Isnin, 8 Ogos 2022 | 9:13pm
Francissca menyifatkan gelaran Datuk yang dikurniakan sebagai satu penghargaan dan penghormatan buat anak seni sepertinya. - Foto IG Francissca Peter
Francissca menyifatkan gelaran Datuk yang dikurniakan sebagai satu penghargaan dan penghormatan buat anak seni sepertinya. - Foto IG Francissca Peter

Gelaran Datuk sebagai pembakar semangat

KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Sekadar Di Pinggiran, Datuk Francissca Peter, 60, menyifatkan kurniaan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai pembakar semangat untuk terus bertahan dalam liga seni.

Menerusi hantaran dalam laman Instagram, Francissca menganggap darjah kebesaran yang disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Kuantan, minggu lalu sebagai penghormatan dan penghargaan buat insan seni.

"Kurniaan ini satu penghargaan dan penghormatan buat anak seni. Saya berharap akan terus berusaha, bersemangat dan bertahan selagi termampu.

"Sebagai artis matang dan otai, saya akan melakukan yang terbaik kerana bidang nyanyian masih menjadi kerjaya sepenuh masa," tulisnya.

Dalam hantaran sama, penyanyi yang pernah menerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 itu berdoa agar mereka yang berjuang dalam bidang masing-masing juga bakal memperoleh peluang yang sama.

"Saya berdoa agar semua yang berusaha, berkorban, berjaya dan bersinar dalam kerjaya yang dihormati akan menerima gelaran serta penghargaan sewajarnya pada tahun akan datang.

"Hanya Tuhan sahaja mengetahui apa yang terbaik, bagaimana, mengapa dan bila kita sepatutnya menerima apa sahaja pemberian sepanjang hidup.

"Ada di kalangan kita yang baik hati, gembira, budi bahasa, marah, membuat ejekan tubuh, sindir dan memilih menjadi sangat toksik atau tidak," katanya.

Francissca akan melakukan yang terbaik kerana bidang nyanyian masih menjadi kerjaya sepenuh masa sejak empat dekad lalu. - Foto IG Francissa Peter
Francissca akan melakukan yang terbaik kerana bidang nyanyian masih menjadi kerjaya sepenuh masa sejak empat dekad lalu. - Foto IG Francissa Peter

Namun, katanya, setiap orang mempunyai pendapat berbeza dan boleh lantang bersuara dalam media sosial.

"Ini sudah menjadi kebiasaan dalam medium talian sejak 10 tahun lalu.

"Kebebasan bersuara adalah sihat atas sebab yang betul. Jadi, bagi mereka yang tidak berpuas hati dengan sebahagian yang dikurniakan darjah kebesaran, semoga damai dan sejahtera kepada anda," tulisnya.

Mula menceburkan diri dalam bidang seni pada awal 1980, penyanyi berketurunan Serani-Cina itu berkata, setiap manusia mempunyai ujian berbeza.

"Setiap kita mempunyai kesukaran dan kepayahan tersendiri, lebih lagi, selepas era pandemik.

"COVID-19 sangat menakutkan dan masih belum meninggalkan kita sepenuhnya," tulisnya.

Berita Harian X