Selasa, 6 September 2022 | 11:33pm
Shila, Tomok dan Jaclyn bakal memberi saingan sengit menerusi program realiti, GV9. - NSTP/Asyraf Hamzah
Shila, Tomok dan Jaclyn bakal memberi saingan sengit menerusi program realiti, GV9. - NSTP/Asyraf Hamzah

Shila, Jaclyn dan Tomok berentap dalam GV9

KUALA LUMPUR: Bekas peserta program realiti terbitan Media Prima Berhad (MPB) antara 13 peserta tersenarai dalam program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) yang bakal memulakan siaran pada 18 September ini.

Mereka adalah juara Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor, Dina Nadzir (naib juara Malaysian Idol musim pertama), Shila Amzah (naib juara One In A Million musim kedua) dan Tomok (juara One In A Million musim ketiga). Tidak ketinggalan, juara My Starz LG musim ketiga, Tom.

Peserta solo wanita lain ialah Pat Candy dan Haida Hasnan, manakala peserta lelaki solo yang menyahut cabaran ialah Roy Kapilla, Hazrul Nizam, Bob Yusof, Asheed Def-Gab-C.

Penyanyi dari Singapura, Fuad Rahman turut mencuba nasib, manakala VE dianggotai Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim sebagai peserta berkumpulan.

GV9 masih mengekalkan formal asal penjurian diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus daripada barisan juri profesional.

Barisan peserta, hos dan juri program realiti, GV9 pada sidang media di Menara Kuala Lumpur, malam ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Barisan peserta, hos dan juri program realiti, GV9 pada sidang media di Menara Kuala Lumpur, malam ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

Barisan juri tetap terdiri daripada maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.

Edisi kali ini masih mengekalkan Nabil Ahmad sebagai pengacara, manakala tempat Jihan Muse diambil alih penyanyi dan pelakon popular, Elly Mazlein.

Konsert mingguan GV9 akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama 10 minggu.

Juara GV9 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Berita Harian X