Isnin, 27 Jun 2022 | 11:04am
Syamsul ketika berada di lokasi penggambaran filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan. Foto IG Syamsul Yusof Film
Syamsul ketika berada di lokasi penggambaran filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan. Foto IG Syamsul Yusof Film

Empat hari kaut RM11 juta

KUALA LUMPUR: Terus melonjak, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof meraih kutipan lebih RM11 juta dalam tempoh empat hari tayangan, berdasarkan maklumat terkini diperoleh penerbit.

Kekal pada tangga teratas, filem itu mendahului karya lain termasuk Hollywood dalam carta pecah panggung seperti Top Gun Maverick, The Black Phone, Elvis dan Vikram.

Perkongsian pelbagai video di aplikasi TikTok dan ragam penonton yang berbusana Melayu klasik ketika berkunjung ke pawagam, dilihat antara faktor mencetuskan keterujaan orang ramai membeli tiket, apatah lagi dalam fasa peralihan endemik dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di pawagam.

Mengulas sambutan memberangsangkan itu, Syamsul melihat reaksi penonton persis istilah 'kebangkitan' dalam judul filem berkenaan.

"Empat hari kutip lebih RM11 juta... Bukan sekadar judul filem itu sendiri yang ada perkataan 'kebangkitan' semata-mata. Ini 'kebangkitan' dalam banyak aspek dan sudut... Kun Fayakun, tsunami filem Melayu.

Perkongsian pelbagai video di aplikasi TikTok dan ragam penonton yang berbusana Melayu klasik ketika berkunjung ke pawagam, dilihat antara faktor mencetuskan keterujaan orang ramai membeli tiket. Foto IG Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan
Perkongsian pelbagai video di aplikasi TikTok dan ragam penonton yang berbusana Melayu klasik ketika berkunjung ke pawagam, dilihat antara faktor mencetuskan keterujaan orang ramai membeli tiket. Foto IG Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan

"Kita lihat kebangkitan ramai penonton tempatan yang datang ke pawagam untuk menikmati karya ini. Setakat ini, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan masih menjadi filem nombor satu mengalahkan karya Hollywood dan Asia yang sedang ditayangkan.

"Terbukti penonton kita khususnya orang Melayu tidak mengenepikan filem tempatan. Sebenarnya, mereka menunggu filem yang menepati cita rasa dan berkualiti," katanya yang bersyukur dengan pencapaian itu.

Syamsul mengaku kejayaan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan setakat ini membakar semangatnya untuk terus berkarya.

"Ini membakar semangat untuk terus menghasilkan filem yang menepati cita rasa orang kita. Itulah prinsip yang saya pegang selama ini dalam berkarya buat penonton Malaysia.

"Alhamdulillah, penonton dan penggemar filem tempatan tidak mensia-siakan karya yang mereka nampak ada sesuatu dan boleh pergi jauh," katanya.

Syamsul tidak menafikan penangan watak Mat Kilau hingga seolah-olah 'demam' pahlawan itu melanda negara.

"Saya tidak terlalu fokus kepada media sosial. Namun, ramai yang cakap filem ini sudah 'trending' di Twitter dan platform lain sejak tiga hari lalu.

"Malah, pelbagai ragam dapat dilihat di TikTok apabila ramai sanggup memuat naik klip video berkaitan filem ini," katanya.

Syamsul juga tersentuh apabila ramai warga emas sanggup datang ke pawagam menonton karyanya.

"Ini pencapaian luar biasa. Ada yang beritahu, ayah dan ibu yang sudah lama tidak menjejakkan kaki ke pawagam, meminta anak membawa mereka. Saya sangat tersentuh hati.

Mengenai semangat penonton berbusana Melayu klasik ketika berkunjung ke pawagam, Syamsul berkata:

"Situasi ini seolah-olah melihat bagaimana peminat Star Wars sanggup mengenakan kostum watak dalam filem terbabit.

"Ini suatu senario luar biasa dan tak pernah terjadi dalam penerbitan filem Melayu sebelum ini.

"Perkara ini jadi kebanggaan saya dan penerbit, Studio Kembara. Ini kebangkitan yang rakyat Malaysia, penonton filem tempatan dan pembikin cerita," katanya.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan diterajui Datuk Adi Putra yang diberi tanggungjawab menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.

Filem itu disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As'ari (Yassin).

Tidak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Namron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Filem Mat Kilau dibikin dalam suasana 1892 ketika kolonial British menduduki tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu.

Tidak membiarkan kebiadapan British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabatnya bangkit menentang British.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan menyebabkan British mengalami tekanan dan kerugian hingga berlakunya pertempuran sengit.

Berita Harian X