Jumaat, 4 Ogos 2017 | 12:07am
SEBAHAGIAN pengunjung menikmati juadah masakan kampung Melayu Pattani sambil berendam kaki di dalam air sungai di Castella Cafe, Kampung Padang Stang Mukim Kerunai, Gerik, Perak.- Foto Balqis Jazimah Zahari
SEBAHAGIAN pengunjung menikmati juadah masakan kampung Melayu Pattani sambil berendam kaki di dalam air sungai di Castella Cafe, Kampung Padang Stang Mukim Kerunai, Gerik, Perak.- Foto Balqis Jazimah Zahari

Menjamu selera di atas air

GERIK: Menjamu selera sambil kaki terendam dalam kedinginan air sungai yang jerih dan dingin pasti mengujakan.

Ditambah pula, menu masakan berasaskan ikan tempatan seperti tenggalan, kelabau, sebarau dan talapia yang dibakar, dimasak lemak serta ulam-ulaman bersama pelbagai sambal pasti mengiurkan.

Itulah tarikan istimewa Castella Cafe di Kampung Padang Stang, Mukim Kerunai di sini, yang beroperasi di gigi air Sungai Beruk sehingga berjaya menggamit pengunjung dari dalam dan luar negara.

Idea dan konsep luar biasa kafe terletak kira-kira lapan kilometer dari pekan Gerik itu ternyata menarik minat ramai, terutama pelancong 'backpacker' dan pencinta alam yang menginginkan kelainan dalam pengembaraan makanan.

PENGALAMAN makan sambil berendam kaki dalam air sungai di Castella Cafe, Kampung Padang Stang Mukim Kerunai di Gerik, pasti sukar dilupakan. - Foto Balqis Jazimah Zahari
PENGALAMAN makan sambil berendam kaki dalam air sungai di Castella Cafe, Kampung Padang Stang Mukim Kerunai di Gerik, pasti sukar dilupakan. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Pastinya, pengalaman menikmati masakan kampung yang enak ditemani bunyi deruan air sungai yang dingin akan mencipta kenangan terindah kepada setiap pengunjung.

Pemilik kafe, Mohd Isa Mohammed Ramli, 44, atau lebih popular dipanggil Tok Janggut, berkata beliau cuba mengetengahkan kelainan dengan menampilkan konsep santai dan berkelah ketika menjamah hidangan.

"Konsep kafe ini yang beroperasi sejak dua tahun lalu tercetus mungkin kerana di sini sudah ada segala-galanya, hasil ikan yang banyak, sungai yang bersih, jernih dan nyaman.

"Jadi saya mahu cipta kelainan. Sesiapa yang datang ke sini boleh menikmati makanan sambil mandi-manda," katanya ketika ditemui BH.

Mereka yang ingin ke kafe itu, katanya, perlu menempah melalui telefon atau aplikasi WhatsApp sekurang-kurangnya seminggu lebih awal bagi memudahkan penyediaan tempat dan hidangan.

Pelanggan boleh menikmati 10 jenis menu mengikut pelbagai pakej yang disediakan, bermula dari harga RM100 bagi keluarga kecil atau RM150 bagi keluarga besar.

"Kami banyak menggunakan ikan sungai dan menyediakan masakan bangsawan Melayu Pattani. Antara menu istimewa adalah ikan bakar, ikan sungai masak lemak, tujuh jenis ulam-ulaman bersama pelbagai sambal.

"Ada juga nasi lemang dan pekasam. Makanan akan dihidangkan di atas meja yang diletakkan dalam sungai dan pengunjung boleh makan sambil merendam kaki dalam air seberapa lama yang mereka mahu," katanya.

Mohd Isa berkata, hasil kelainan konsep yang ditonjolkan itu mendapat sambutan ramai sehingga beliau mampu memperoleh jualan kasar mencecah RM50,000 sebulan.

"Jika hari biasa, ada antara 10 hingga 12 keluarga datang ke sini dan jumlah itu meningkat kepada 30 keluarga pada hujung minggu. Kebanyakan pengunjung dari luar Gerik, termasuk Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

"Ada juga pelancong asing seperti dari Amerika Syarikat, Kazakhstan, Korea dan England yang datang untuk mencuba kelainan, makan juadah tradisional di gigi air," katanya.

Beliau juga bersedia menerima dan bekerjasama dalam penganjuran program berbentuk pelancongan atau siri jelajah yang mahu menjadikan kafe itu sebagai lokasi jika tempahan dan atur cara dimaklumkan lebih awal.

Menceritakan pengalamannya ketika mula mengusahakan kafe yang beroperasi dari jam 11 pagi hingga 6 petang itu, Mohd Isa berkata, pada peringkat awal perniagaannya, beliau melalui pelbagai halangan dan cabaran.

PEMILIK Castella Cafe, Mohd Isa Mohammed Ramli.- Foto Balqis Jazimah Zahari
PEMILIK Castella Cafe, Mohd Isa Mohammed Ramli.- Foto Balqis Jazimah Zahari

"Ada yang tuduh saya berniaga secara haram kerana lokasi kafe ini di tepi sungai. Ramai juga tidak bersetuju kerana bimbang air sungai tercemar.

"Bagi mengekalkan kebersihan dan keselamatan kafe, saya upah pekerja untuk pantau pelanggan dan keadaan sekeliling sepanjang masa.

"Kami juga tidak bertangguh membersihkan meja, mengutip sampah dan sisa sebaik pelanggan selesai makan," katanya yang mempunyai 12 pekerja di kafe berkenaan.

Pengunjung dari Negeri Sembilan, Mohd Helmy Moktar, 36, berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk merasai kelainan dengan membawa keluarga singgah beriadah di situ.

"Kafe dengan konsep sebegini adalah idea yang sangat 'segar' apabila dapat makan di tepi sungai. Biasanya selepas berendam akan berasa lapar, jadi memang seronok apabila ada tempat sebegini," katanya.

PENGUNJUNG mandi-manda dalam air sungai yang jernih dan segar selepas puas menikmati makanan kampung yang disediakan di Castella Cafe, Kampung Padang Stang Mukim Kerunai, Gerik, Perak. - Foto Balqis Jazimah Zahari
PENGUNJUNG mandi-manda dalam air sungai yang jernih dan segar selepas puas menikmati makanan kampung yang disediakan di Castella Cafe, Kampung Padang Stang Mukim Kerunai, Gerik, Perak. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Pengunjung dari Kuala Kangsar, Norsyaznee Eryanty Mohd Azuni, 25, teruja untuk datang mencuba sendiri selepas mendapat tahu mengenai kafe berkenaan yang viral di media sosial.

"Memang santai dan menenangkan dapat makan sambil rendam kaki dalam air yang sejuk dan dapat dengar bunyi air sungai mengalir, ditambah pula masakan kampung dan sambal yang menyelerakan.

"Saya pasti datang lagi dan akan mencadangkan kepada ramai kawan untuk turut mencuba," katanya.

INFO:

  • Kafe dibuka bermula jam 11 pagi hingga 6 petang
  •  

  • Mempunyai 12 pekerja
  •  

  • Menawarkan pakej set menu yang diberi nama seperti Tenggalan 2 Beradik, Kelabau, Kelabau+Ayam, Sebarau dan Talapia.
  •  

  • Menyediakan pelbagai menu tambahan seperti pelbagai masakan seperti ayam masak kari, rendang, masak merah dan sup serta daging masak rendang Pattani, masak hitam, kari dan sup sakai.

Castella Cafe

  • Pakej set menu diberi nama menarik seperti Tenggalan 2 Beradik, Kelaba, Kelaba+Ayam, Sebarau, Trapia, Sup Sakai.
  •  

  • Menu tambahan seperti ayam masak kari, rendang, masak merah, sup, daging masak rendang Pattani, masak hitam, kari.

Berita Harian X