MENGAMBIL semangat Sultan Mehmed Al-Fatih atau digelar 'Sultanate Mehmed the Conqueror' yang menawan Kota Constantinople sekali gus meroboh keegoan Kerajaan Rom, Datuk Hasan Nawawi berjaya menyudahkan perjalanan solo ke sempadan Turki - Bulgaria.
Sejak menyambung kayuhan dari Taksim, Istanbul Isnin lalu, beliau menamatkan perjalanan sejauh 260 kilometer untuk sampai di Edirne, bandar kelahiran Al Fatih, Khamis lalu.

Sepatutnya dalam jarak berkenaan, Wira Daratan ini hanya mengambil masa tiga hari sahaja, namun terpaksa melanjutkan sehari kerana laluan berbukit hingga 45 darjah dari Silivri ke Leluburgaz.
"Beberapa kali saya terpaksa turun dan menolak basikal kerana laluan berbukit berkenaan terlalu panjang antara tujuh ke 12 kilometer, meletihkan apabila berkayuh.
"Ini ditambah pula suhu sejuk 10-12 Celsius di waktu tengah hari dan jauh mendadak ke lapan darjah Celcius menjelang senja. Ia menyebabkan saya terpaksa berehat apabila melihat hotel di bandar kecil di laluan," katanya kepada BH.

Katanya, keadaan menjadi rumit apabila suasana terlalu gelap dan terpaksa mengharapkan lampu suluh untuk menerangi jalan, manakala suhu dingin hingga mencengkam ke tulang.
"Pengalaman lalu, kalau kita tetap berkayuh akan menyebabkan keletihan yang melampau dan cepat dahaga. Jadi, saya tidak mahu mengambil risiko sekiranya meneruskan perjalanan ke lokasi yang ditetapkan. Jalan terbaik, berehat di mana sahaja," katanya.

Hasan berkata, ketika berehat di Istanbul, beliau sempat bersama-sama rakyat Turki menyambut Hari Kebangsaan ke-94 negara berkenaan.
"Sambutan sama seperti di Malaysia, hanya berbeza rakyat Turki amat kagum dengan ikon revolusi mereka, Mustapha Kemal Ataturk. Rata-rata mereka memegang potret Presiden pertama mereka sambil membawa bendera Turki.
"Persembahan pancaragam rakyat mereka di dalam perbarisan hari kebangsaan itu menyemarakkan semangat kecintaan dan kemerdekaan terhadap negara Turki," katanya.

Beliau berkata, ketika ingin menyambung perjalanan ke Edirne selepas berehat menikmati teh panas di sebuah stesen minyak, tayar depan basikalnya pancit terkena paku.
"Mujur saya membawa tiub gantian dan peralatan lain. Dalam masa lima minit masalah dapat diselesaikan dan saya kembali berkayuh.
"Ketika 40 kilometer menghampiri bandar Edirne langit tiba-tiba gelap sedangkan waktu baru 4 petang. Saya terpaksa menambah kekuatan bagi mempercepatkan perjalanan.

"Syukur selepas hampir sejam setengah bertarung tenaga, saya tiba di bandar berkenaan jam 5.45 petang dan terus mencari hotel untuk berehat," katanya.
Hasan mengambil keputusan untuk berehat sehari di Edirne memandangkan hanya 20 kilometer untuk tiba ke pintu sempadan Svilangrad.
"Ketika di Edirne, saya sempat mengambil foto dan video patung Al-Fatih bersama meriam gergasinya, Masjid Jamek Selimiye yang dibina pada 1575 oleh arkitek Sinan, patung jurutera terkenal era Empayar Uthamaniyyah, itu turut dibina bagi mengenangkan jasanya.

"Ketika berjalan di sekitar Edirne, saya tertarik dengan kata-kata semangat Sultan Mehmed yang tertera di patungnya. Seakan memberi nafas baru untuk saya menamatkan misi kayuhan solo.
"Ketika berkayuh di Timur Turki, terdapat kawasan pertanian berskala besar, tidak kurang kawasan barat Turki terdapat ladang gandum yang luas, sayup mata memandang. Teringat akan saya kawasan menghijau di Malaysia, betapa indahnya bumi bertuah ini," katanya.
Hasan sudah memasuki Bulgaria melalui Svilangrad dan akan mengayuh sejauh 400 kilometer di negara berkenaan.
"Selain Svilangrad, saya akan melalui bandar Dimitrograd, Plovdiv dan Sofia, sebelum sampai ke pintu sempadan Serbia. Saya menjangkakan enam hari bakal menamatkan kayuhan di Bulgaria sebelum memasuki jirannya, Serbia," katanya.
