Selasa, 22 Oktober 2019 | 1:20pm
CHACHA dan Nadzmi membintangi filem Anak Perjanjian Syaitan yang akan mula ditayangkan, lusa. Foto Rosdan Wahid

Rezeki 100 pawagam

KUALA LUMPUR: Filem seram, Anak Perjanjian Syaitan bakal ‘menggegar’ 100 pawagam di Malaysia, Brunei dan Singapura apabila mula ditayangkan, lusa.

Penerbit Screen Studios Sdn Bhd, Saifulhaq Anani memberitahu, jumlah pawagam yang melebihi sasaran cukup menggembirakan lebih-lebih lagi mereka masih baharu dalam industri perfileman.

“Saya harap dengan tayangan di 100 pawagam, filem Anak Perjanjian Syaitan akan memberi kepuasan kepada penonton.

“Kami difahamkan, penambahan pawagam adalah permintaan pemamer iaitu pemilik panggung wayang berdasarkan maklum balas diterima selepas majlis tayangan perdana, baru-baru ini,” katanya kepada BH Online.

Filem seram arahan Helmi Yusof itu menampilkan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Azlan Komeng dan Sahronizam Noor.

Saifulhaq berkata, pada mulanya, Skim Wajib Tayang (SWT) menetapkan Anak Perjanjian Syaitan akan ditayangkan di 80 pawagam.

Tambahnya, syarikat sedang berunding untuk membawa filem berkenaan ke Indonesia.

“Kami sudah mengemukakan cadangan kepada pemamer di Indonesia dan sedang menunggu maklum balas mereka,” katanya.

Anak Perjanjian Syaitan berkisar kisah Cikgu Zaidy lakonan Nadzmi dan isterinya, Azlinda (Chacha) yang tidak memiliki anak biarpun sudah tujuh tahun berkahwin. Puan Rahmah (Jasmin), iaitu ibu Zaidy, sentiasa mendesak mereka untuk segera menimang cahaya mata.

Tidak tahan dengan sikap ibu, Zaidy membawa isterinya berpindah ke kawasan terpencil yang juga kampung kelahiran arwah bapanya. Di sana, mereka menghuni sebuah rumah yang tidak pernah didiami, sejak lima tahun lalu.

Berita Harian X