Isnin, 1 April 2019 | 11:03am
PENANTIAN, dugaan berakhir ketika puncak gunung tertinggi di Malaysia berjaya ditawan.

Air mata syukur di Gunung Kinabalu

Perjalanan enam ahli Misi Kinabalu bermula sebaik sahaja pesawat yang di nakhoda oleh Kapten Rahim selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 4 Mac lalu.

Misi dirancang sejak 2018, akhir menjadi kenyataan selepas Taman-aman Sabah menetapkan tarikh pendakian pada 5 dan 6 Mac lalu, sekali gus memberi peluang kepada kami untuk menakluki Gunung Kinabalu, antara puncak tertinggi di Asia Tenggara yang memiliki ketinggian 4,095 meter atau sejauh 8.7 kilometer dari Timpohon Gate.

Misi yang mendapat tajaan dan sokongan akhbar BH, BG Capital Holdings Sdn Bhd, Onemyr Awareness Management, Onemyr Holdings Sdn Bhd dan Lekir Ideas & Creative itu, turut disertai tiga wartawan BH.

Bertemankan dua malim gunung berpengalaman, Harris Gimbad dan Ivnur Sondig, kami memulakan pendakian meneroka laluan ke puncak Gunung Kinabalu yang menjadi tumpuan pendaki tempatan dan luar negara.

Sebelum memulakan pendakian, kami dimaklumkan mungkin berlaku masalah air di Panalaban, iaitu tempat persinggahan di ketinggian 3,272 meter dari aras laut, berikutan ketiadaan hujan sejak tiga minggu lalu.

Justeru, kami dinasihatkan membawa bekalan air lebih oleh malim gunung.

Panalaban adalah hentian baharu selepas Laban Rata ditutup berikutan kerosakan teruk akibat gempa bumi pada 2015. Semua pendaki yang ingin ke Low's Peak, perlu bermalam di sini, sebelum meneruskan pendakian pada jam 2.30 pagi.

Terdahulu, pada sesi taklimat, pendaki diminta memaklumkan malim gunung mengenai tahap kesihatan mereka, bagi memudahkan aspek pemantauan, selain sebagai langkah berjaga-jaga.

Antara penyakit yang tersenarai, tekanan darah tinggi, kencing manis, obesiti, asma kronik, penyakit jantung, arthritis, anemia teruk, ulser peptik, sawan, kekejangan otot dan hepatitis. Justeru, pendaki perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum memulakan pendakian mereka.

Diiringi bacaan doa, kami memulakan pendakian dengan menuruni 70 anak tangga dari Timpohon Gate dan seterusnya menyusuri laluan hampir mendatar menuju ke Carson Fall.

Namun, air terjun itu hampir kering akibat ketiadaan hujan. Kami seterusnya diuji dengan laluan batuan bertangga yang dibentuk berdasarkan bentuk muka bumi dan akar pokok hingga ke kilometer (KM) 4, sambil melewati beberapa pondok perhentian, bermula Kandis, Ubah, Lowii, Mempening, Layang-Layang, Villosa, Paka dan Waras sebelum tiba di Panalaban.


HARRIS memberi penerangan mengenai laluan menuju ke puncak Gunung Kinabalu.

Kelajuan pendakian sebenarnya bergantung kepada stamina, ketahanan mental dan semangat pendaki.

Seperti yang diterangkan oleh Harris, pendakian fasa pertama adalah santai bagi memberi peluang kepada kami untuk merakam gambar serta mengelak 'pancit' bagi meneruskan pendakian ke puncak pada awal pagi keesokan harinya.

Keadaan suhu yang agak sejuk dan bekalan oksigen yang semakin menipis memberi kesukaran kepada pendaki yang menghidap asma, tetapi dengan teknik pernafasan yang betul, selain latihan dan bekalan ubat-ubatan yang cukup, seorang ahli kumpulan kami berjaya tiba di Panalaban dengan selamat dalam tempoh sembilan jam.

Pendakian dianggap mencabar sebaik sahaja melepasi KM4, kerana keadaan suhu yang semakin sejuk, selain laluan yang semakin menegak, berbatu dan curam dengan gaung di kiri dan kanan, sekali gus amat menduga ketahanan mental dan fizikal pendaki.

Jika tersilap langkah, pendaki berisiko tinggi mendapat kecederaan dan sudah pasti menjejaskan peluang untuk meneruskan pendakian ke puncak.

Kami bermalam di Lemaing Hostel yang diuruskan Taman-Taman Sabah dan bersiap sedia untuk memulakan pendakian ke puncak pada jam 2.20 pagi menuju ke stesen Sayat-Sayat.

Semua pendaki perlu melepasi pusat pemeriksaan itu sebelum jam 5 pagi, jika sebaliknya, mereka tidak dibenarkan ke puncak.

Selepas menikmati hidangan malam, di Laban Rata Resthouse, kami berehat menantikan waktu untuk bergerak ke Sayat-Sayat.

Suhu yang rendah menyukarkan kami untuk melelapkan mata, namun ini tidak mematahkan semangat untuk menakluk puncak.

Selain memakai pakaian dan kasut sesuai, Harris memaklumkan kami supaya memakai topeng kerana ketiadaan hujan menyebabkan laluan ke puncak amat berdebu, berikutan Gunung Kinabalu terbentuk daripada terobosan tektonik batuan Igneous berusia lapan juta hingga 15 juta tahun lalu, ia boleh membahayakan kesihatan pendaki.

Difahamkan, perjalanan kami ke puncak mengikut laluan baharu, susulan gempa bumi pada 2015, tetapi tetap ia menyajikan pemandangan indah di sekitar puncak Kinabalu yang dilitupi awan putih, ala 'cotton candy'.

Serpihan bongkah dari puncak Tunku Abdul Rahman yang mengorbankan nyawa pada 2015 masih 'tersergam' indah dan boleh dilihat jelas ketika pendaki menuruni puncak dari laluan 'anak tangga 1,000'.

Walaupun dibelenggu kesejukan, berbekalkan sisa kudrat selepas mengharungi tangga dan kemudiannya bertali di laluan batuan curam yang berbahaya.

Akhirnya tiga daripada kami tiba di puncak ketika jarum jam menghampiri waktu enam pagi, diikuti dua lagi pendaki. Seorang lagi pendaki tidak meneruskan pendakian ke puncak, kerana masalah kesihatan.

Yang pasti, air mata kegembiraan gugur ketika kami tiba di puncak selepas menempuh perjalanan yang panjang sebagai mensyukuri peluang menikmati keajaiban ciptaan Allah SWT.

Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan kami apabila berjaya memenuhi impian untuk menawan puncak Gunung Kinabalu.


LALUAN menuju ke puncak Gunung Kinabalu.

Info

Gunung Kinabalu

* Puncak tertinggi di Malaysia

* Ketinggian 4,095 meter

* 178 kemalangan/ kecederaan di Gunung Kinabalu (2018)

* 8 kes penipuan (cedera untuk dibawa turun ke Timpohon Gate) membabitkan lima pendaki tempatan dan tiga pendaki luar negara pada 2018

Berita Harian X