Isnin, 7 Oktober 2019 | 12:39pm

Geran angkat seni tempur silat Melayu

KUALA LUMPUR: Sejak akhir-akhir ini, genre aksi menjadi antara pilihan utama kaki wayang apatah lagi dengan lambakan filem luar negara termasuk seni pertempuran luar seperti tempur bebas (MMA) dan tomoi Siam.

Nama besar seperti Tony Jaa dan Ako Uwais terus mengumpan ribuan peminat filem genre aksi ke pawagam dan berjaya meraih kutipan pecah panggung dalam semua filem lakonan mereka.

Namun, tidak ramai penerbit filem negara ini berani mengetengahkan seni bela diri nusantara iaitu silat sebagai elemen utama dalam filem mereka, seperti yang dilakukan produksi filem Geran.

Mana tidaknya, filem Geran yang bakal menemui penonton Khamis ini, mengambil langkah berani apabila sepenuhnya mengangkat seni silat sebagai elemen utama filem itu.

Areel Abu Bakar sebagai pengarahnya bukan saja berani memperjuangkan seni silat Melayu, malah mempertaruhkan ramai nama baharu dalam dunia lakonan sebagai usaha membuka mata khalayak filem tempatan mengenai kemampuan silat di layar perak.


Pengarah, Areel Abu Bakar (berdiri empat kiri) bersama barisan pelakon yang membintangi filem Geran. - NSTP/Salhani Ibrahim

Jika merujuk kepada banyak komen di laman sosial selepas filem itu ditayangkan pada malam gala minggu lalu, nyata semuanya berpuas hati, malah ada yang berani meletakkan rating pada skala sembilan daripada 10.

Kebanyakan mereka kagum dengan buah tangan Areel kerana meskipun tiada nama besar selain Namron, filem aksi yang dikatakan 80 peratus plotnya adalah pertarungan silat mampu beberapa kali membuatkan penonton sesak nafas.

Menggunakan isu masyarakat sebagai fokusnya, lakonan pelakon baharu seperti Fad Anuar, Koharullah Abd Majid dan Feyna boleh dikatakan mantap dan tidak kekok.

Khoharullah yang membawa utama dalam filem ini memberitahu, pada peringkat awal penggambaran, mereka berdepan masalah besar kerana tidak ada sumber kewangan untuk menjayakannya tetapi atas semangat kuat untuk mengangkat martabat seni silat, kesulitan itu mereka redah bersama.

“Kami semua sepakat untuk membabitkan diri berlakon dalam filem ini dalam keadaan serba kekurangan. Banyak kekangan yang kami hadapi tetapi atas semangat semua, kami berjaya juga bawa seni silat ke layar perak.

“Saya memang tidak ada pengalaman dalam bidang lakonan, apatah lagi terus diberi watak utama dalam filem ini. Namun, tunjuk ajar dari Areel dan kekuatan watak mereka yang lain menjadikan pembawakan watak saya lebih berkesan.

“Bagi saya, kenapa filem ini perlu ditonton semua orang, tentu sekali kerana keaslian aksi pertarungan silat yang kami tampilkan dalam filem ini selain kekuatan jalan cerita yang tidak terlalu berat tetapi cukup dekat dengan kehidupan masyarakat kita,” katanya kepada BH Online.

Tabik kepada produksi filem ini kerana dikhabarkan disiapkan dalam keadaan serba kekurangan. Modal yang sangat terhad, namun hasilnya dikatakan tidak murah.

Paling mantap ialah semua aksi pertempuran tidak menggunakan pelakon lagak ngeri. Khoharullah yang membawa watak sebagai Ali adalah bekas pesilat negara dan tentu sekali mampu bertempur dengan cukup hebat serta berseni.

Ini memang gaya pertempuran silat sebenar dengan teknik kekuda dan serangan silat menghiasi hampir semua babak pertarungan. Loghat Kedah dalam filem ini juga membawa penonton ke negeri Pusaka Gayong sebagai silat utama yang diangkat dalam filem Geran.

Melihat kepada barisan pelakon tambahan dalam filem ini juga, boleh dikatakan penerbitannya nekad mahu mengangkat nama besar dalam dunia persilatan ke layar perak apabila Guru Utama Pusaka Gayong, Datuk Raja Majid Md Isa turut diketengahkan. Turut ditampilkan adalah Kasturi, Samsunputra, Azlan Komeng dan ramai lagi pesilat dari enam perguruan berbeza.

Ada reviu kaki wayang dalam laman sosial mula membandingkan gaya pertempuran Khoharullah dengan Ako Uwais. Mereka tidak teragak-agak meletakkan anak muda dari Gurun, Kedah itu sebagai pelakon fiem aksi yang bakal mencipta nama di negara ini.

Feyna pula, biarpun secara zahirnya tampak lemah lembut tetapi ketika bertarung, aksi berbeza ditampilkan apabila dia sangat pantas dan berseni.

Jika merujuk kepada semua komen, nyata filem Geran boleh dikategorikan sebagai perlu ditonton terutama bagi mereka yang mahu melihat sendiri bagaimana seni silat setanding dengan seni bela diri luar.

Namron beraksi dalam filem Geran yang mengetengahkan seni bela diri nusantara iaitu silat. Filem ini bakal ditayangkan di seluruh negara mulai Khamis ini. - NSTP/Salhani Ibrahim
Berita Harian X