Khamis, 26 Mei 2022 | 6:32pm
Kamaruddin (kiri) bersama Jasni Shafie (tengah) dan Abu Bakar Atan. - NSTP/Rohanis Shukri
Kamaruddin (kiri) bersama Jasni Shafie (tengah) dan Abu Bakar Atan. - NSTP/Rohanis Shukri

12 ikon penyiaran TV3 tampil dalam Buletin Utama

PETALING JAYA: Bagi mengubat kerinduan peminat, 12 ikon penyiaran TV3 akan memberi kejutan kepada penonton setia Buletin Utama dengan penampilan istimewa, sempena ulang tahun stesen berkenaan ke-38 pada 1 Jun ini.

12 penyampai akan terbabit dengan tujuh laporan khas membabitkan adalah Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Rosli Dahamin, Fuad Rahman, Datuk Jasni Shafie, Abu Bakar Atan, Zainal Ariffin Ismail, Ezzah Aziz Fawzy, Nurfarahin Jamsari, Azmi Aziz, Azura Abdul Karim, Datuk Dahlan Maamor dan Zakiah Anas.

Penyampai berita 'otai' itu akan digandingkan bersama barisan penyampai berita seperti Mior Abdul Malek Raiyani, Azaria Tagaya, Amirulhakim Lokman, Asrulnizam Kadir, Ezreena Amir Hamzah, Siti Khadijah Jaafar dan Khairul Rizuan Azizan.

Pengarang Kumpulan Berita Dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Kamaruddin Mape berkata, kemunculan barisan penyampai berita itu sudah tentu mengembalikan nostalgia dan mengubati rindu penonton yang ingin melihat ikon penyiaran beraksi semula dalam Buletin Utama.

"Untuk ulang tahun ke-38 kali ini, kami fikir mengapa tidak kami panggil penyampai berita sebelum ini. Ini juga atas permintaan penonton Buletin Utama.

"Penyampai berita otai ini seronok dan berminat untuk kembali ke studio walaupun gugup disebabkan sudah lama tidak keluar kaca televisyen.

"Antara paling lama tidak tampil di kaca TV adalah Rosli Dahamin, Fuad Rahman, Ezzah Aziz Fawzy dan Nurfarahin Jamsari.

"Kami ada juga mengundang Puan Sri Normala Samsudin dan Wan Zaleha Radzi, tetapi disebabkan mereka mempunyai komitmen lain," katanya kepada BH Online.

Kamaruddin yang mula bersiaran bersama Buletin Utama sejak 1996 berkata, penonton dapat melihat penampilan penyampai berita otai itu menerusi Buletin Utama bermula malam ini sehingga 1 Jun depan.

"Saya yakin pengalaman yang mereka ada, insya-Allah Buletin Utama sepanjang seminggu ini akan mendapat sambutan baik. Sebab saya percaya 'rating' akan naik kerana peminat sudah lama menunggu.

"Sekiranya mendapat maklum balas baik, kami akan fikirkan untuk meneruskan usaha ini, tahun hadapan. Ini disebabkan kami akan sedaya upaya berusaha untuk kekal sebagai stesen TV nombor satu," katanya.

Azmi Aziz bergandingan dengan penyampai berita, Siti Khadijah Jaafar menerusi Buletin Utama, malam esok. - NSTP/Rohanis Shukri
Azmi Aziz bergandingan dengan penyampai berita, Siti Khadijah Jaafar menerusi Buletin Utama, malam esok. - NSTP/Rohanis Shukri

Kamaruddin ditemui pada sesi 'mock run' bersama beberapa penyampai otai di Sri Pentas, di sini, petang ini.

Selain itu, uji bakat pencarian wajah baharu Buletin Utama yang mula beroperasi pada 1 Jun 1984 itu juga sedang rancak berlangsung di aplikasi TikTok dari 10 hingga 31 Mei ini mendapat sambutan memberangsangkan.

Ia mensasarkan kepada warga negara Malaysia yang berusia antara 19 hingga 30 tahun dalam usaha menggilap bakat muda menjadi 'wajah' Buletin TV3.

Bagi mereka yang berminat, boleh merakamkan video berdurasi lebih 60 saat, menyampaikan dua skrip berita dalam bahasa Melayu, Inggeris atau kedua-duanya dan muat naik ke aplikasi TikTok peribadi berserta tanda pagar Wajah Baharu Buletin TV3, Penyampai Buletin TV3 dan Buletin TV3.

Berita Harian X