Sabtu, 2 Julai 2022 | 1:00pm
Wan Hasliza sebak bercerita mengenai arwah Adibah ketika rakaman program Bicara BH - Tribute Insan Terlalu Istimewa Allahyarham Adibah Noor yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) dan YouTube BH, kelmarin.
Wan Hasliza sebak bercerita mengenai arwah Adibah ketika rakaman program Bicara BH - Tribute Insan Terlalu Istimewa Allahyarham Adibah Noor yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) dan YouTube BH, kelmarin.

Perut sakit, darah banyak keluar ketika penggambaran

KUALA LUMPUR: Banyak kebaikan didedahkan sejak pemergian penyanyi lagu Terlalu Istimewa, Allahyarham Adibah Noor dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat pada 18 Jun lalu.

Bukan sahaja kebaikannya dalam memuliakan binatang dengan memelihara lebih 30 kucing termasuk kucing jalanan, arwah juga dikenali seorang yang sangat pemurah dan baik hati.

Pengarah dan penerbit KL Motion Picture, Wan Hasliza Wan Zainuddin yang sempat bekerja menerusi drama terakhir lakonan arwah berjudul Hantu Raya Pergi Perang mengakui kemurahan hati arwah.

Wan Hasliza pernah beberapa kali bekerjasama dengan arwah ternyata gagal menahan air mata, tatkala berbicara mengenai artis serba boleh itu.

Katanya, arwah tidak lupa membawakan pelbagai juadah untuk dijamu kepada rakan artis dan kru setiap kali ke lokasi penggambaran.

"Saya masih ingat, arwah pernah membelikan satu pasukan produksi minuman Starbuck ketika menjalani penggambaran drama Geng Mengaji. Tiada siapa pun yang ketinggalan dan dilupakan. Setiap kali datang ke lokasi, ada sahaja makanan dibawa seperti kuih muih, kek, mi goreng dan macam-macam lagi.

"Hanya ketika penggambaran drama Hantu Raya Pergi Perang arwah tidak membawa apa-apa, mungkin sudah sakit dan tidak larat. Tetapi, saya akui, arwah sangat pemurah," katanya kepada BH Online.

Penerbit drama popular, Kampung People dan Keluarga Iskandar itu berkata, dia dan kru berkunjung ke rumah arwah bagi melakukan proses memasukkan suara untuk drama Hantu Raya Pergi Perang pada awal Jun lalu.

"Arwah seperti biasa menghidangkan pelbagai makanan walaupun dalam keadaan kurang sihat.

"Saya memang terkejut melihat perubahan wajah dan tubuh arwah yang semakin susut. Ketika itu, arwah berkongsi penyakit kanser ovari yang baru disahkan doktor. Namun, arwah tetap ceria dan kelihatan sangat positif, cuma saya boleh nampak ada kerisauan pada wajahnya.

"Dalam keadaan tidak larat, arwah tetap meminta pengurus peribadi dan anak saudara menghidangkan makanan, sedangkan saya sudah berpesan tidak perlu bersusah payah.

"Tetapi, Adibah tetap Adibah, dia akan sentiasa berusaha menggembirakan hati orang," kongsi Wan Hasliza ketika ditemui untuk program Bicara BH - Tribute Insan Terlalu Istimewa Allahyarham Adibah Noor yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) dan YouTube BH, kelmarin.

Berkongsi sikap arwah, Wan Hasliza berkata, arwah bukan seorang diva biarpun memiliki nama besar dalam industri seni.

"Ada kalanya saya sendiri segan dengan komitmen ditunjukkan arwah yang tidak pernah mengeluh meskipun terpaksa menunggu lama di lokasi penggambaran.

"Malah, arwah langsung tidak merungut walaupun lokasi penggambaran agak jauh ketika penggambaran drama Hantu Raya Pergi Perang.

"Penggambaran pula dijalankan di kampung Orang Asli di Labu, Negeri Sembilan. Ketika itu, arwah sudah sakit, tetapi belum mengetahui menghidap penyakit kanser ovari.

"Arwah ada memberitahu, perutnya sakit dan banyak darah keluar apabila ke tandas, tetapi tetap memberikan sepenuh komitmen dan sanggup memandu jauh seorang diri," katanya.

Arwah tidak lokek membawakan pelbagai juadah untuk dijamu kepada rakan artis dan kru setiap kali ke lokasi penggambaran drama.
Arwah tidak lokek membawakan pelbagai juadah untuk dijamu kepada rakan artis dan kru setiap kali ke lokasi penggambaran drama.

Katanya, arwah langsung tidak merungut atau menunjukkan kesakitan biarpun terpaksa menunggu lama.

"Saya beberapa kali minta maaf kerana rasa bersalah menyebabkannya terpaksa menunggu lama dengan fasiliti seperti bilik air yang tidak selesa.

"Bagaimanapun, arwah hanya sempat menjalani penggambaran selama dua hari kerana perlu menjalani pembedahan. Berkali-kali, arwah minta maaf kerana merasa menyusahkan kami.

"Malah, arwah beria-ia mahu sambung penggambaran selepas menjalani pembedahan, tetapi saya tidak membenarkan dan berjanji mencari pelakon pengganti.

"Arwah sanggup menyediakan pakaiannya untuk digunakan pelakon pengganti itu," katanya.

Tambah Wan Hasliza, dia terkilan arwah tidak sempat menonton drama terakhirnya, apatah lagi, sangat teruja dapat berlakon dalam drama itu sehingga mempersoalkan kenapa tidak dijadikan filem.

"Saya sedih mengenangkan semangat arwah. Beliau teruja dengan naskhah ini sehingga bertanya kenapa tidak dijadikan filem.

"Arwah berjanji akan memberikan komitmen 300 peratus jika dijadikan filem.

"Beliau memang sangat positif dan yakin dapat berjuang melawan penyakitnya. Jadi, saya terkejut apabila mendapat tahu berita pemergiannya.

"Sebenarnya, ada beberapa naskhah baharu untuknya termasuk drama Kampung People 3, tetapi sayangnya, hajat saya tidak kesampaian apabila arwah pergi terlebih dahulu," katanya.

Baginya, pemergian arwah adalah satu kehilangan besar, bakatnya tidak boleh dicari ganti.

"Begitu juga keperibadiannya yang tidak pernah buruk sangka terhadap terhadap orang lain," katanya.

Drama Hantu Raya Pergi Perang disiarkan menerusi platform penstriman sooka.my sejak 24 Jun lalu.

Berita Harian X