Ahad, 1 September 2019 | 1:00pm
PELAKON Wangi pada majlis tayangan perdana filem berkenaan di Mutiara Damansara. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Pengarah akur babak penting Wangi dipotong

PETALING JAYA: Pengarah, Mohd Latiff Zami, akur tindakan Lembaga Penapis Filem (LPF) memotong beberapa babak dianggap penting dalam filem Wangi hingga timbul kekeliruan pada jalan ceritanya.

Sutradara yang lebih dikenali sebagai Yeop Hitler itu mendakwa, jika mereka membangkang keputusan berkenaan, filem bergenre seram dan cemas arahannya takkan dapat ditayangkan di pawagam.

"Ada beberapa babak yang disifatkan penting dan boleh memberikan jawapan kepada persoalan dalam filem itu terpaksa dipotong.

"Kami sudah merayu kepada pihak terbabit, malah sedaya upaya cuba mempertahankannya, namun selepas diberikan kata dua seperti itu, kami terpaksa akur," katanya kepada BH Online.


PENGARAH filem Wangi, Yeop Hitler. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Antara babak penting yang dipotong membabitkan paparan pembunuhan, yang disifatkan terlalu kejam dan tidak sesuai untuk tontonan awam.

Ditanya mengapa sanggup mengambil risiko dengan mewujudkan babak sedemikian, katanya, dia sekadar mencuba nasib.

"Saya ingatkan, kami mungkin akan diberi kelonggaran kerana babak terbabit antara tunjang cerita, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem itu di Mutiara Damansara, di sini.

Menjawab pertanyaan konon karya terbitan Resilience Studio Sdn Bhd itu pada asalnya diterbitkan sebagai telefilem, namun dinaik taraf menjadi filem, Mohd Latiff mengakui perkara berkenaan.

"Selepas melihat hasilnya dan penerbit sendiri berpuasa hati dengan mutu lakonan diberikan oleh bintangnya, kami memutuskan untuk menjadikan karya saya ini sebagai sebuah filem," ujarnya.


ANTARA babak lakonan Erra dan Nabila dalam Wangi. - Foto ihsan Resilience Studio

Wangi yang akan menemui penonton bermula 5 September ini dilakonkan oleh Erra Fazira, Nabila Huda, Sharnaaz Ahmad, Mia Nasir, Syazwan Zulkifly, Nik Adam Mika dan Ruminah Sidek.

Berita Harian X