Sabtu, 21 Mei 2022 | 6:14pm
Didie enggan membiarkan dua sahabat baiknya, Ifa, Roslan terus bermusuhan.
Didie enggan membiarkan dua sahabat baiknya, Ifa, Roslan terus bermusuhan.

Didie mahu Ifa, Roslan lerai sengketa

KUALA LUMPUR: Kisah persengketaan dua selebriti, Ifa Raziah dan Roslan Shah sudah berlarutan sejak empat tahun lalu. Namun, 'permusuhan' itu belum ada tanda bakal terlerai.

Sebagai rakan baik, pengacara, Didie Alias mengharapkan, perselisihan faham antara Ifa dan Roslan dapat diselesaikan dengan cara baik dan secepat mungkin.

Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohd @ Ali berhasrat mempertemukan Ifa dan Roslan secara bersemuka.

"Saya mahu menemukan Ifa dan Roslan. Hanya cara ini sahaja persengketaan boleh selesai. Mereka sudah berkawan lama, masing-masing bercakap itu ini kerana tidak berjumpa depan mata.

"Roslan pernah beritahu, dia juga bersalah. Saya nasihatkan minta maaf sahaja. Jika Ifa minta maaf semula, maafkan sahaja, tak perlu ungkit cerita lama.

"Nak bergaduh sampai bila? Kita semua makin lama makin tua, takkan berterusan bermusuhan," katanya kepada BH Online.

Didie menjelaskan, dia pernah menasihati dua sahabatnya itu tidak memanjangkan persengketaan antara mereka.

Gara-gara isu pergaduhan seorang penyanyi veteran dan pelakon di sebuah ekspo di Singapura turut mengheret pertelingkahan Ifa dan Roslan pada 2018.
Gara-gara isu pergaduhan seorang penyanyi veteran dan pelakon di sebuah ekspo di Singapura turut mengheret pertelingkahan Ifa dan Roslan pada 2018.

Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada 2011, 2012 dan 2014 itu berkata, persengketaan tidak memberi manfaat kepada mereka.

"Baik Ifa mahupun Roslan, saya pernah tegur mereka, apa yang mereka dapat jika bergaduh lama-lama? Kalau bergaduh dengan Roslan yang mempunyai pengikut lapan juta dalam media sosial tidak mengapalah.

"Dahulu, Ifa dan Roslan pernah susah bersama. Jadi, apabila Allah kurniakan rezeki lebih, jangan buat seperti ini, memutuskan silaturahim.

"Roslan pun pernah tolong Ifa berniaga hingga ke Singapura. Tetapi, saya tak nafikan, Roslan ada kala perangai 'masuk air' juga. Jadi, sudah-sudahlah bersengketa, elok pertemukan mereka," katanya.

Terdahulu, gara-gara isu pergaduhan seorang penyanyi veteran dan pelakon di sebuah ekspo di Singapura turut mengheret pertelingkahan Ifa dan Roslan pada 2018.

Serangan demi serangan dilakukan di laman sosial, Instagram dan Facebook, namun, perselisihan antara mereka menjadi semakin tegang apabila segala kisah silam turut diungkit.

Ramadan lalu, Roslan pernah memohon maaf, tetapi Ifa tidak memberikan sebarang maklum balas.

Berita Harian X