Jumaat, 1 Julai 2022 | 1:16pm
Pengunduran Ally dan Hawa dibuat atas dasar persetujuan bersama berkuatkuasa hari ini, manakala Fedtri sudah pun mengundurkan diri pada penghujung Mei lalu.
Pengunduran Ally dan Hawa dibuat atas dasar persetujuan bersama berkuatkuasa hari ini, manakala Fedtri sudah pun mengundurkan diri pada penghujung Mei lalu.

Ally, Hawa dan Fedtri tinggalkan Buletin FM

KUALA LUMPUR: Selepas setahun Buletin FM bersiaran, tiga personaliti, Ally Iskandar dan Hawa Rizwana yang mengendalikan segmen Fokus Pagi menamatkan tugas sebagai penyampai radio.

Selain itu, Ahmad Fedtri Yahya yang mengendalikan segmen Ilham Sanubari turut mengikut langkah sama.

Dengan itu, penstrukturan semula segmen dan barisan penyampai Buletin FM dibuat bagi memastikan stesen radio di bawah Media Prima Audio (MPA) itu terus kekal relevan dan bergerak seiring dengan peredaran masa.

Keputusan pengunduran Ally dan Hawa dibuat atas dasar persetujuan bersama antara pihak pengurusan dan penyampai.

Ally dan Hawa berundur secara rasminya berkuatkuasa hari ini bagi meneruskan fokus kerjaya bersama Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Sementara pemilik suara emas, Fedtri pula sudah mengundurkan diri pada penghujung Mei lalu bagi memberikan fokus kepada program kendaliannya di stesen televisyen (TV) dan keputusannya juga atas dipersetujui kedua-dua pihak.

Ketua Rangkaian Kandungan Buletin FM, Digital & Audio, Shah Hayatudin berkata, mereka merakamkan setinggi penghargaan dan berterima kasih kepada tiga penyampai berkenaan kerana pernah menjadi sebahagian keluarga Buletin FM.

"Kami berterima kasih atas usaha diberikan dalam menyampaikan segala informasi dan berita kepada pendengar Buletin FM.

"Selain itu, pihak pengurusan MPA akan terus menyokong kerjaya dan perancangan masa hadapan mereka pada masa akan datang," katanya.

Untuk terus kekal relevan sebagai stesen radio yang menyampaikan pelbagai informasi dan berita terkini kepada pendengar, beberapa pergerakan penyampai sedia ada dilakukan.

Segmen pagi, Fokus Pagi bakal dikendalikan Izwan Azir dan Muaz setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 6 hingga 10 pagi.

Sebelum ini, mereka mengendalikan segmen Diskusi Harian yang ke udara pada sebelah petang.

Bagi segmen Santai Siang yang dahulunya dikendalikan oleh Haiza, kini diambil alih Marsila Hassan.

Marsila adalah pembaca berita di TV3 dan akan mengendalikan segmen berkenaan dari jam 10 pagi hingga 3 petang, setiap Isnin hingga Jumaat.

Segmen itu akan mengetengahkan perihal suara, fikiran rakyat dan berkongsi cerita terkini.

MPA melakukan penstrukturan semula segmen dan barisan penyampai Buletin FM memastikan stesen radio terus kekal relevan dan bergerak seiring dengan peredaran masa.
MPA melakukan penstrukturan semula segmen dan barisan penyampai Buletin FM memastikan stesen radio terus kekal relevan dan bergerak seiring dengan peredaran masa.

Bagi memastikan Buletin FM terus bergerak seiring dengan perkembangan isu semasa, segmen petang Buletin FM kini berwajah baharu dengan segmen dikenali sebagai Bicara Petang.

Segmen itu menggandingkan Haiza dan Hanif Miswan bermula jam 3 petang hingga 7 malam yang akan memberikan responsif dan peka terhadap pelbagai topik serta isu semasa.

Selain itu, mereka juga akan membincangkan subjek berkaitan sukan, masyarakat dan akan memberikan perbincangan penuh isu yang lebih dekat dengan masyarakat.

Hanif adalah penyampai bagi segmen Spectator Sukan di Buletin FM.

Shah Hayatudin menambah, Buletin FM akan sentiasa bergerak ke hadapan dengan menyajikan pelbagai maklumat dan berita semasa mengikut keperluan rakyat serta keadaan semasa negara.

"Dengan perubahan barisan penyampai lama dan baharu, saya yakin mereka mampu menyampaikan maklumat lebih tepat dan padat kepada pendengar setiap hari," katanya.

Stesen Buletin FM semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia berdasarkan laporan kaji selidik dijalankan pada Februari hingga April lalu.

Buletin FM membuktikan stesen radio itu berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai salah sebuah stesen radio berbahasa Melayu yang mempunyai pengikut tersendiri serta pendengar baharu.

Ini membuktikan kredibiliti dan kesungguhan Buletin FM bagi menyampaikan berita terkini, isu semasa dan analisis yang pasti memberi penjelasan lebih tepat kepada pendengar.

Buletin FM boleh didengari menerusi frekuensi 101.3FM di Lembah Klang; 90.2FM Penang; 107.3FM Alor Setar; 104.3FM Sarawak.

Secara alternatif, pendengar juga boleh mendengarkan Buletin FM secara live streaming di www.buletinfm.audio dan YouTube Buletin TV.

Untuk perkembangan dan pengisian digital berinfomatif, boleh terus ikuti laman sosial Buletin FM di Facebook Buletin FM, Instagram @buletinfm dan Twitter @buletinfm dan Whatsapp di 017-276 5656.

Buletin FM juga boleh didengari menerusi aplikasi Audio+, yang boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play dan Huawei App Gallery.

Berita Harian X