Selasa, 14 Jun 2022 | 1:00pm
Gajet bercirikan gasing menjadi antara peralatan dan senjata digunakan Ali dalam siri animasi popular itu. Foto IG Ejen Ali Official
Gajet bercirikan gasing menjadi antara peralatan dan senjata digunakan Ali dalam siri animasi popular itu. Foto IG Ejen Ali Official

Musim baharu Ejen Ali janji keseronokan

KUALA LUMPUR: Terkenal dengan dunia penceritaan inovatif dan animasi berkualiti tinggi, francais animasi Ejen Ali berjaya mengangkat pengaruh kepelbagaian budaya di Malaysia dengan mengetengahkan teknologi moden yang digabungkan pelbagai elemen tradisional Malaysia dan serumpun.

Antaranya penggunaan unsur gasing dan kerambit sebagai gajet baharu serta seni mempertahankan diri silat.

Atas kelebihan itu, tidak hairanlah platform penstrimanan antarabangsa, Disney+ Hotstar berbesar hati dapat bekerjasama dengan WAU Animation dan Primeworks Studios (PWS) dalam menghasilkan musim ketiga siri Ejen Ali.

Ketua Kandungan dan Kreatif, Asia Tenggara dan Indonesia, Syarikat Walt Disney, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata pihaknya teruja memperkenalkan Ejen Ali kepada penonton Disney+ Hotstar di Asia Tenggara.

"Musim baharu ini adalah langkah kami untuk berkongsi pelbagai kandungan hebat tempatan dengan penonton di seluruh dunia.

Penonton Disney+ Hotstar bakal terhibur dengan jalan penceritaan menarik yang dibawakan WAU Animation yang digerakkan pengkarya kreatif sangat berbakat dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Foto Ihsan MPTN
Penonton Disney+ Hotstar bakal terhibur dengan jalan penceritaan menarik yang dibawakan WAU Animation yang digerakkan pengkarya kreatif sangat berbakat dalam musim ketiga siri Ejen Ali. Foto Ihsan MPTN

"Kami juga sungguh teruja melihat reaksi penonton, khususnya peminat setia yang mengikuti misi Ejen Ali dan ejen baharu apabila ditayangkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar, bulan ini," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Nini Yusof, berkata pihaknya berbangga menyajikan Ejen Ali kepada penonton serantau bersama Disney+ Hotstar.

"Usaha sama ini mencerminkan nilai tinggi yang kami letakkan pada kolaborasi penghasilan kandungan demi memperluaskan jumlah penonton di dalam dan luar Malaysia.

"Kami yakin penonton Disney+ Hotstar bakal terhibur dengan jalan penceritaan menarik yang dibawakan WAU Animation yang digerakkan pengkarya kreatif sangat berbakat.

"Kami berharap animasi tempatan yang menampilkan pelbagai suara dan rupa Asia ini akan memberi inspirasi kepada penonton setia dan penonton baharu untuk menerokai kandungan meluas yang boleh didapati di MPTN.

"Kami juga berharap penonton di luar Malaysia turut terhibur dengan kandungan kami yang tersedia di Disney+ Hotstar," katanya.

Dalam musim ketiga Ejen Ali, penonton bakal disajikan aksi hebat dan efek visual menakjubkan di mana Noorhayati Maslini, Azi Shafian dan Azman Zulkiply kembali mendukung watak asal mereka.

Tidak ketinggalan, Usamah yang bertindak sebagai pengarah dan ketua penulis skrip bersama pengarah kreatif dan suara, Shafiq Isa, turut meminjamkan suara mereka bagi beberapa karakter dalam siri ini.

Musim ketiga kisah perisik popular ini ditayang di Disney+ Hotstar mulai 25 Jun ini.

Berita Harian X