Sabtu, 16 Julai 2022 | 3:28pm
Karakter Toga lakonan Yayan antara watak diminati penonton dalam filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan. Foto Ihsan Studio Kembara Sdn Bhd
Karakter Toga lakonan Yayan antara watak diminati penonton dalam filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan. Foto Ihsan Studio Kembara Sdn Bhd

Terus gegar, Mat Kilau kaut RM80 juta

KUALA LUMPUR: Filem epik mega, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan terus melonjak apabila jualan tiket meningkat lebih RM80 juta selepas 25 hari ditayangkan di pawagam di seluruh negara, Singapura dan Brunei.

Berkongsi data terbaru jualan tiket, pengarah, Syamsul Yusof bersyukur filem mengangkat kisah kepahlawanan Mat Kilau terus disokong rakyat Malaysia.

"Izin Allah, Alhamdulillah terima kasih penonton! Masanya sudah tiba, industri filem Malaysia perlu bangkit.

"Pada yang memberi komen positif untuk filem saya, syukur dan terima kasih. Saya amat terharu dan hargai anda.

Filem epik mega arahan Syamsul capai jualan tiket lebih RM80 juta selepas 25 hari tayangan. Foto Ihsan Studio Kembara Sdn Bhd
Filem epik mega arahan Syamsul capai jualan tiket lebih RM80 juta selepas 25 hari tayangan. Foto Ihsan Studio Kembara Sdn Bhd

"Kepada mereka yang mengatakan filem saya kali ini 'sampah' atau lemah, saya terima dengan berlapang dada. Ini kerana tidak wujud sebuah filem yang sempurna," katanya kepada BH Online.

Syamsul berjanji mahu terus fokus dan membawa industri perfileman tempatan ke peringkat yang lebih baik biarpun terlalu banyak kelemahan dalam sektor itu.

Dakwa Syamsul, apa yang dikatakan kelemahan itulah yang 'membunuh' industri dan pengkarya filem.

Sehubungan itu, katanya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), pembikin filem dan kerajaan, perlu membaiki kelemahan yang ada.

"Ayuh ikhlas dalam perjuangan ini!" katanya.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang diterbitkan Studio Kembara Sdn Bhd diterajui Datuk Adi Putra yang menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.

Filem itu disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As'ari (Yassin).

Tidak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Namron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Berita Harian X