Selasa, 12 September 2017 | 10:46pm

Gadis OKU pendengaran cari kepuasan mengembara

KEKURANGAN diri tidak melemahkan semangat Hafiza mencari kepuasan melihat negara orang.

Wanita ini mengetepikan kekurangan diri demi mencari kepuasan peribadi dengan melakukan aktiviti pengembaraan dan meneroka negara luar.

Mengalami masalah pendengaran sejak berusia empat tahun, Hafiza Abdul Rahim tidak mahu perkara itu menjadi penghalang untuk dirinya melihat dan merasai suasana di negara asing selain negara sendiri.


BERSELFIE dengan kangaru di Perth

"Saya lambat bertutur dan doktor mendapati yang kedua-dua telinga, terutama telinga kanan rosak teruk.

"Bagaimanapun, saya mengenakan alat pendengaran di bahagian telinga kiri dan mampu berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan bercakap serba-sedikit berdasarkan pergerakan bibir.

"Memang sukar namun saya tidak jadikan penyakit ini sebagai alasan untuk saya keluar melihat dunia," katanya.

Mesra disapa dengan panggilan Fieza, minat untuk mengembara dan melancong timbul sejak tahun 1996 tatkala mengikut arwah bapanya yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangkok, Thailand.


BERDIRI di belakang bangunan yang unik dan cantik, Universiti Ehwa Seoul.

"Kali pertama menaiki kapal terbang, perasaan teruja yang dirasai membuatkan saya berazam untuk kerap melancong.

"Sepanjang tinggal di sana, arwah bapa juga kerap membawa saya berjalan-jalan di beberapa tempat menarik dan pergi ke Chiang Mai, Ayutthaya, Hatyai dan Phuket.

"Perasaan meneroka tempat orang sememangnya memberikan rasa puas yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," katanya.

Fieza yang kini bertugas sebagai pembantu tadbir berkata, emak saudaranya juga mempengaruhi minatnya untuk kembara ke luar negara.

Bersama-sama emak saudaranya itu, dia bercuti ke Korea, China dan Indonesia.


BERSAMA rakan kembara yang juga pekak di Siem Riep

Pembacaan kisah pengembaraan menerusi beberapa blog dan catatan travelog sejak lima tahun lalu turut membangkitkan keberanian Fieza untuk mengembara sendirian.

"Seoul, Hong Kong, Macau, Jepun, Bangkok dan Perth antara lokasi yang pernah diterokai sendiri tanpa menggunakan pakej.

"Travelog, Backpackers Buddies Malaysia (BBM) dan buku kembara antara medium yang digunakan sebagai rujukan setiap kali merancang perjalanan," katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik ini mengakui, kekurangan yang ada pada diri kadangkala menyukarkan perjalanan kembara, namun dia lebih gemar memandang positif apa juga insiden yang berlaku.

"Ketidakupayaan bertutur serta kekangan memahami Bahasa Inggeris bukan penghalang untuk mengembara.

"Selalunya sebelum memulakan perjalanan, saya akan muat turun aplikasi 'translate', Google Maps dan pengangkutan seperti 'subway' untuk melancarkan aktiviti.

"Saya guna telefon pintar dan menulis di nota untuk memudahkan komunikasi dan bertanya kepada rakan-rakan lain yang berpengalaman," katanya.

Ramai orang awam dan penduduk setempat yang ditemui banyak membantu melancarkan perjalanannya sepanjang kembara.

Fieza pernah mencari masjid, namun tidak menemuinya tetapi penduduk setempat membantu menunjukkan arah bagi memastikan dirinya sampai ke destinasi yang dituju.

"Bagaimanapun, ada juga insiden pahit di mana rakan kembara yang juga pekak hampir dilanggar bas di Macau semasa kami berkejar ke jeti untuk menaiki bot kembali ke Hong Kong.

"Memang menakutkan jika diingat kembali apatah lagi kami tidak mengambil insurans perjalanan sepanjang bercuti di sana.

"Pengalaman itu memberikan pengajaran kepada kami untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan dan paling penting, pengambilan insurans kembara adalah mandatori sebelum ke luar negara," katanya.

Hingga kini, Fieza sudah mengembara di 15 negara dan pengalaman terindah yang pernah dialaminya ialah ketika berada di Turki.


MENGEMBARA ke Turki dan menaiki belon panas di Cappadocia adalah kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan.

"Mengembara ke Turki dan menaiki belon panas di Cappadocia adalah kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan.

"Saya berharap dapat menemui dan berkongsi pengalaman dengan rakan kembara seperti saya.

"Mereka yang normal, jika menemui pengembara seperti kami, diharap anda banyak bersabar, bertolak-ansur dan bekerjasama dengan 'travel mate' OKU," katanya.

INFO

  • Hafiza Abdul Rahim

  • Asal: Alor Setar, Kedah
  • Kerjaya: Pembantu Tadbir
  • Pendidikan: Sijil Kemahiran Malaysia (Sekolah Menengah Pendidikan Khas Shah Alam, Selangor)
  • Berita Harian X