Isnin, 11 Julai 2022 | 1:00pm
Zaharin (kiri), Aripin (dua dari kiri), Yusuf dan Hassan (kanan) pada program Sembang Skrin membicarakan topik filem Mat Kilau yang dianggap menjadi penebus kegagalan naskhah filem sejarah sebelum ini. - Foto IG FINAS
Zaharin (kiri), Aripin (dua dari kiri), Yusuf dan Hassan (kanan) pada program Sembang Skrin membicarakan topik filem Mat Kilau yang dianggap menjadi penebus kegagalan naskhah filem sejarah sebelum ini. - Foto IG FINAS

Gabungan realiti, fantasi bantu lonjakkan Mat Kilau

KUALA LUMPUR: Kejayaan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mengutip RM61 juta dalam tempoh 17 hari ditayangkan membuka mata banyak pihak filem sejarah mampu mendapat kutipan pecah panggung.

Dianggap menjadi penebus kegagalan filem berunsur sejarah seperti yang pernah dihasilkan sebelum ini, pengarah dan penerbit, Datuk Yusuf Haslam berkata, kejayaan filem Mat Kilau dibantu dengan elemen fiksyen, sekali gus menjadikan naskhah arahan Syamsul Yusof itu menarik dan tidak membosankan.

"Sebelum mengarahkan filem ini, Syamsul menyatakan pada saya bahawa filem Mat Kilau adalah kombinasi realiti dan fantasi.

"Untuk memastikan filem ini mendapat sambutan di pawagam, Syamsul tidak boleh bersandarkan fakta sejarah semata-mata dan perlu ada pengubahsuaian dan elemen lain yang ditokok tambah.

"Bagi mengelak penonton keliru sebab itulah pada awal tayangan tertulis filem ini diilhamkan daripada kisah Mat Kilau," katanya pada program Sembang Skrin yang membicarakan topik mengenai filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), minggu lalu.

Program berdurasi lebih 90 minit itu turut menampilkan penganalisis politik, Datuk Zaharin Mohd Yasin; Warisan Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WARKOH), Datuk Aripin Said dan pengkritik filem, Hassan Abdul Muthalib, manakala pensyarah kanan Jabatan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Megat Al Imran Yasin bertindak sebagai moderator.

Meskipun menyedari bukan mudah menghasilkan filem sejarah yang mempunyai elemen fiksyen apabila banyak pertikaian berkaitan fakta dibangkitkan daripada kebanyakan ilmuwan filem, Yusof berkata, mereka harus menerima hakikat mesej penting yang disampaikan kepada penonton.

"Setiap orang ada pendapat masing-masing. Perkara sama juga pernah saya hadapi apabila filem lakonan saya, Bukit Kepong yang juga diangkat daripada kisah sejarah turut mendapat kritikan yang mempersoalkan kesahihan filem ini.

"Walaupun teruk dikritik, filem Bukit Kepong berjaya mengutip lebih RM1 juta. Satu jumlah yang cukup besar ketika harga tiket masih RM2.

"Namun, cuba perhatikan, Bukit Kepong masih lagi ditayangkan dan diperkatakan penonton.

"Saya percaya filem Mat Kilau juga akan terus kekal relevan sampai bila-bila.

"Saya menerima maklum balas positif daripada penonton. Rata-rata mereka memuji filem Mat Kilau dan sebak dengan perjuangan Mat Kilau.

"Malah, ada yang memberitahu menerusi filem, mereka kenal siapa Mat Kilau. Respon seperti ini sudah cukup untuk membuktikan mesej naskhah ini diterima baik oleh penonton," ujar Yusof dalam nada teruja.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim menyantuni Hassan dan tetamu undangan ketika siaran langsung program Sembang Skrin yang disiarkan menerusi Facebook FINAS, minggu lalu. - Foto IG FINAS
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim menyantuni Hassan dan tetamu undangan ketika siaran langsung program Sembang Skrin yang disiarkan menerusi Facebook FINAS, minggu lalu. - Foto IG FINAS

Sementara itu, dua panel lain, Zaharin dan Hassan mempunyai pandangan tersendiri berhubung pembikinan filem sejarah.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, sudah tiba masanya industri perfileman mempunyai seorang pemikir yang dapat menghasilkan filem sejarah tanpa perlu menyelitkan unsur komersial.

"Berbanding negara jiran, kita jauh ketinggalan di belakang. Masalah yang dihadapi sekarang adalah tiada pemikir dalam bidang perfileman.

"Dan, rasanya sudah cukup untuk kita berbicara mengenai satu bangsa sahaja. Kita sepatutnya bercakap mengenainya di seluruh dunia.

"Lihat sahaja filem Ola Bola yang boleh menyatukan bangsa Melayu, Cina dan India menerusi satu cara iaitu sukan bola sepak," ujar Hassan.

Bagi Zaharin, pembikin filem perlu melihat konteks filem berunsur sejarah dengan lebih meluas dan tidak hanya menonjolkan individu tertentu sahaja.

"Sudah tiba masanya untuk menerbitkan kisah pejuang politik kontroversi yang sememangnya mengundang kebencian ramai.

"Mungkin ada kisah menarik yang boleh dikupas di sebalik perjuangan mereka. Bagi saya, kisah mereka perlu difilemkan untuk kefahaman rakyat dan fakta sebenar," cadangnya.

https://fb.watch/ebqJwOHKiQ/

Berita Harian X