Rabu, 25 Mei 2022 | 3:00pm
Siri animasi Keluang Man diterbitkan sebanyak tujuh musim dengan lebih 140 episod yang mengumpan peminat terutama kanak-kanak 1998.
Siri animasi Keluang Man diterbitkan sebanyak tujuh musim dengan lebih 140 episod yang mengumpan peminat terutama kanak-kanak 1998.

Siri animasi Keluang Man diangkat ke layar perak

KUALA LUMPUR: Pernah mencetuskan fenomena apabila ditayangkan di televisyen (TV) pada 1998, siri animasi legenda Malaysia, Keluang Man bakal diangkat ke layar perak.

Diilhamkan Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Kamn Ismail bersama pengasas dan Pemilik UAS Animation, Natashah Md Noor, siri animasi Keluang Man diterbitkan sebanyak tujuh musim dengan lebih 140 episod yang mengumpan peminat terutama kanak-kanak pada era itu.

Menampilkan adiwira yang diilhamkan daripada keluang, elemen komedi yang diselang selikan dalam siri animasi Keluang Man terus diingati biarpun sudah lebih dua dekad berlalu.

Watak Borhan yang juga Keluang Man sebagai pesakit di hospital mental di Tumpoi yang berubah menjadi adiwira bagi membanteras penjenayah pada waktu malam dengan bantuan rakan, Tiong Man, diminati ramai hingga timbul permintaan agar karakter terbabit dihidupkan semula.

Memenuhi kehendak peminat, Astro Shaw menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke atas filem bersama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd, baru-baru ini bagi menerbitkan filem aksi pertama, Keluang Man.

Kerjasama ini menjadi titik permulaan bagi Astro Shaw dan Iconic Animation Studio dalam memperkenalkan semula IP animasi adiwira legenda ini kepada generasi baharu, selain bakal menjadi adiwira tempatan terbesar, biarpun mengikut kisah asal, Keluang Man tidak memiliki kuasa ajaib, sebaliknya kepakaran solat, naluri dan sikap kejujuran tinggi.

Memenuhi kehendak peminat, Astro Shaw menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke atas filem bersama pemegang IP Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd, baru-baru ini.
Memenuhi kehendak peminat, Astro Shaw menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke atas filem bersama pemegang IP Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd, baru-baru ini.

Pengarah Iconic Animation Studio Sdn Bhd, Muhamad Firdaus Omar optimis dengan kerjasama terjalin bagi menerbitkan filem aksi Keluang Man.

"Jenama Keluang Man bertapak dalam industri animasi lebih 26 tahun. Karakter ini masih diingati dan diperkatakan dalam kalangan peminat.

"Kami yakin ramai menantikan kemunculan semula Keluang Man. Malah, perancangan untuk membawa animasi ini ke filem sudah lama dibuat.

"Alhamdulillah, akhirnya impian ini bakal terlaksana bersama Astro Shaw," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS), Amir Hamzah Hashim menyambut baik pembikinan filem Keluang Man dan menyokong usaha meneroka pasaran baharu jenama Keluang Man.

"Sebagai antara penggiat awal dan dipertanggungjawabkan sebagai penolong pengarah animasi dalam produksi asal, berita ini sangat menyegarkan dan memberi lebih tenaga kepada kami untuk terus menghasilkan karya baharu bagi tatapan peminat adiwira tempatan.

"Saya harap peminat dapat menyokong dan memberi reaksi positif apabila filem Keluang Man ditayangkan kelak," katanya.

Filem Keluang Man bakal memulakan proses praproduksi dalam tempoh terdekat dan penerbit dijangka mengumumkan tarikh tayangan di pawagam.

Berita Harian X