Khamis, 25 Ogos 2022 | 4:57pm
Yayan yang menghidupkan watak Toga dalam filem Mat Kilau beberapa melayangkan mesej kepada Syamsul mengajak pengarah itu menghadiri malam gala di Jakarta, esok. Foto Ihsan Studio Kembara Sdn Bhd
Yayan yang menghidupkan watak Toga dalam filem Mat Kilau beberapa melayangkan mesej kepada Syamsul mengajak pengarah itu menghadiri malam gala di Jakarta, esok. Foto Ihsan Studio Kembara Sdn Bhd

'Toga jemput, Syamsul datang'

SERDANG: Pelawaan aktor Indonesia, Yayan Ruhian yang memegang watak Toga dalam filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan untuk menghadiri malam gala di Jakarta, Indonesia, mendorong Syamsul Yusof 'terbang' ke republik itu.

Syamsul yang juga pengarah filem itu bersetuju hadir ke malam gala filem berkenaan sebagai tanda membalas kesudian aktor lasak itu mempromosikan Mat Kilau di Malaysia, sebelum ini.

"Saya hargai usaha dan kesungguhan abang Yayan yang beberapa kali datang ke Malaysia untuk mempromosikan filem Mat Kilau.

"Jadi, kini, tiba giliran saya untuk membalas kebaikannya. Abang Yayan menghantar mesej memberitahu peminat di Indonesia menanti kehadiran saya.

"Kunjungan saya ke Jakarta jelas disebabkan Abang Yayan dan peminat di sana," katanya ditemui selepas Wacana Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) Dari Buku Ke Layar di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Sesi wacana itu turut disertai pengarah, Rashid Sibir, Prof Dr Hatta Azad Khan dan Letfee Ahmad sebagai moderator.

Sementara itu, ditanya mengenai kemelut antara Studio Kembara Sdn Bhd dengan pelakon utama, Adi Putra, Syamsul enggan campur tangan.

"Apa yang saya boleh katakan ada kejutan nanti pada malam gala itu... Tunggu sajalah!" katanya.

Sementara itu, Syamsul teruja filem Mat Kilau akan ditayangkan di 200 pawagam di Indonesia mulai 31 Ogos ini.

"Ini kali pertama dalam sejarah apabila filem tempatan ditayangkan di 200 pawagam di Indonesia... Ini bukan sesuatu yang mudah. Tetapi saya bersyukur dan hargai rezeki serta kesempatan indah ini.

"Saya mahu ambil kesempatan untuk berjumpa pengarah dan penerbit di Jakarta. Ini bagi meneroka peluang dan rangkaian pasaran di sana," katanya.

Berita Harian X