Isnin, 13 Januari 2020 | 11:49pm
Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi. - NSTP/Azhar Ramli
Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi. - NSTP/Azhar Ramli

'Dapat kenalkan Upin & Ipin di Hollywood cukuplah'

KUALA LUMPUR: Filem animasi Upin dan Ipin : Keris Siamang Tunggal gagal terpilih dalam senarai lima calon akhir kategori Filem Animasi Terbaik, Anugerah Akademi 2020.

Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi memberitahu, keputusan panel penilaian anugerah berprestij itu sudah dijangka.

“Sedari awal lagi saya sedar bukan mudah untuk menjadi calon top 5 Oscar. Tapi kita boleh berbangga kerana sudah berada pada tahap itu. Untuk menjadi calon akhir apatah lagi menang, memang sulit.

“Bayangkan, filem animasi dari China berjudul Ne Zha yang menjadi fenomena di seluruh dunia pun gagal bolos calon Top 5,” katanya kepada BH Online.

Poster menarik filem Upin & Ipin.
Poster menarik filem Upin & Ipin.

Penganjur Anugerah Akademi 2020 malam tadi mengumumkan lima calon akhir kategori Filem Animasi Terbaik iaitu How to Train Your Dragon: The Hidden World, I Lost My Body, Klaus, Missing Link dan Toy Story 4.

Biarpun tidak terpilih, Burhanuddin bangga Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal membuka mata pemerhati filem antarabangsa serta menyuntik semangat penggiat seni tempatan untuk menghasilkan karya bermutu.

“Apa yang pasti filem kami sudah berada dalam arkib penganjuran anugerah ini,” katanya yang ketika ini berada di Bangkok, Thailand.

Tambah Burhanuddin, bukan mudah terpilih sebagai lima calon akhir Oscar.

“Orang luar tak tahu sebenarnya calon awal setiap filem dinilai 300 juri,” katanya yang mengaku saingan cukup sengit apatah lagi bagi syarikat penerbitan yang tidak mempunyai jaringan di Hollywood.

Sebelum ini, Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal mencatat sejarah apabila menjadi filem animasi tempatan berjaya menempatkan diri dalam senarai 32 calon awal kategori Filem Animasi Terbaik, Anugerah Akademi 2020.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X