Ahad, 6 Oktober 2019 | 9:00am
KISAH perjuangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bakal diangkat ke layar perak. - BERNAMA

Perjuangan Tun M diangkat ke filem

KUALA LUMPUR: Filem Mahathir, The Journey arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan, bakal mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas meletakkan jawatan pada 2003.

Diterbitkan oleh Reliance Media Group Sdn Bhd, naskhah terbabit berbeza daripada filem tayangan 2015 yang turut menampilkan pemimpin berkenaan dalam beberapa babak.

Produser yang juga Ketua Bahagian Kreatif syarikat produksi itu, Yusuf Kelana, berkata Mahathir, The Journey menampilkan kisah benar perjuangan tokoh disegani itu selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri keempat sehinggalah dilantik semula pada 2018.

“Kami melakukan kajian selama tujuh bulan untuk merealisasikan kisah perjuangan Tun. Ia inspirasi kisah benar, malah babak bakal dipaparkan adalah kejadian yang berlaku selepas Tun meletakkan jawatan pada 2003. Sebahagian babaknya pula kejadian sebenar yang tidak pernah diketahui umum.

“Skrip filem ini mendapat kelulusan 100 peratus daripada Pejabat Perdana Menteri. Bahkan, pegawai khas Tun, Sufi Yusof, sendiri meneliti dialog dan babak ke babak untuk memastikan tiada kesilapan fakta,” katanya.

Yusof berkata, filem terbabit yang menelan belanja RM6 juta akan memulakan penggambaran pada pertengahan Disember depan.

“Kini, kami sedang melakukan uji bakat mencari pelakon utama, termasuk watak Tun dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah.

“Filem ini bakal menampilkan 29 watak penting, termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datin Paduka Marina Mahathir, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan ramai lagi.

“Bagaimanapun, uji bakat diadakan secara tertutup, membabitkan hanya pelakon berpengalaman. Ia diadakan selama lima hari, bermula 2 Oktober lalu, di ibu negara,” katanya kepada BH Online.

Selain watak utama, katanya lagi, mereka juga mencari ratusan pelakon tambahan.

“Filem ini akan menjalani penggambaran di sekitar Putrajaya, Kedah dan Kelantan, malah pasukan produksi akan turut terbang ke Hiroshima, Jepun.

“Beberapa watak utama akan dibawa ke sana bagi merealisasikan babak penting pada pertengahan Januari depan,” ujarnya.

Kata Yusuf, filem Mahathir, The Journey bukan hanya ditayangkan di negara ini, malah ia dijangka menembusi pasaran antarabangsa.

“Ia dijadualkan menemui penonton pada Julai tahun depan, sempena bulan kelahiran Tun,” katanya.

Berita Harian X