Khamis, 19 Mei 2022 | 6:00pm
Adriana menjelaskan, rumah tangganya baik-baik sahaja, meskipun kurang memuat naik kehidupan rumah tangga dalam media sosial. - NSTP/Aziah Azmee
Adriana menjelaskan, rumah tangganya baik-baik sahaja, meskipun kurang memuat naik kehidupan rumah tangga dalam media sosial. - NSTP/Aziah Azmee

Adriana bahagia, tiada masalah rumah tangga

KUALA LUMPUR: Kurang berkongsi kehidupan rumah tangganya bukan bermakna pelakon dan pengacara, Adriana Adnan merahsiakan sesuatu, sebaliknya lebih selesa menjadikan platform media sosial berkongsi soal kerjaya, bukan peribadi.

Kata Adriana, 27, dia dan suami dalam keadaan yang baik-baik sahaja, meskipun kurang memuat naik mengenai kehidupan rumah tangga dalam media sosial.

"Suami bukan jenis suka bergambar dan perhatian. Dia jenis sederhana dan laman Instagram (IG) pun tidak banyak gambar saya. Dia juga bukan seorang aktif dalam media sosial.

"Disebabkan itu, saya juga jarang berkongsi kisah peribadi. Bagi saya, media sosial lebih kepada kerjaya dan rakan-rakan. Mengenai soal peribadi, saya tidak berkongsi dan simpan sedikit.

"Lagipun, media sosial hanyalah muka hadapan yang orang nampak. Di belakang, kita gembira macam mana, orang tak tahu pun. Tak mengapalah kalau tak tunjuk kebahagiaan sebab saya percaya 'evil's eyes' di mana-mana.

"Jadi, lebih baik saya tidak terlalu berkongsi soal peribadi dan hanya fokus pada kerja," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Adriana mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Harez Hazim Hazrin pada 31 Ogos 2019.

Mengulas cahaya mata selepas tiga tahun berkahwin, Adriana tidak menafikan, ramai mula bertanya kepadanya soal zuriat, apatah lagi, musim raya.

Adriana bersama barisan pelakon drama Seribu Nina pada majlis pratonton drama di Dadi Cinema, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee
Adriana bersama barisan pelakon drama Seribu Nina pada majlis pratonton drama di Dadi Cinema, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee

Namun, kata Ariana, dia menyerahkan soal zuriat kepada rezeki diberikan Allah.

"Dari awal berkahwin, saya tiada pun merancang bila mahu menimang cahaya mata. Bagi saya, kalau ada rezeki, adalah.

"Mungkin sekarang Allah berikan rezeki daripada segi kerjaya, berbanding anak. Jadi, saya bersyukur sebab rezeki dalam pelbagai bentuk dan terima dengan lapang dada.

"Lagipun, saya dan suami sedang fokus kepada kerjaya. Jika ada anak, takut tak dapat beri perhatian.

"Saya selalu berdoa pada Allah dikurniakan cahaya mata pada masa sesuai agar dapat memberikan perhatian sepenuhnya padanya," katanya.

Adriana ditemui pada majlis pratonton drama terbaharu berjudul Seribu Nina, di Dadi Cinema, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Adriana bersyukur, suami sentiasa menyokong, meskipun kini kembali sibuk berlakon.

Berkongsi peranan sebagai tunjang utama dalam drama Seribu Nina, Adriana berkata, dia seronok menjayakan naskhah yang menuntut dirinya menghidupkan lapan karakter.

"Saya menjayakan lapan watak. Sebelum ini, orang ramai nampak saya sebagai wajah HLive, tetapi menerusi drama boleh dikatakan saya 'balas dendam' untuk kembali aktif dalam dunia lakonan.

"Diharapkan menerusi projek drama ini, orang nampak saya boleh menjayakan watak heroin dan pelbagai jenis watak. Saya juga boleh bekerja dalam waktu panjang, insya-Allah," katanya.

Drama Seribu Nina turut dibintangi Syafiq Kyle dan Marsha Milan Londoh itu boleh ditonton menerusi platform Viu bermula hari ini.

Berita Harian X