Sabtu, 16 Jun 2018 | 5:14pm
ALI dan motosikal kesayangannya, Merlin.

"Afrika, tunggu kami datang"

KUALA LUMPUR: Ali dan motosikal kesayangannya, Merlin, bakal menambah satu lagi bab dalam buku catatan pengembaraan mereka dengan mengunjungi Benua Afrika, bermula September depan.

Ali atau nama sebenarnya Mohd Shahrul Zaim Jamil, mula dikenali selepas kisah pengembaraan bersama Merlin, nama jolokan motosikal buatan British jenis Triumph T110, yang dibinanya sendiri tersebar dan diraikan di media sosial.

Pada 2016, mekanik berusia 37 tahun itu berjaya `mengotakan janji' kepada Merlin untuk membawa model buatan tahun 1956 itu pulang ke tempat kelahirannya, di kilang motosikal Triumph, yang terletak di Hinckley, Leicestershire, United Kingdom.

Dalam perjalanan itu, Ali menunggang Merlin, yang berkapasiti 650cc sejauh 24,000 kilometer selama hampir lima bulan, menggunakan jalan darat dari bengkel miliknya di Seremban.

Untuk pengembaraan Benua Afrika, Ali akan ditemani isterinya, Latifah Rosli, 36, yang akan menunggang motosikal BMW GS Rally 2017, diberi nama panggilan 'Janie'.

Menambah rencah pengembaraan kali ini, putera kesayangan pasangan itu, Muhammad Triumph Ziqri, berumur satu tahun yang dinamakan sempena jenama motosikal kesayangan Ali, turut dibawa bersama.

Anak jati Palong, Negeri Sembilan itu berkata, Benua Afrika satu tempat yang amat menarik dan mencabar, dengan pelbagai latar budaya, bahasa, tradisi dan warna penduduk.

"Saya merancang jika boleh untuk tinggal bersama mereka, supaya saya boleh mengalami sendiri bagaimana mereka menempuh rutin harian mereka," katanya kepada NSTP ketika ditemui.

Ali berkata, setiap kilometer yang dilalui memberi peluang untuk menyaksikan keindahan syiar Islam dan kebesaran Allah SWT.

"Setiap kali mengembara, saya jadikan ziarah masjid atau surau antara misi saya, kali ini tidak terkecuali. Saya ingin bertemu dengan komuniti Islam di setiap negara yang bakal saya lawati," katanya.

Mengikut perancangan, Ali dan isterinya akan menunggang merentasi 10 buah negara di benua yang berkeluasan 30 juta kilometer persegi itu untuk tempoh enam bulan hingga tujuh bulan.

Antaranya, Afrika Selatan, Mali, Congo, Libya, Kenya, Zimbabwe dan Kepulauan Madagascar, sebagai destinasi terakhir kembaranya.

Ditanya apakah perkara yang paling berharga dalam pengembaraannya, pemilik akaun Facebook dengan nama Ali Klasik Garero itu dengan ringkas menjawab 'sahabat'.

"Saya mempunyai lebih 200 sahabat di seluruh dunia, terutama dari negara yang pernah saya kunjungi. Sampai sekarang kami masih berhubung, kami sering bertanya khabar dan berkongsi pelbagai kisah harian kami," katanya.

Selepas benua Afrika, Ali merancang untuk mengembara ke benua Amerika Selatan dan sudah pasti, Merlin akan terus setia menemani sepanjang perjalanannya.

Berita Harian X