Ahad, 18 September 2022 | 3:00pm
Othman masih segak dan sihat pada usia 61 tahun. - NSTP/Asyraf Hamzah
Othman masih segak dan sihat pada usia 61 tahun. - NSTP/Asyraf Hamzah

Othman Hamzah 'hilang' bukannya merajuk

KUALA LUMPUR: Sudah jarang melihat kelibat penyanyi Gadis Melayu dan Musliha, Othman Hamzah, 61, dalam mana-mana acara hiburan.

Mungkin kepada generasi baharu, nama Othman agak terpinggir, namun, suara lunak penyanyi kelahiran Singapura yang memulakan perjuangan dalam bidang nyanyian seawal usia berusia 12 tahun itu pernah menjadi kegilaan ramai gadis sunti pada era 1970-an dan 1980-an.

Malah, deretan lagu nyanyiannya sering menjadi pilihan stesen radio di Malaysia dan Singapura.

Namun, sebaik menamatkan zaman bujang seawal usia 22 tahun bersama pilihan hati, Sharifah Radziah Syed Yahya pada 1984, kelibat Othman mula berkurangan.

Kehidupannya tertumpu kepada keluarga dan membesarkan tiga anak, Iskandar Shah, Shafiqah dan Raaiqa.

Pertemuan pada majlis sambutan ulang tahun ke-73, komposer tersohor, S Atan menggamit memori Othman.

Adakah kehilangan dari radar seni memberi makna sudah tidak berminat meneruskan bidang nyanyian atau menyimpan rajuk terhadap industri yang diceburi sejak hampir lima dekad.

Saat soalan diajukan kepada si empunya diri, Othman berkata, tiada istilah rajuk ketika kehilangannya itu.

Sebaliknya, katanya, dia memilih menumpukan perhatian terhadap perniagaan hartanah yang diusahakan.

"Mungkin ramai tak tahu saya sudah berhijrah ke Malaysia sejak 15 tahun lalu. Semua anggota keluarga sudah mendapat kerakyatan tetap dan bermastautin di Malaysia.

"Sejak berhijrah, saya menceburi bidang hartanah. Bukanlah saya nak cakap bidang seni tidak menjamin masa depan.

"Saya menghormati rakan-rakan yang masih aktif dalam industri seni. Cuma, saya mahu mencari punca pendapatan tetap.

"Lagipun, saya sudah berkeluarga ketika itu. Disebabkan mahu fokus pada bisnes, saya terpaksa memperlahankan kerjaya nyanyian sehingga satu tahap saya tidak aktif seperti dahulu," katanya kepada BH Online.

Nama Othman agak terpinggir, namun, suara lunak yang memulakan perjuangan dalam bidang nyanyian seawal usia belasan tahun itu pernah menjadi kegilaan ramai pada era 1970-an dan 1980-an.
Nama Othman agak terpinggir, namun, suara lunak yang memulakan perjuangan dalam bidang nyanyian seawal usia belasan tahun itu pernah menjadi kegilaan ramai pada era 1970-an dan 1980-an.

Meskipun sudah lama meninggalkan dunia nyanyian, namun, jauh di sudut hati, penyanyi yang pernah bergelar penyampai radio di Singapura itu tetap merindui cinta pertamanya iaitu bidang nyanyian.

"Tak dinafikan, saya rindu untuk tampil dengan persembahan. Ada masanya terfikir juga mahu aktif semula.

"Namun, saya pendam hasrat apabila mengenangkan semakin berusia.

"Tetapi, sesekali saya tetap memenuhi undangan nyanyian. Seperti acara malam ini, saya memang tidak mahu melepaskan peluang kerana dapat bertemu rakan lama dan mengimbau nostalgia lalu," kata Othman yang masih segak pada usia 61 tahun.

Berkongsi kehidupannya, selain menguruskan perniagaan, banyak masa banyak dihabiskan bersama keluarga dan melayan cucu.

"Anak-anak sudah membesar dan mempunyai keluarga sendiri. Walaupun saya seorang penyanyi, tetapi tiada seorang pun yang mewarisi bakat seni saya.

"Sebaliknya, mereka lebih ke arah bidang seni lain seperti penulisan dan melukis.

"Malah, anak-anak tidak tahu bapanya seorang penyanyi. Bukan niat nak sembunyikan perkara ini daripada pengetahuan, cuma, saya rasa tiada perkara yang membanggakan boleh dikongsi dengan mereka.

"Bagaimanapun, apabila anak-anak makin membesar dan mendengar lagu saya diputarkan di corong radio dan sering ditanya orang lain, akhirnya mereka tahu ayahnya seorang penyanyi," ujarnya sambil tertawa.

Othman hadir meraikan ulang tahun S Atan disebabkan kerinduannya bertemu rakan lama. - NSTP/Asyraf Hamzah
Othman hadir meraikan ulang tahun S Atan disebabkan kerinduannya bertemu rakan lama. - NSTP/Asyraf Hamzah

Mengakui masih mengikuti perkembangan industri hiburan tanah air, Othman menyifatkan artis zaman sekarang lebih beruntung berbanding zamannya dahulu.

"Saya melihat artis sekarang lebih teratur dari segi pengurusan apabila berjaya mengembangkan kerjaya ke tahap lebih tinggi.

"Semua kejayaan dicapai menerusi perancangan yang betul berbanding zaman saya dahulu. Saya memasuki bidang seni tanpa bimbingan sesiapa, kiranya main terjah sahaja.

"Bak kata orang, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Mujurlah, saya ada banyak lagu malar segar yang mampu membawa nama saya hingga hari ini," kata Othman.

Othman memulakan kerjayanya pada usia 16 tahun selepas memenangi tempat kedua dalam Adubakat Televisyen Singapura secara solo pada 1978.

Selain lagu Gadis Melayu dan Musliha, lagu nyanyiannya masih diingati termasuklah Rintihan Hati, Tanjung Puteri, Oh! Ibu Tolong Lamarkan dan Tukar Cincin.

Lagu Gadis Melayu pernah dirakamkan semula oleh Datuk Jamal Abdillah pada 2012.

Berita Harian X