Isnin, 2 Oktober 2017 | 9:58pm

Cuaca panas batasi kayuhan Hasan

KUALA LUMPUR: Bukan calang-calang orang mampu melakukannya, sebaliknya hanya mereka yang memiliki semangat kental, berdisiplin dan berani mampu menamatkan misi sukar dengan kejayaan.

Bagi bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman, 63, kejayaan melakarkan sejarah berbasikal mengelilingi dunia pada 2001 memberi inspirasi kepadanya untuk melakukan kayuhan solo membabitkan lapan negara Balkan, bermula 21 September lalu.

"Berbekalkan semangat dengan #warga emas, jantung emas, misi kayuhan solo kali ini membabitkan Iran, Turki, Bulgaria, Serbia, Bosnia, Croatia, Slovenia dan berakhir di Itali.

"Misi kayuhan solo ini untuk menimbulkan minat serta semangat orang muda menyertai aktiviti sebegini kerana jika pesara seperti saya mampu melakukannya, kenapa tidak mereka.


PENJUAL buah tembikai bersama cucunya sempat bergambar dengan basikal Hasan ketika beliau singgah melepaskan kepenatan berkayuh. - Foto Hasan Nawawi

PAPAN tanda menunjukkan had laju di lebuh raya di Tehran. - Foto Hasan Nawawi

"Kayuhan sebegini bukan saja menyihatkan tubuh badan, malah memberi semangat baharu kepada kita untuk mempelajari budaya penduduk di negara yang kita kunjungi," katanya kepada BH.

Hasan yang pernah digelar Wira Daratan atas kejayaan berbasikal mengeliling dunia dahulu berkata, beliau memulakan kayuhan solo kali ini di Tehran, Iran dengan meredah padang pasir yang kepanasannya mencatat 40 darjah Celsius.

"Begitu memenatkan serta mencabar mental saya. Ditambah pula kawasan yang dilalui agak berbukit, kering kontang, malah sesetengahnya tiada tempat untuk berteduh.

"Kayuhan kali ini banyak dilakukan pada awal pagi hingga tengah hari dan berteduh di bawah jambatan hingga jam 3 petang, kemudian meneruskan kayuhan hingga jam 8 atau 9 malam. Di tengah malam pula, tidak boleh berkayuh kerana cuaca sejuk yang melampau di samping penjenayah berkeliaran," katanya.


MENIKMATI kebab selepas menempuh perjalanan panas terik sejauh 50km di sebuah R&R di lebuh raya di Tehran. - Foto Hasan Nawawi

KHEMAH tempat Hasan bermalam. - Foto Hasan Nawawi

Bekas Pegawai Daerah Port Dickson itu berkata, pada hari pertama lagi, beliau sudah 'dicabar' penduduk Tehran yang suka memandu laju walaupun dalam keadaan jalan raya yang sesak.

"Pada masa sama mereka (pemandu) suka melanggar isyarat lampu merah, hinggakan kecut perut saya apabila menghampiri laluan simpang empat.

"Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini saya terpaksalah memberi laluan kepada mereka, sebelum saya meneruskan perjalanan di bahu jalan.

"Ketika cuba mengayuh hingga jam 10 malam dengan hanya berbaki 30 kilometer ke bandar Qhazvin, polis menasihatkan saya supaya tidur di kawasan rehat kerana bahaya kenderaan laju (120 km/j) dan mungkin ada penyamun pada waktu malam.


HASAN sempat meminta kenalannya, Hasyim mengabadikan fotonya berlatarkan bukit pasir. - Foto Hasan Nawawi

HASAN bersama penunggang pasukan Iran, Hasyim yang menunjukkan jalan di sekitar Tehran. - Foto Hasan Nawawi

"Mahu atau tidak saya memasang khemah di situ, malangnya apabila dibuka, rupanya tiang-tiang khemah putus talinya. Kesalahan besar saya kerana tidak memeriksa khemah cukup atau peralatannya.

"Akhirnya tiada pilihan saya guna khemah sebagai alas dan tidur dalam kesejukan. Sebagai langkah keselamatan saya ikat semua beg dan kunci basikal di tepi saya," katanya.

Beliau berkata, masalah lain yang dihadapi apabila penduduk Iran tidak pandai berbahasa Inggeris hingga menyukarkannya bagi mencari arah jalan.

"Apabila ditunjukkan peta arah ke Qhazvin - Takestan - Hashtrut - Zanjan - Tabriz - Marrand - Maku untuk sampai ke sempadan Turki, mereka juga tidak mengetahuinya.


HASAN sempat membeli buah kurma dan delima sebagai bekalan sepanjang perjalanan. - Foto Hasan Nawawi

HASAN sempat berehat di bawah jambatan bagi mengelakkan cuaca panas yang melampau. - Foto Hasan Nawawi

"Saya bernasib baik apabila bertemu seorang penunggang basikal pasukan Iran, Hasyim, 20-an yang sudi membantu kerana secara kebetulan mahu ke Qhazvin. Saya mengekorinya dari belakang," katanya.

Bagi warga Malaysia, mereka dibenarkan berada di Iran tanpa visa selama 14 hari, bagaimanapun pada hari ke-13 perlu meninggalkan negara berkenaan bagi mengelakkan dikenakan tindakan pihak berkuasa.

Hasan berkata, selepas menghabiskan baki kayuhan 30 kilometer ke Maku iaitu sempadan Iran-Turki, beliau kini memasuki negara dua benua Asia-Eropah itu.

"Saya memasuki Turki jam 3 petang (waktu tempatan) selepas menjalani pemeriksaan dan urusan imigresen. Saya menyambung kayuhan 25 kilometer untuk sampai ke bandar Dogubayazit untuk berehat seketika.

"Pada masa sama, saya akan mengabadikan foto dan video di bandar ini, di samping melakukan urusan berkaitan sebelum menyambung misi keesokannya," katanya.

INFO

Nama: Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman

Umur: 63 tahun

Pekerjaan: Pesara kerajaan

Jawatan:

•Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)

•Datuk Bandar Ipoh

•Pegawai Daerah Kuala Kangsar

•Pegawai Daerah Port Dickson

Pencapaian:

•Diiktiraf Malaysia Book of Records bersama adiknya, Ahmad Ridzuan sebagai rakyat Malaysia pertama berbasikal mengeliling dunia sejauh 26,565 kilometer selama 389 hari.

•Sembilan kali berjaya menakluk puncak Gunung Kinabalu.

Hobi: Berbasikal, bermain futsal, berenang, mendaki gunung.

Ikuti perkembangan kembara Datuk Hasan Nawawi yang akan disiarkan dari semasa ke semasa menerusi BH Online.

Berita Harian X