Ahad, 29 Mei 2022 | 9:30am
Faizal bersyukur bersahabat dengan Yasin yang mengubah dirinya menjadi insan lebih baik. Foto NSTP Hazreen Mohamad
Faizal bersyukur bersahabat dengan Yasin yang mengubah dirinya menjadi insan lebih baik. Foto NSTP Hazreen Mohamad

Yasin ubah hidup FT

KUALA LUMPUR: Faizal Tahir kesal tidak mencuri masa bertanya khabar sahabatnya, Yasin Sulaiman sehingga komposer dan penyanyi itu berdepan tuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja, baru-baru ini.

Faizal berkata, beberapa hari sebelum Yasin ditahan, mereka sepatutnya berjumpa selepas lama tidak meluangkan masa.

"Kali terakhir kami berjumpa kira-kira setahun lalu... Lama tidak bertanya khabar Yasin. Itu sebabnya saya rasa lagi bersalah kerana tidak mencuri masa menjenguknya.

"Saya cuba hubungi Yasin sebaik mendapat tahun berita penahanannya. Tetapi, tentu sukar apabila sudah terjadi perkara itu. Cubaan untuk menghubungi peguam Yasin juga tidak berhasil.

Yasin berkongsi foto bersama Faizal di Instagram (IG). Foto IG Yasin Sulaiman
Yasin berkongsi foto bersama Faizal di Instagram (IG). Foto IG Yasin Sulaiman

"Saya tahu Yasin perlukan sokongan. Soal siapa betul, siapa salah... Saya tidak boleh komen," katanya pada majlis pelancaran single duet Alah Bisa bersama Amira Othman di sini, baru-baru ini.

Faizal berkata, Yasin menjadi antara teman akrab yang berjaya mengubah dirinya menjadi insan lebih baik di mana banyak aspek mengenai kehidupan dipelajari daripada penyanyi lagu Mimpi Laila itu.

"Apatah lagi dalam soal berkaitan agama dan al-Quran. Banyak yang saya belajar daripada Yasin sepanjang kami bersahabat. Saya belajar mengenai al-Quran, tadabbur dan perkara berkaitan kehidupan.

"Selain main 'games', kami gemar menonton YouTube untuk mencari input bermanfaat. Yasin suka berkongsi dan menurunkan ilmu.

"Yasin mengubah saya ke arah kebaikan dan positif... Hatinya bersih. Kalau orang tengok saya begini, nama yang saya akan kenang adalah Yasin.

"Seperkara lagi, dia tidak suka buruk sangka terhadap orang lain dan suka menolong," katanya.

Faizal atau nama penuh, Ahmad Faizal Mohammad Tahir berkata, mereka pernah menginap di kondominium sama tetapi berbeza blok.

"Saya masih ingat lagi, ketika saya dan Yasin tinggal di kediaman sama dan kami selalu menghabiskan masa berdua.

"Cuma apabila dia sudah berpindah, kami jarang bertemu," katanya.

Pada 31 Mac lalu, Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan susulan pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu.

Yasin juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama.

Terbaharu, Yasin sudah mendapatkan rawatan untuk penyakit bipolar yang dihidapinya, kali pertama sejak dia ditahan susulan kes ganja pada akhir Mac lalu.

Berita Harian X