Sabtu, 16 Julai 2022 | 11:00am
Sebahagian daripada 30 waris Mat Kilau yang menonton filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan beramai-ramai di Dadi Cinema di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, malam tadi. Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Sebahagian daripada 30 waris Mat Kilau yang menonton filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan beramai-ramai di Dadi Cinema di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, malam tadi. Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Ambil iktibar daripada filem Mat Kilau

SUBANG JAYA: Generasi kelima hingga ketujuh Allahyarham Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau yang berusia antara lapan tahun hingga paling 'senior', 70 tahun, menonton filem 'box office', Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di Dadi Cinema di sebuah pusat beli-belah di sini, malam tadi.

Lebih 30 waris arwah Mat Kilau yang majoritinya menetap di Kuala Lumpur, menunggu hingga minggu ketiga filem berkenaan ditayangkan, untuk beramai-ramai menonton buah tangan pengarah, Syamsul Yusof yang mencetuskan fenomena itu.

Salah seorang daripada waris Mat Kilau, pensyarah, Dr Siti Shukhaila Shaharuddin, 45, memuji usaha dilakukan penerbit, Studio Kembara Sdn Bhd untuk mengangkat kisah kepahlawanan Mat Kilau.

Siti Shukhaila yang bertugas di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan dengan kepakaran dalam bidang Komunikasi Visual, menganggap filem berkenaan membuka mata ramai terhadap kisah Mat Kilau.

"Saya ucap syabas kepada Syamsul dan penerbit kerana berjaya menghasilkan naskhah yang baik dan menarik. Mungkin selama ini, kami dan orang lain hanya tahu dan lihat ia sebagai penceritaan dalam fakta sejarah.

"Namun, sentuhan emas Syamsul dengan acuannya tersendiri berjaya menghasilkan filem fiksyen dan epik dalam sejarah perjuangan Mat Kilau yang mampu menarik minat golongan muda hingga dewasa.

"Barangkali, kejadian sebenar disifatkan biasa. Tetapi di bawah garapan produksi berkenaan, naskhah ini jadi lebih istimewa.

Siti Shukhaila (kanan) bersama Marliza pada sesi ‘movie night out’ bersama waris Mat Kilau di pawagam Dadi Cinema di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, malam tadi. Foto NSTP?Hairul Anuar Rahim
Siti Shukhaila (kanan) bersama Marliza pada sesi ‘movie night out’ bersama waris Mat Kilau di pawagam Dadi Cinema di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, malam tadi. Foto NSTP?Hairul Anuar Rahim

"Malah, sejurus berakhirnya tayangan, ada antara kami yang terkesan dengan filem ini," katanya kepada BH Online.

Siti Shukhaila berkata, sebagai wakil kepada waris keluarga pahlawan itu, dia berharap filem Mat Kilau tidak disensasikan dengan isu negatif dan pertikaian.

"Apa yang pernah diceritakan nenek moyang kami, yang dipelajari di sekolah dan rangkuman visual menarik, teknik sinematogragi serta lontaran dialog dalam filem ini sedikit sebanyak memberikan gambaran perjuangan pada latar masa ketika itu.

"Cuma kita tidak boleh mengubah sejarah yang sudah terlakar. Tetapi kita semua boleh mengambil iktibar, belajar dan berubah jadi lebih baik daripada sejarah filem ini.

"Cuma, biasalah dalam hidup ini, kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Begitu juga dengan Syamsul dan produksi terbabit. Saya sendiri mengabaikan apa saja hal negatif berbangkit selama ini... Ia terlalu diremehkan," katanya.

Siti Shukhaila yang juga ibu kepada tiga cahaya mata membaca ulasan pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam mengenai filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan sebelum menontonnya di pawagam.

"Mengikut ulasan Dr Ramlah, 70 peratus yang dipaparkan dalam filem ini adalah berdasarkan situasi sebenar. Manakala, 30 peratus lagi bersifat fiksyen atau rekaan.

"Membaca ulasannya membuatkan saya terpanggil untuk menonton filem ini. Ini bukan soal warisan yang diangkat, sebaliknya, bagaimana karya ini jadi fenomena dan menyemarakkan semula industri pawagam yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Sebelum ini, saya hanya dengar ulasan positif yang mengakui ia karya yang 'best'. Akhirnya, saya dapat saksikan sendiri filem yang memberi gambaran dan kisah figura sejarah sarat dengan pelbagai mesej yang boleh disesuaikan dengan masa sekarang," katanya.

Seorang lagi waris, Marliza Zain, 44, bangga dapat bercerita mengenai kehebatan filem ini kepada suami dan keluarga mentuanya yang berasal dari Eropah.

"Jika diikutkan ada waris dan keturunan Mat Kilau yang berkahwin campur. Saya berkahwin dengan lelaki berasal dari Slovania. Pendek kata, keturunan Mat Kilau sudah berbilang bangsa dan bersifat hibrid.

"Sejarah dan filem itu sendiri membuktikan semua bangsa dipergunakan untuk kepentingan penjajah, British. Tetapi, realitinya hingga kini, antara sedar atau tidak, kita ibarat terus dipergunakan untuk kepentingan tertentu biarpun sudah mencapai kemerdekaan.

"Filem dan sejarah ini memang boleh disesuaikan dengan situasi sekarang. Bahkan, kita boleh adaptasi perjuangan figura sejarah ini dalam pelbagai aspek kehidupan semasa," katanya.

Selepas 21 hari tayangan, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mengaut lebih RM71.27 juta mengikut data diperoleh Studio Kembara.

Fenomena luar biasa dicetuskan filem genre epik ini meletakkan filem itu kekal nombor satu dalam carta panggung wayang tempatan dan kutipan tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah industri perfileman negara.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan diterajui Datuk Adi Putra yang diberi tanggungjawab menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.

Filem itu disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As'ari (Yassin).

Tidak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Namron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Berita Harian X