Rabu, 29 Jun 2022 | 3:42pm
Meena bersama mendiang suami, Vidyasagar dan anak tunggalnya, Nainika. - Foto AGENSI
Meena bersama mendiang suami, Vidyasagar dan anak tunggalnya, Nainika. - Foto AGENSI

Terhidu najis burung merpati bawa maut

CHENNAI: Suami bintang filem Annaatthe, Meena Sagar iaitu Vidyasagar, 48, meninggal dunia akibat penyakit paru-paru dipercayai berpunca alahan terhidu najis burung merpati di sebuah hospital swasta di Chennai, jam 7 malam, semalam.

Sumber rapat aktres Tamil dan Malayalam itu berkongsi, mendiang tidak bertindak balas dengan baik dan terus berada dalam keadaan kritikal ketika menerima rawatan.

Januari lalu, Vidyasagar, Meena dan anaknya, Nainika dilaporkan dijangkiti COVID-19. Meena dan Nainika pulih sepenuhnya, namun, keadaan kesihatan Vidyasagar dilaporkan merosot sejak Mac lalu, lapor portal Times of India.

Mengikut beberapa laporan, Vidyasagar mengalami alahan dipercayai terhidu najis burung merpati sekitar rumahnya di Chennai.

Berita pemergian ahli perniagaan itu mengejutkan peminat dan teman seperjuangan aktres berusia 45 tahun itu. Malah, kesedihan turut diluahkan rakan selebriti seperti Khushbu Sundar, Lakshmi Manchu, Sarath Kumar, Ramesh Bala dan ramai lagi menerusi platform media sosial.

Sumber berkata, doktor membuat keputusan melakukan transplan paru-paru, beberapa minggu lalu, namun, berdepan kesukaran mendapatkan penderma berikutan hanya menerima paru-paru pesakit yang meninggal dunia akibat kegagalan otak.

Pada masa sama, Vidyasagar juga perlu menunggu giliran kerana senarai penerima yang panjang. Difahamkan, doktor berusaha merawat mendiang menerusi ubat-ubatan, tetapi gagal menyelamatkannya.

Aktres, Khushbu Sundar menerusi ciapan dimuat naik dalam laman Twitter terkejut sebaik mendapat berita kematian Vidyasagar, pagi tadi.

"Bangun pagi dikejutkan berita menyedihkan. Remuk hati mendapat tahu suami Meena tidak bersama kita. Dia berjuang begitu lama melawan jangkitan paru-paru.

"Kasih sayang buat Meena dan anak perempuannya yang masih kecil. Hidup ini kejam. Hilang kata-kata dan salam takziah buat keluarga," tulisnya dengan meletakkan tanda pagar #RIP.

Meena bersama anaknya yang juga pelakon kanak-kanak, Nainika. - Foto AGENSI
Meena bersama anaknya yang juga pelakon kanak-kanak, Nainika. - Foto AGENSI

Bintang terkenal India, Lakshmi Manchu juga tidak ketinggalan menitipkan ucapan buat Meena.

"Cukup menyedihkan menerima berita pagi ini. Suami Meena, Vidyasagar meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19. Salam takziah dan tanda ingatan buat seluruh ahli keluarga," tulis Manchu.

Meena pernah bergandingan hero terkenal, Rajinikanth dan ramai aktor terkemuka lain mendirikan rumah tangga bersama Vidyasagar pada Jun 2009.

Menerusi perkongsian hidup selama 13 tahun, pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Nainika, 11.

Nainika juga bergiat aktif dalam dunia lakonan apabila membawakan watak anak kepada pelakon Vijay menerusi drama berjudul Theri pada 2016.

Meena memulakan kerjaya sebagai pelakon ketika masih kecil dan mula melakar populariti sekitar 1990.

Selain filem Annatthe, Meena juga pernah membintangi beberapa filem hebat seperti Son of India, Drishyam dan Drishyam 2.

Mayat Vidyasagar akan melalui proses pembakaran pada jam 2 petang (waktu India), hari ini bertempat di Beasant Nagar, Chennai.

Sehingga kini, tiada laporan mengenai perkongsian Meena dan ahli keluarganya. - AGENSI

Berita Harian X