasi masakan gulai lemak cili api pisang muda dan isi ikan tongkol pada Bengkel Memasak bersama Dukun Kebun di Rumah Seni Selangor, Petaling Jaya. NSTP/Azhar Ramli

Affizalina Ramatun, berkata dalam masakan tradisional, sebaiknya gunakan resipi asal dan elakkan daripada diganti bahan lain. Kata-kata orang lama itu menunjukkan kalau kita guna bahan asal, barulah cita rasa asli hidangan enak dinikmati.

“Sebagai contoh, kalau ada kunyit hidup, jangan gunakan serbuk kunyit pula kerana rasanya pasti ada beza,” katanya ketika ditemui pada bengkel menyediakan nasi ulam di Studio Pohon Rimbun, Kampung Orang Asli Hulu Chemperuh, Bentong, Pahang, baru-baru ini.

Bengkel yang dianjurkan memberi peluang kepada tetamu di Studio Pohon Rimbun mengenali secara lebih dekat kekayaan serta manfaat hasil alam semula jadi di sekitar perkampungan itu.

Peluang belajar memasak

Bagi resipi nasi ulam, Affizalina Ramatun menggunakan 15 jenis ulam termasuk antara yang sukar ditemui seperti daun putat, daun asam gelugor, gajus, serai kayu, kaduk dan pegaga.


AFFIZALINA (kiri) menunjukkan cara-cara penyediaan Nasi Ulam di Studio Pohon Rimbun, Kg Janda Baik, Pahang. NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria


AFFIZALINA (kiri) menunjukkan Nasi Ulam di Studio Pohon Rimbun, Kg Janda Baik, Pahang. NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Katanya, kebanyakan orang apabila tanam pokok, mereka tidak tahu bagaimana hendak menggunakannya sedangkan ia memiliki khasiat dari sudut perubatan,” katanya.

Selain mengenali pelbagai jenis ulam, peserta juga berpeluang belajar memasak nasi menggunakan bunga telang, serunding ikan tongkol, kerisik dan sambal air. Cukup menyelerakan makan tengah hari dengan nasi ulam sambil berlatarbelakangkan alam semula jadi yang menghijau di bawah pondok yang diperbuat daripada buluh.

Air bunga telang yang dingin menyegarkan tekak dengan pencuci mulut menarik, agar-agar tembikai dan mangga.

Terapi urutan sungai

Selepas makan, peserta dibawa dengan kenderaan pacuan empat roda (4X4) meredah perkampungan untuk mandi-manda dan menjalani terapi sungai yang terletak di dalam kawasan hutan simpan.

Bagaimanapun, tuah tidak menyebelahi kami apabila jalan masuk ke kawasan sungai berkenaan kebetulan ditutup pada hari itu.

Pengusaha dan pemilik Studio Pohon Rimbun, Zainal Abidin Musa, berkata kawasan sungai berkenaan sangat menarik kerana air mengalir deras daripada celah-celah batu yang sesuai sebagai terapi urutan air.

Peserta akhirnya dibawa ke sungai berhampiran iaitu tanah persendirian dimiliki penduduk yang tinggal tidak jauh dari kawasan itu.

Ternyata ia tidak mengecewakan kerana air sungai di sini juga masih menarik dan terdapat beberapa batu dengan aliran air ‘jakuzi’ semula jadi.

Cadang sedia pelbagai aktiviti

Pemilik Studio Pohon Rimbun, Anis Rozalina Ramli, 45, berkata setakat ini dua bengkel sudah dilaksanakan dengan yang pertama bertemakan pisang pada Mac lalu. Pihaknya bercadang menjalankan pelbagai aktiviti lain sebaik pondok utama Studio Pohon Rimbun siap dan beberapa pondok lain juga akan dibina untuk disewakan.

“Tiada jadual ditetapkan untuk menyiapkan pondok ini kerana ia bergantung kepada bajet dan tenaga kerja yang ada. Peserta berpeluang menikmati suasana kampung yang berbeza selain daripada apa yang dilakukan oleh pengunjung di Janda Baik sebelum ini,” katanya.

INFO

Pondok Studio Pohon Rimbun:

- Di bina di tanah lereng bukit

- Keluasan lebih setengah hektar.

- Menggunakan kayu terpakai daripada rumah lama di Raub.

- Bumbung menggunakan atap genting terpakai yang dicuci semula.

*Aktiviti bakal dijalankan:

- Bengkel masakan tradisional

- Bengkel melukis

*Jarak dari Kuala Lumpur ke Studio Pohon Rimbun:

- Satu setengah jam

Berita Harian X