Jumaat, 20 Mei 2022 | 3:00pm
Along menjelaskan, bekas isteri tidak dibenarkan membawa Ahmad Danial keluar atau tidur di rumahnya atas perintah mahkamah. - Foto IG Along Cham
Along menjelaskan, bekas isteri tidak dibenarkan membawa Ahmad Danial keluar atau tidur di rumahnya atas perintah mahkamah. - Foto IG Along Cham

'Along dituduh zalim, halang Zila jumpa anak'

KUALA LUMPUR: Lima tahun meraikan Syawal bersama anak tunggal tanpa kehadiran isteri, pelakon dan pelawak, Along Cham, 39, sudah semakin lali dengan situasi hidup bersendirian.

Namun, sebagai bapa, persiapan raya lebih banyak kepada anak tunggalnya, Ahmad Danial kini berusia 10 tahun.

"Dahulu fasa awal perceraian, tipulah jika tidak rasa sepi. Dengar takbir raya pun saya jadi sayu.

"Dalam hidup, siapa mahu berkahwin untuk bercerai? Namun, ini takdir hidup saya.

"Pada musim perayaan, saya lebih banyak menghabiskan masa bersama anak dan keluarga. Persiapan pun lebih kepada mereka, saya akan cuba penuhi segala keinginannya," katanya kepada BH Online.

Meraikan Syawal di rumah keluarganya di Johor Bahru, Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad berkata, dia selesa bersederhana menyambut Syawal.

"Selalunya raya paling seronok melihat golongan kanak-kanak. Kita yang besar panjang, kenalah 'standby' duit raya.

"Saya pun tidak terlalu terbeban nak pakai baju raya apa atau kena sediakan berapa pasang. Cukuplah saya bersederhana dalam segala perkara," katanya.

Bakal membintangi filem terbaharu arahan teman baiknya, Mawi berjudul Zim Zim Ala Kazim, Along juga menjawab kecaman netizen yang menuduhnya melarang bekas isteri yang juga penyanyi Zila Seeron bertemu dengan anak.

Dilihat seperti zalim, Along menjelaskan, Zila hanya tidak dibenarkan membawa Ahmad Danial keluar atau tidur di rumahnya atas perintah mahkamah.

Along mendedahkan kali terakhir bekas isteri bertemu dengan Ahmad Danial sebelum pelaksanaan PKP pertama pada 2020. - Foto IG Along Cham
Along mendedahkan kali terakhir bekas isteri bertemu dengan Ahmad Danial sebelum pelaksanaan PKP pertama pada 2020. - Foto IG Along Cham

Masih mengunci mulut punca perceraian, pelakon filem Adnan Sempit dan Hantu Kuat Ketawa itu berkata, dia masih berlembut hati berbanding segelintir lelaki yang terus melarang bekas isteri yang nusyuz bertemu anak.

"Ada netizen menghantar mesej langsung dalam media sosial dakwa kononnya mendapat maklumat saya melarang bekas isteri datang menjenguk dan bawa anak keluar rumah.

"Mungkin ada yang tidak faham situasi sebenar kerana tidak mengikuti kes perceraian kami. Dalam perintah mahkamah, Zila hanya dibenarkan melawat anak.

"Siapa yang mengikuti kes, mesti faham. Mungkin ada netizen yang baru tahu, nampak seolah-olah saya zalim.

"Mereka tidak baca atau faham keadaan sebenar dari awal. Saya memang tak buka mulut mengenai punca perceraian.

"Tetapi, saya tidak pernah larang, pintu rumah sentiasa terbuka buat Zila. Soal hak penjagaan anak, takkan tak faham hukum nusyuz. Kiranya, saya masih berlembut, sesetengah lelaki terus 'haramkan' berjumpa anak," kata Along.

Dalam pada itu, Along mendedahkan kali terakhir bekas isteri bertemu dengan Ahmad Danial sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 2020.

"Kali terakhir, Zila datang jumpa Ahmad Danial sebelum PKP yang pertama. Mungkin Zila ada alasan tersendiri kenapa tidak datang jenguk anak. Pintu rumah saya sentiasa terbuka untuknya datang melawat.

"Saya dapat tahu Zila sudah pun berkahwin. Tetapi, Zila dan Ahmad Danial ada berhubung menerusi telefon.

"Mungkin Zila sudah kahwin dan memiliki anak. Jadi, mungkin sibuk dengan tanggungjawabnya.

"Saya nak marah berlebihan pun tak boleh. Takkan saya nak paksa Zila datang tengok anak pula," katanya.

Along mendirikan rumah tangga dengan bekas bintang Akademi Fantasia musim keempat, Zila pada 23 Januari 2010 dan dikurnikan seorang cahaya mata, Ahmad Danial. Bagaimanapun, Along dan Zila bercerai talak satu pada 29 Ogos 2016.

Berita Harian X