Selasa, 5 November 2019 | 10:05pm
PENGALAMAN membesar tanpa bapa banyak membantu Kaka menghayati watak Zharfa. - NSTP/Aziah Azmee

Zharfa sentuh emosi Kaka

PETALING JAYA: Pengalaman kehilangan bapa ketika berusia 10 tahun, banyak membantu penyanyi dan pelakon, Kaka Azraff menghayati watak ketika membintangi filem Zharfa.

Kaka atau nama lengkapnya, Noor Atiqa Noor Azraff, 30, berkata, filem kolaborasi dua negara itu membawanya mengimbau pengalaman membesar tanpa bapa, sekali gus membantu lakonannya lebih ‘hidup’.

“Saya dilayan dengan baik sepanjang dua minggu menjalani penggambaran di negara jiran. Pihak produksi di sana juga banyak membantu saya mendalami watak dengan baik.

“Biarpun filem itu tidak mempunyai kaitan dengan kisah hidup saya, keperitan membesar tanpa bapa membantu saya melakonkan karakter Zharfa sebaik mungkin.

“Saya memberikan sepenuh komitmen untuk penampilan sulung di layar perak, apatah lagi ia membabitkan produksi dua negara. Saya juga diminta melakonkan babak aksi sendiri, namun dengan pemantauan produksi,” katanya.

Filem garapan sutradara Ruli Wanizar itu bukan sekadar menyajikan hiburan, malah turut menyalurkan mesej positif. Zharfa bakal ditayangkan di 35 pawagam bermula 7 November ini.

Biarpun sedang berpantang selepas melahirkan cahaya mata sulung, Aslan Adam pada 16 Oktober lalu, Kaka tetap komited menjayakan promosi filem itu.

“Tempoh berpantang masih berbaki 20 hari, namun saya tetap memberikan komitmen untuk promosi filem ini, terutama menerusi media sosial,” katanya.

Selain Kaka, Zharfa turut menampilkan Donny Alamsyah, Betari Ayu, Benny Ruswandi, Shelomita, Piet Pagau dan Anindi Zharfa sebagai pelakon.

Berita Harian X