Jumaat, 17 Jun 2022 | 8:30am
Kejayaan skuad Harimau Malaya menewaskan Bangladesh pada aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang disiarkan di TV9 raih tontonan tinggi.
Kejayaan skuad Harimau Malaya menewaskan Bangladesh pada aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang disiarkan di TV9 raih tontonan tinggi.

Lebih 2.5 juta tonton detik kejayaan Harimau Malaya di TV9

KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad Harimau Malaya menewaskan Bangladesh pada aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Selasa lalu, bukan sahaja diraikan lebih 50,000 penonton di lokasi ikonik itu, malah lebih 2.5 juta audiens TV9 menyaksikan perlawanan itu secara langsung di saluran berkenaan.

Kenyataan TV9 menyebut, kajian Nielsen TV Audience Marketing menunjukkan lebih 335,000 penonton menyaksikan perlawanan itu secara strim langsung dalam definisi tinggi (HD) menerusi platform digital tonton.

"Liputan perlawanan antara Malaysia lawan Bangladesh di TV9 menampilkan Asrul Nizam Kadir selaku pengacara, manakala Hanif Miswan bertindak sebagai pengulas.

"Turut diundang sebagai tetamu jemputan adalah bekas pemain bola sepak Malaysia, Syed Adney Syed Hussein Nizam Kadir," kata kenyataan itu.

Pada perlawanan mendebarkan itu, Malaysia menunjukkan taring ketika berdepan Bangladesh dengan keputusan 4-1 hasil jaringan Safawi Rasid, Dion Cools, Syafiq Ahmad dan Darren Lok, sekali gus membawa Malaysia ke pentas Piala Asia 2023 secara merit lantas menamatkan penantian selama 42 tahun.

TV9 menambah, atas kejayaan penuh bermakna buat negara itu, pujian serta tepukan syabas wajar diberi kepada skuad Malaysia merangkumi barisan kejurulatihan diketuai Kim Pan Gon dan pemain dari penjaga gawang hingga penyerang.

"Ini termasuk penonton yang hadir ke stadium hinggalah rakyat Malaysia yang mengikuti setiap perlawanan kelayakan Piala Asia 2023," katanya.

Nantikan perlawanan bola sepak terkini dalam dan luar negara dari masa ke semasa di TV9.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini program TV9, layari http://www.xtra.com.my/ serta ikuti laman media sosial rasmi Facebook (FB), Instagram (IG) dan Twitter di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial.

Berita Harian X