Khamis, 1 September 2022 | 7:44pm
Shila menjelaskan sudah menjadi tabiatnya mengunyah gula-gula berangin sebelum membuat persembahan bagi menyejukkan tekak. Foto IG Shila Amzah
Shila menjelaskan sudah menjadi tabiatnya mengunyah gula-gula berangin sebelum membuat persembahan bagi menyejukkan tekak. Foto IG Shila Amzah

Shila mengaku silap buang gula-gula di pentas

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shila Amzah mengaku membuat silap apabila bertindak membuang gula-gula dari mulut hingga disaksikan penonton ketika beraksi pada Konsert Merdeka 65 yang disiarkan secara langsung TV2, Selasa lalu.

Shila berkata, dia terlupa membuang gula-gula berangin itu sebelum tampil membuat persembahan.

"Ketika acara berlangsung, saya tidak sihat dan sudah menjadi tabiat saya mengunyah gula-gula berangin bagi menyejukkan tekak.

"Selalunya, saya buang gula-gula terlebih dahulu. Namun, pada hari itu, disebabkan keadaan saya yang tidak sihat serta baru mengambil beberapa ubat seperti ubat batuk dan selesema, fikiran jadi terganggu hingga terlupa.

"Tambahan pula, busana yang saya pakai pada hari itu agak berat hingga saya terlupa banyak perkara," katanya di temui pada sidang media mengumumkan calon akhir Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 di sini, hari ini.

Baru-baru ini, aksi Shila membuang gula-gula dari mulut di pentas acara mengundang kecaman ramai hingga disifatkan netizen pengotor.

Shila mengaku terganggu dengan gula-gula berangin itu kerana hampir tercekik.

"Ketika sedang 'adlib' saya rasa terganggu kerana hampir tercekik. Saya fikir hendak telan (gula-gula itu) tetapi takut tersekat.

"Saya bimbang pernafasan terganggu berikutan tidak sihat, jadi, saya perlu buang gula-gula itu.

"Saya pernah melakukan kesilapan serupa, pada malam final Anugerah Juara Lagu (AJL) yang turut dirakam kamera. Sejak insiden itu, saya sentiasa berhati-hati agar tidak mengulangi perbuatan itu.

"Apabila perkara ini berlaku sekali lagi dan tular, saya tidak boleh buat apa-apa. Perkara ini sudah terjadi. Mungkin itu hiburan untuk peminat, jadi orang hendak cakap apapun, cakaplah," katanya.

Bagaimanapun, Shila bersyukur kerana persembahannya pada Konsert Merdeka 65 lancar.

Pada AIM 23, Shila tercalon dalam dua kategori iaitu Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu Bahagiakan Dia bersama Liza Hanim serta Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama menerusi lagu Khilaf Asmara dan Bahagiakan Dia.

Berita Harian X