Khamis, 29 Ogos 2019 | 9:00am
PELAKON, Remy Ishak (kiri) dan Mira Filzah ketika menghadiri sidang media filem Sangkar di Mutiara Damansara. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Remy masih jadi pilihan penerbit

KUALA LUMPUR: Ketika ramai bakat baharu tampil di persada seni, pelakon, Remy Ishak, terus mendapat kepercayaan syarikat produksi bagi memegang peranan utama dalam filem terbitan mereka.

Terbaru, bintang Pujaan Hati Kanda itu muncul dengan filem, Sangkar, yang mula menemui penonton di pawagam, hari ini, selain Dendam Pontianak, pada 12 September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios (PWS), Datuk Ahmad Izham Omar, sendiri yakin dengan kemampuan aktor terbabit.

“Inilah masanya untuk Remy menunjukkan taringnya sebagai pelakon hebat dan berbakat besar di negara ini. Jika betul percaturannya, dia pasti sekali lagi membuktikan bakat dimiliki tidak sia-sia menerusi dua filem itu. Siapa tahu pertaruhannya kali ini mencipta magis?

“Memang benar belum ada filem lakonannya yang benar-benar meledakkan panggung, namun kredibiliti Remy sebagai pelakon sememangnya sudah terbukti, termasuk menerusi Pulang yang menemui penonton, tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari bersama media, di sini.


KETUA Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar, pada majlis ramah mesra dan makan tengah hari bersama media di Bangsar. - NSTP /Rohanis Shukri

PWS bekerjasama dengan beberapa syarikat produksi, tempatan dan luar negara, bagi penerbitan dua judul terbabit.

Sangkar arahan Kabir Bhatia dihasilkan menerusi kerjasama bersama syarikat Astro Shaw, Infinitus Gold dan MM2 Entertainment, manakala Dendam Pontianak yang diarahkan Glen Goei dan Gavin Yap pula menyaksikan PWS berganding bahu dengan Tiger Tiger Pictures dari Singapura.

Menurut Ahmad Izham, menerusi dua karya berkenaan juga, Remy sekali lagi diberikan mandat menjayakan watak cukup berat.

“Dalam Sangkar, kita dapat lihat keserasiannya bersama aktor, Zul Ariffin. Kedua-duanya juga antara hero yang masih relevan hingga kini, ketika semakin ramai bakat baharu di arena seni.

“Dalam Dendam Pontianak pula, Remy digandingkan dengan seorang lagi bintang hebat, Nur Fazura,” katanya sambil memaklumkan, PWS juga teruja menantikan reaksi peminat apabila animasi, Ejen Ali, ditayangkan kepada umum, penghujung tahun ini.

2189 dibaca
Berita Harian X