Ahad, 27 Mei 2018 | 1:47pm

Belon panas Cappadocia

DUA perkara yang harus dilakukan apabila sampai di Turki ialah merasai pengalaman menaiki belon udara panas dan merendamkan kaki di kolam garam Pamukkale, dikatakan mengandungi kalsium dan karbon dioksida yang tinggi.

Kebiasaannya untuk menaiki belon udara panas, pelancong terpaksa ke Cappadocia kerana di situ ditempatkan stesennya, sebelum mendarat di Pamukkale, begitu sebaliknya.

Bagi Sufami Nordin kunjungannya ke Turki bersama keluarganya baru-baru ini, nyata memberikan kepuasan kerana teringin untuk terbang dengan belon udara panas, sejak melihatnya di Putrajaya beberapa tahun lalu.

"Apabila diberitahu pakej yang kami beli mengandungi trip menaiki belon udara panas, hati melonjak kegembiraan seakan tidak sabar ingin mencubanya.

"Lebih teruja apabila melihat sendiri belon yang bakal membawa kami sekeluarga di depan mata.. akhirnya impian tercapai," katanya.

Salji memutih

Sufami berkata, ketika matahari mulai terbit, jurupandu menerbangkan belon setinggi kira-kira 700 meter (m) melintasi kawasan berbukit yang diselaputi salji, manakala tiup angin sepoi-sepoi bahasa.

"Walaupun penerbangan mengambil masa 45 minit, sudah cukup memadai. Melihat matahari terbit begitu mengasyikkan. Ditambah pula pemandangan salji yang memutih di atas bukit-bukau.

"Paling manis apabila mendarat di Pamukkale, kami diberikan sijil penerbangan sebagai cenderamata dan diraikan bersama kru," katanya.

Rombongan dibawa ke kolam Pamukkale kira-kira setengah jam perjalanan dari tapak pendaratan.

"Pada mulanya kami tertanya-tanya juga buat apa datang ke kawasan bukit berkenaan, bukan

ada tempat menarik.

Kolam garam cergaskan badan

Namun, selepas diberitahu kolam garam bukit, apa lagi, kami terus menyerbu sebaik saja bas berhenti.

"Masing-masing tidak sabar mahu merendam kaki dengan air garam bukit berkenaan, lebih-lebih lagi diberitahu oleh pemandu pelancong khasiatnya menyegarkan badan," katanya.


MERENDAM kaki dalam kolam garam bukit yang dipercayai mengandungi banyak khasiat.

Teroka bandar purba

Selain itu, sehari berada di Cappadocia, mereka turut menyusuri kehidupan warganya yang tinggal di bawah tanah suatu ketika dahulu dan kini dijadikan muzium.

"Menarik susun atur ruang penginapan seperti rumah di atas tanah.

Begitu juga peralatan yang digunakan seperti pinggan mangkuk tersusun rapi.

"Kami sempat singgah ke Acropolis iaitu bandar purba di Pergamon.

Binaan bangunannya teratur mengimbau kenangan pengunjungnya.

"Kami menaiki feri untuk menyeberangi bandar Dardanelles di Cankkale. Di situ, sempat singgah menyaksikan kuda Trojan yang terkenal pada zaman Troy suatu ketika dahulu," katanya.

Bagi yang pernah ke negara dengan jolokan Eropah Asia ini, tidak akan lengkap jika tidak mengunjungi Masjid Sultan Ahmed (dikenali sebagai Masjid Biru) dan seni bina bersejarah, Hagia Sophia.

"Masjid Biru simbol kejayaan Islam ketika zaman pemerintahan Khalifah Uthamaniyyah Turki. Sempat bersolat di dalam masjid terkenal dan terbesar di Turki ini.

"Singgah di Besiktas kerana ia bukan sahaja menempatkan beberapa pusat beli-belah terkenal seperti Metrocity Shopping Centre, sebaliknya turut menyimpan sejarah tamadun Islam era Uthamaniyyah.

"Di setiap bandar yang dilawati terdapat patung Mustafa Kemal Ataturk yang juga bapa Revolusi Turki" katanya.

Satu lagi lokasi yang menjadi kemestian pengunjung ke Istanbul Naval Museum (Turkish-Istanbul Deniz M?zesi), iaitu dipamerkan persenjataan zaman khalifah Islam hingga moden, deretan meriam gergasi dan kapal.

"Bagi yang mahu membeli cenderahati Kapalocarsi tempat paling sesuai untuk barangan berkualiti.

"Selepas hampir 12 hari berada di bumi Uthamaniyyah, selesai menikmati sarapan pagi, anggota rombongan bertolak ke Lapangan Terbang Ataturk untuk pulang ke Kuala Lumpur," katanya mengakhiri perbualan.

INFO

  • Kolam Pamukkale di Denizli-selain menjadi tarikan pelancong untuk merendam kaki di kolam garam, turut mempunyai nilai arkeologi.
  • Cappadocia dikenali sebagai 'Bumi Lanskap Bulan' kerana keunikan muka buminya dan menjadi lokasi penggambaran filem "Empire of the Wolves", "Ghost Rider II", "Istanbul Aku Datang! dan "Manisnya Cinta di Cappadocia".
  • Turki bermulanya keagungan kerajaan Islam hingga tersebarnya agama suci ini ke Eropah ketika pemerintahan Khalifah Uthamaniyyah.
  • Menaiki feri di Selat Bosphorus menyemarakkan lagi percutian pasangan yang berbulan madu.
  • Dataran Besiktas dan Dataran Taksim menyimpan seribu macam kenangan sejarah Turki dari dahulu hingga permodenannya.
Berita Harian X