Ahad, 24 Jun 2018 | 5:20pm
DI kilang memproses buah pir yang akan dieksport ke Eropah dan Asia. - Foto Nstp
DI kilang memproses buah pir yang akan dieksport ke Eropah dan Asia. - Foto Nstp
PEMANDANGAN malam di Sungai Swan,Korla. - Foto Nstp
PEMANDANGAN malam di Sungai Swan,Korla. - Foto Nstp

Korla kota padang pasir yang subur

SEBAIK keluar dari lapangan terbang Korla, Xinjiang, angin kencang berserta pasir halus menyapa wajah, kawasan sekeliling suram kelihatan seakan-akan diselubungi jerebu tebal.

Korla, ibu kota Wilayah Autonomi Bayingolin Mongolia, terletak di atas padang pasir kedua terbesar di dunia, Taklimakan, pernah menjadi laluan sutera yang melahirkan budaya barat.

Selepas makan tengah hari, dalam ribut pasir dan suhu agak sejuk kira-kira 22 darjah celsius, wakil media yang dibawa Majlis Penerangan Negeri China dan Penerangan Wilayah Otonomi Xinjiang Uyghur, meneruskan perjalanan ke Dragon Mountain Park.

Tempat ini adalah taman tema di atas bukit Longshan yang asalnya gondol tetapi ditanam pelbagai pokok seperti populous dan red pillow.

Bandar buah pir

Usaha menghijaukan taman seluas 64.7 hektar itu dijalankan sejak 1994 oleh seorang bekas askar, Wong Chen Pang, 82, dan diteruskan kerajaan tempatan sehingga hari ini.

Ribut pasir menyebabkan kami terpaksa meneruskan lawatan ke kebun buah pir Awati tanpa sempat menerokai kawasan hutan simpan itu.

Ternyata Korla subur walaupun bandar ini terletak di atas padang pasir kerana kebun buah hidup segar dan menghasilkan tanaman bermutu selain manis rasanya.

Justeru, tidak hairan bandar ini juga digelar sebagai bandar pir dan buah di sini menjadi hidangan wajib ada di atas meja makan hotel atau bilik untuk tetamu, selain anggur dan pisang.

Pokok pir hidup subur kerana faktor cuaca, selain menerima cahaya matahari yang lama serta jenis tanah yang kaya mineral.

Pengeluar hasil pertanian terbesar

Mengikut penduduk tempatan, pir di sini banyak khasiatnya terutama untuk kesihatan paru-paru khususnya melegakan masalah batuk dan selesema.

Ladang itu juga menjadi antara pengeluar dan pengimport pir di Korla ke negara Asia dan Eropah dengan jumlah import kira-kira 60 tan setahun.

Penulis sempat bertemu penduduk etnik Uyghur, Musa Ali dan isterinya, Hanip Han yang menikmati kehidupan baharu hasil penempatan semula oleh kerajaan di pangsapuri No 49.

Kehadiran penulis dan 20 wakil media diraikan dengan hidangan tradisional Uyghur seperti nasi polo, pir, pisang dan aneka kuih-muih yang turut disediakan jiran lain.

Musa yang juga peladang pir dan kapas sebelum ini, beliau gembira tinggal bersama etnik lain seperti Mongolia di situ.

Menyusuri sungai dengan bot berhias

Keindahan bandar Korla terserlah di sebelah malam dengan menyusuri Sungai Peacock yang dibina sepanjang 10 kilometer dengan bot hiasan diukir cantik boleh memuatkan kira-kira 30 penumpang.

Sepanjang sungai, pengunjung berpeluang menyaksikan keindahan lampu berwarna-warni yang menghiasi bangunan.

Tebing sungai dilengkapi empat taman dan lima jambatan serta pokok bunga lili sepanjang laluan pejalan kaki menjadi tempat tumpuan pelancong mahupun penduduk tempatan, menjadikan gurun dalam suasana taman.

Pengarah Biro Taman, Sun Xin Ming, berkata pada Disember, burung angsa dari Siberia berhijrah ke kawasan tasik di sungai berkenaan.

Di kawasan yang membentuk tasik, pengunjung dihidangkan dengan pertunjukan air pancut dengan lampu yang menarik.

Walaupun Korla berada di padang pasir, destinasi ini cukup menarik dijadikan destinasi pelancongan budaya, makanan malah pertanian.

Info

Bandar Korla, Xinjiang:

- Terletak 200 kilometer ke arah barat daya dari Urumqi.

- Suhu gurun yang sejuk ( −7.0 darjah celsius sehingga 26.4 darjah celsius)

- Etnik: Mongol, Uyghur, Han, Kazak, Hui, Kirgiz, Xibe, Tajik, Uzbek, Tatar, Daur, Manchu dan Russia.

1. Waktu operasi bot:

9.30 hingga 11 malam

2. Harga tiket - RM18 (RMB30)

3. Barangan yang tidak dibenarkan di bawa:

- Pemetik api

Berita Harian X