Sabtu, 2 Julai 2022 | 11:45am
Raja Ilya dan suami membuka akaun Instagram (IG) untuk Talita di bawah nama @talitalovegarrett. Foto IG Talita Love Garrett
Raja Ilya dan suami membuka akaun Instagram (IG) untuk Talita di bawah nama @talitalovegarrett. Foto IG Talita Love Garrett

Raja Ilya dapat bayi perempuan

KUALA LUMPUR: Pelakon Raja Ilya selamat melahirkan bayi perempuan di Hospital King Edward, Perth, kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan, semalam.

Bayi diberi nama Talita Love seberat 3.6 kilogram (kg) itu dilahirkan secara pembedahan.

Raka Ilya bersyukur proses bersalin lancar, biarpun hasrat melahirkan permata hati sulungnya itu di dalam air, tidak kesampaian.

"Niat bersalin dalam air tidak kesampaian. Ini disebabkan kedudukan uri atau plasenta berada pada bahagian rahim yang bawah, iaitu berdekatan laluan serviks.

"Situasi kenali sebagai 'placenta previa' ini menghalang saya melahirkan anak secara normal. Apabila ini terjadi, bakal ibu seperti saya berisiko mengalami pendarahan ketika kehamilan.

Kehadiran Talita menjadi pelengkap kehidupan Raja Ilya dan suaminya, Garrett. Foto IG Talita Love Garrett
Kehadiran Talita menjadi pelengkap kehidupan Raja Ilya dan suaminya, Garrett. Foto IG Talita Love Garrett

"Jadi, sudah tentu, bayi perlu dilahirkan secara pembedahan. Pada masa sama, saya melalui pelbagai komplikasi. Tidak mengapalah, apa yang penting, anak saya lahir dengan selamat," katanya ketika dihubungi BH Online di sini, hari ini.

Kehadiran Talita menjadi pelengkap kehidupan Raja Ilya atau nama sebenar, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad dan suami, Trent Garrett.

Pasangan ini sudah membuka akaun Instagram (IG) untuk Talita di bawah nama @talitalovegarrett.

"Impian bergelar ibu akhirnya jadi kenyataan. Moga Talita menjadi anak solehah yang dipenuhi dengan kasih sayang dan segala yang positif.

"Terima kasih kepada mereka yang mendoakan kelahiran anak sulung ini. Selepas ini, kenalah berpantang betul-betul sebab saya hendak kembali mendapatkan bentuk badan asal," kata pelakon filem Suamiku, Encik Perfect 10 itu.

Raja Ilya mendirikan rumah tangga dengan jejaka Australia, Garrett pada Disember 2018.

Selepas mendirikan rumah tangga, Raja Ilya berpindah ke Perth. Aktres jelita ini sudah dua tahun tidak pulang ke Malaysia akibat penularan pandemik COVID-19.

Berita Harian X