Jumaat, 1 September 2017 | 12:21am
RUMAH Sufi yang terletak di Blagaj, Mostar, Bosnia. - Foto ihsan Shuhada Mansor
BERLATARBELAKANGKAN bandar Izmir, Turki. - Foto ihsan Shuhada Mansor
'BERKAWAN' dengan haiwan ternakan di ladang zaitun di Urla, Izmir, Turki. - Foto ihsan Shuhada Mansor
SHUHADA ketika menjadi sukarelawan di ladang zaitun di Urla, Turki. - Foto ihsan Shuhada Mansor

5 bulan jelajah Balkan dengan hanya RM3,000

TUBUHNYA kecil molek tetapi Shuhada Mansor, 30, adalah pengembara wanita solo tegar yang berjaya menjelajah negara Balkan dalam tempoh lima bulan berbekalkan RM3,000 sahaja.

Minat mendalam menjelajah dunia menyebabkan Shuhada dari Guar Chempedak, Gurun, Kedah, sanggup meninggalkan kerjaya wartawan pada Mac lalu, semata-mata mahu mengejar impian mengembara mengelilingi dunia.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu mula mengembara secara solo pada 2011 apabila beliau terpaksa terbang ke Kemboja seorang diri selepas rakannya membatalkan pengembaraan dirancang atas sebab tertentu.

"Tuhan menciptakan dunia ini luas untuk kita teroka dan belajar apa yang ada di tempat orang lain," katanya.


SHUHADA dan pemandangan seluruh bandar Sarajevo, Bosnia. - Foto ihsan Shuhada Mansor

TANAH Perkuburan Shahid 'Sehidsko Mezarje Kotezi' di Sarajevo, Bosnia. - Foto ihsan Shuhada Mansor

Minggu lalu, Shuhada baru sahaja menamatkan pengembaraannya ke negara Balkan selama lima bulan bermula akhir Mac lalu.

Dalam tempoh itu, Shuhada mengunjungi Turki, Serbia, Bosnia Herzegovina Montenegro dan Bulgaria, namun apa yang menakjubkan ialah dia hanya mengeluarkan kos kurang RM3,000 untuk mengembara.

"Saya bekerja sukarela untuk mengurangkan kos," katanya merujuk beberapa kerja sukarela dilakukannya untuk menampung perbelanjaan di negara Balkan.

Ketika di Turki, Shuhada bekerja di ladang organik dan pemilik ladang zaitun itu memberikan dia tempat tinggal serta makanan sebagai balasan.


PEMILIK ladang zaitun, Sibel (kiri) serta dua lagi sukarelawan dari Poland dan Itali. - Foto ihsan Shuhada Mansor

SUASANA di Eminonu, Turki ketika musim luruh. - Foto ihsan Shuhada Mansor

Shuhada menyifatkan dirinya pengembara 'nomadic' iaitu pengembara yang tidak tinggal lama di satu tempat.

Ini berbeza dengan pengembara Barat yang meluangkan masa antara tiga hingga lima tahun di sesetengah lokasi.

Mengulas pengalaman ketika mengembara di Balkan, katanya, pengalaman mengunjungi Sofia iaitu ibu negara Bulgaria memberi kenangan indah kepadanya.

"Saya menaruh impian ke Sofia sejak umur 13 tahun. Pengembaraan ke Bulgaria umpama mimpi menjadi kenyataan, selain bertuah dapat pergi ke negara Balkan yang banyak sejarah seperti Bosnia.


SHUHADA bersama pengembara dari Australia, Abby ketika melintasi sempadan Bosnia - Montenegro di Crna Gora, Montenegro. - Foto ihsan Shuhada Mansor

MASJID Banya Bashi, terletak di tengah bandar Sofia, Bulgaria. - Foto ihsan Shuhada Mansor

"Tidak semua pengalaman dilalui indah kerana saya nyaris diragut pemandu teksi di Izmir di selatan Turki," katanya.

Namun, pengalaman itu bukan paling mengerikan yang pernah dialami. Sebelum ini, dia terpaksa bermalam seorang diri di lereng bukit di antara Katmandu dan Pokhara, Nepal kerana bas dinaikinya rosak.

"Pemandu bas dan penumpang tempatan lain meninggalkan saya di tepi lereng bukit itu seorang diri. Saya tidak tidur sepanjang malam hingga menaiki bas lain pada keesokannya.

"Menjadi pengembara solo perlu ada keberanian, selain mendapat sokongan dan restu keluarga serta rakan. Saya bercadang membukukan pengalaman menjelajah negara Balkan tidak lama lagi," katanya.

Berita Harian X