Isnin, 13 Jun 2022 | 11:00am
Amy (kiri) dan Hillary masing-masing memukau penonton pada Konsert Endemik Search 2022 di ibu negara, baru-baru ini. Foto Ihsan Penganjur Konsert Endemik Search 2022
Amy (kiri) dan Hillary masing-masing memukau penonton pada Konsert Endemik Search 2022 di ibu negara, baru-baru ini. Foto Ihsan Penganjur Konsert Endemik Search 2022

Pesan arwah ayah jadi azimat Amy

KUALA LUMPUR: Tiada apa lagi yang perlu dibuktikan legenda rock ini selepas menggegarkan ruang acara, Zepp Kuala Lumpur melalui Konsert Endemik Search 2022 yang berlangsung dua malam, pada 4 Jun lalu.

Dihambat kritikan konon tidak mampu beraksi dan vokal 'pancit', Amy menyempurnakan amanah sebagai vokalis band rock terkemuka, Search, melalui persembahan mantap pada usia mencecah 64 tahun.

Terbukti tenaga, stamina dan semangat ditunjukkan Amy atau nama sebenar, Suhaimi Abdul Rahman sukar ditandingi penyanyi muda, apatah lagi untuk bertahan berdekad-dekad lamanya dalam pentas muzik.

Enggan mendabik dada dengan kemampuan diri, Amy ketika ditemui pada majlis pelancaran buku Kejora nukilan Ashikin M di Petaling Jaya, Sabtu lalu, memberitahu, pesanan arwah bapanya menjadi azimat dalam menjayakan persembahan itu.

"Saya tidak pasti mengapa tindakan saya beri mikrofon kepada peminat (ketika membuat persembahan), orang simpulkan saya tidak boleh menyanyi.

"Namun, bagi saya, kata-kata arwah ayah sentiasa diingati. Arwah ayah menyatakan hari ini saya popular tetapi suatu hari nanti, kalau saya sudah tidak berkemampuan, orang akan caci biarpun saya sudah lama dalam industri ini.

Pada usia 64 tahun, Amy membuktikan kemampuannya terus bertahan dalam arena muzik pada Konsert Endemik Search 2022 di ibu negara, baru-baru ini. Foto Ihsan Penganjur Konsert Endemik Search 2022
Pada usia 64 tahun, Amy membuktikan kemampuannya terus bertahan dalam arena muzik pada Konsert Endemik Search 2022 di ibu negara, baru-baru ini. Foto Ihsan Penganjur Konsert Endemik Search 2022

"Arwah ayah berpesan kepada saya untuk sentiasa berbesar hati," katanya kepada BH Online.

Enggan membiarkan kata-kata negatif menguasai minda, Amy sebaliknya menyifatkan persembahan pada Konsert Endemik Search 2022 sebagai pencapaian luar biasa.

Malah, baginya, konsert itu menjadi malam epik dan penuh emosi.

"Sebelum saya menjayakan konsert itu, saya beritahu anggota band, ia akan menjadi malam yang epik... Itu adalah malam kami. Jadi, sememangnya, dua malam itu penuh emosi," katanya.

Kongsi Amy, dia menitiskan air mata mengenangkan kejayaan konsert itu yang mengumpulkan kira-kira 3,200 peminat pada kedua-dua persembahan.

"Isnin minggu lalu, selepas selesai sahaja konsert itu, saya menangis kegembiraan sepanjang pagi. Saya berkongsi kegembiraan dengan semua yang terbabit dalam acara konsert itu.

"Sepanjang proses merealisasikan konsert itu, macam-macam berlaku. Kotak suara saya luka kerana terlebih latihan. Saya sangat takut sebab pada usia saya ini, ini ambil masa untuk sembuh.

"Kemudian sebelah telinga saya juga tidak dengar. Saya kena berjumpa doktor untuk periksa. Malah, semua ahli band rasa hendak demam dan tekak seperti berpasir.

"Alhamdulillah, ketika konsert itu, semuanya baik-baik sahaja. Malam itu semua orang beremosi.

"Malam pertama konsert cukup kami nantikan. Semua orang tersenyum di atas pentas. Malam kedua berlangsung dengan baik... Alhamdulillah," katanya.

Amy turut bersyukur konsert yang hanya disiapkan sebulan setengah itu lancar.

Bapa kepada aktres dan pengacara, Nabila Huda, itu berkata persediaan sesebuah konsert lazimnya mengambil masa enam bulan.

"Persediaan untuk konsert ini agak kalut. Pada hari raya keempat kami baru berlatih di studio. Itupun selepas selesai merakamkan dua single baharu, Endemik I dan Endemik II.

"Ini sebenarnya kerja gila. Disebabkan itu, saya sangat berterima kasih kepada isteri saya, Norhasniza Hassan atau Nourish selaku penerbit eksekutif. Nourish yang bekerja keras dan memastikan semua lancar," katanya.

Bertanya mengenai sambutan memberangsangkan daripada peminat dan rakan seperjuangan dalam industri muzik terhadap konsert itu, Amy mahu menyimpan kemas semua itu sebagai memori indah buat Search yang sudah empat dekad berjuang di pentas seni.

"Sebelum bermain pada malam itu, kami ada fikir mengenai debaran beraksi di lokasi baharu dan sebagainya. Tetapi apabila melihat tiket VVIP sudah habis ditempah sebelum konsert dilancarkan, kami jadi optimis.

"Ini mengingatkan kami kepada perjalanan peminat kami iaitu dari zaman sekolah hinggalah sekarang. Dulu panjat pagar asrama untuk datang ke konsert, kumpul duit dan sebagainya.

"Kami anggap konsert malam itu adalah sebahagian daripada perjalanan hidup mereka.

"Saya ada kawan yang datang dari Johor. Dia menitiskan air mata apabila tengok kami di pentas. Selama empat dekad dia melihat kami, persembahan malam itu membuatkan dirinya sebak.

"Apatah lagi, ketika kami menyampaikan lagu Hello Kawan bagi memperingati Allahyarham Yazit. Saya menangis ketika menyampaikan lagu itu," katanya.

Puas dapat menyentuh hati ramai peminat pada malam itu, Amy bersyukur masih diberi kesihatan dan kudrat untuk menjayakan persembahan itu.

Amy bertekad tidak meletakkan noktah pada peranannya sebagai penghibur selagi Allah mengizinkan.

"Hari ini, empat dekad saya berada di atas pentas. Saya sangat bersyukur dengan kesempatan itu. Ini adalah perjalanan yang mengagumkan.

"Saya tidak akan berputus asa selagi Allah berikan saya kudrat dan kekuatan. Saya akan tetap berada di situ. Bagaimanapun segala-galanya, Allah tentukan.

"Tetapi saya tahu, suatu hari pentas itu akan sunyi apabila saya tiada. Jadi, saya mahu jadi 'raja' di sudut hati orang ramai," katanya.

Sementara itu, meminta mengulas sokongan positif diterima keluarga Allahyarham Yazit iaitu pemain dram legenda Search, Amy menghargai hubungan akrab mereka.

"Kami sangat akrab dengan keluarga Allahyarham Yazit. Isterinya, Ramlah dan anaknya, Shafiqa datang tengok konsert kami.

"Malah, banyak perkara saya tolong selesaikan, contohnya, bayaran royalti kerana itu pesan arwah.

"Saya panggil mereka (keluarga Yazit) untuk selesaikan. Sebab dari dahulu, kalau ada 'show' di mana-mana, malah sejak arwah sakit, kami beri sebahagian kepada beliau... Ini adalah tanggungjawab.

"Saya pernah berjanji ketika arwah sakit. Saya katakan pada kawan-kawan, ini tugas kita," katanya.

Konsert Endemik Search 2022 yang dibawakan LOL Asia dijayakan tiga pemuzik handalan iaitu Nasir Daud, Hillary Ang dan Man Kidal yang juga anggota asal kumpulan rock legenda itu.

Berita Harian X