Isnin, 27 Ogos 2018 | 10:22am
TASIK Bosten. - Foto NSTP

Daun teratai berkilau emas di Tasik Bosten

TASIK Bosten terletak 57 kilometer ke timur laut Korla, Xinjiang bagaikan ‘syurga’ bagi penduduk di wilayah yang dikelilingi padang pasir Gobi itu.

Bosten yang bermakna oasis dalam bahasa Ughur, menjadi tumpuan penduduk menghabiskan cuti musim panas dengan bermain air dan menaiki bot menyusuri tasik terbesar di Xinjiang.

Musim panas adalah masa terbaik bersantai menyaksikan bunga teratai berwarna putih dan kuning berkembang memenuhi permukaan tasik

Pada musim luruh pula, rumpai air berwarna kuning dengan daunnya memancarkan cahaya keemasan dan bunganya putih berseri.

Bukan saja berfungsi sebagai lokasi percutian keluarga, tasik itu juga dipenuhi ikan air tawar yang bukan saja menarik perhatian kaki pancing tetapi sumber rezeki penduduk seluruh wilayah itu.

Malah rumput rampai yang tumbuh di tasik itu juga digunakan sepenuhnya oleh penduduk setempat untuk dijadikan kraftangan yang memberikan pendapatan sampingan.

Rombongan wakil media yang dibawa Majlis Penerangan Negeri China dan Penerangan Wilayah Otonomi Xinjiang, tiba ke tasik berkenaan selepas menempuh perjalanan selama dua jam dari Bohu County, Korla.

Sebaik tiba, kami dibawa ke jeti yang turut terletak deretan bangku kayu dilengkapi payung, menghidangkan pemandangan santai mirip tepi pantai.

Bot kayu menyusur tasik


bot kayu menyusuri Tasik Bosten di Xinjiang. - Foto NSTP

Berkeluasan kira-kira 1,000 kilometer persegi, tasik itu memaparkan keindahan alam semula jadi dengan rumput tinggi yang berwarna kuning pada musim panas muncul dari permukaan air.

Kami dibawa menyusuri tasik selama hampir sejam dengan menaiki bot kayu dihiasi ukiran seakan awan larat yang membelah tenang air sambil sesekali melalui rimbunan rumput di sepanjang tasik.

Perjalanan terhenti di sebuah jeti dengan binaan pelantar dua tingkat yang besar. Beberapa pokok teratai kelihatan tidak bermaya di permukaan air di bawah jeti dan sekali sekala kelihatan anak ikan bermain di celahnya.

Pelantar dua tingkat yang dibina daripada kayu, menempatkan pangkin panjang dan meja bersantai sambil menikmati pemandangan sekeliling tasik.

Dari tingkat dua, pemandangan tasik saujana mata memandang tanpa tepian dengan tiupan angin cukup mendamaikan.

Di sebelah daratan terbentang rumput menguning seakan bendang dengan papan tanda besar memaparkan perkataan ‘LOVE’ dan sebuah pondok kecil. Ramai cuba mengambil gambar swa foto berlatar belakangkan perkataan berkenaan yang menimbulkan suasana romantik.

Gadis jelita meratap kematian kekasih

Agak melucukan apabila ramai juga yang bergambar di sebuah pondok kecil seakan bangsal dengan laluan pejalan kali diperbuat daripada simen kerana bentuknya menarik, tanpa menyedari sebenarnya hanya sebuah tandas!

Pelantar di tingkat dua itu sesuai untuk berehat sambil menghirup udara nyaman dari pergunungan Tianshan yang melatari tasik berkenaan.

Di sebalik keindahannya, tasik Bosten menyimpan legenda asal usulnya yang menjadi buah mulut penduduk tempatan.

Asalnya kawasan semak yang luas tetapi dipenuhi air mata seorang gadis jelita meratapi kematian kekasihnya, dikenali sebagai Bosten, selepas berlawan dengan dewa hujan yang jahat.

Kisah cinta sedih pasangan itu diabadikan dengan memberikan nama tasik berkenaan sebagai Tasik Bosten.

Burung juga banyak berhijrah ke tasik ini pada musim luruh untuk menangkap ikan manakala pada musim dingin, tasik ini bertukar menjadi kawasan meluncur yang luas.

Berita Harian X