Ahad, 15 Mei 2022 | 11:00am
Farah memegang watak gadis lasak bernama Liya dalam drama Scammer. Foto Ihsan Farah Nabilah
Farah memegang watak gadis lasak bernama Liya dalam drama Scammer. Foto Ihsan Farah Nabilah

Farah Nabilah kembali ke lokasi

KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua tahun memperlahankan aktiviti seni bagi memberi tumpuan kepada rumah tangga dan membesarkan anak, apatah lagi pandemik COVID-19 belum pulih, Farah Nabilah mengaku bukan mudah hendak kembali berlakon.

Namun, pemilik trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 ini beruntung kerana mempunyai sistem sokongan kuat di rumah.

Lantas, keputusan Farah beraksi semula di depan kamera dan melupakan seketika tanggungjawab sebagai ibu kepada Andre Omar, menjadi mudah.

"Pada mulanya, berbaur perasaan. Hendak jaga anak dan melihat dia membesar di depan mata jadi keutamaan.

Farah bersama suami, Mohamed Amirul dan anak mereka, Andre. Foto Ihsan Farah Nabilah
Farah bersama suami, Mohamed Amirul dan anak mereka, Andre. Foto Ihsan Farah Nabilah

"Andre juga sudah hampir dua tahun usianya. Emak, ibu mentua dan suami banyak membantu. Tetapi syukur, anak saya bukan jenis 'melekat' 24 jam dengan saya," katanya kepada BH Online.

Hakikatnya, Farah rindukan dunia lakonan.

"Namun, ada hikmah terjadinya pandemik COVID-19 hingga wujud Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya ada masa dengan anak dan keluarga di rumah. Malah, disebabkan PKP, anak saya membesar dengan baik dan dia seolah-olah memahami keadaan semasa," katanya.

Farah yang mencipta populariti melalui drama Titian Cinta dan Cik Reen & Encik Ngok Ngek bersyukur karier seni dan kehidupan peribadi lancar biarpun diuji pandemik COVID-19.

"Semuanya bagai tersusun cantik. Tuhan uji kita untuk memberi nikmat yang tidak dijangka," katanya.

Farah muncul dalam musim kedua drama Scammer musim yang disiarkan di Astro Ria. Dalam drama itu, Farah membawa watak Liya.

"Saya membawa watak berbeza kali ini. Sedikit lasak dan perlu tangkas kerana ada babak berlawan. Agak mencabar tetapi saya beruntung kerana dengan adanya bantuan pengarah dan pelakon lain, kerja lama-lama jadi mudah," katanya.

Melalui drama arahan Norhanisham Muhamad atau Labu itu, Farah berganding dengan Beto Kusyairy.

"Beto sangat profesional dan membantu saya sepanjang di set penggambaran. Labu pandai mendapatkan sudut sinematografi yang cantik dan 'mood' visual bagi menghidupkan jalan cerita," katanya.

Farah berkata, demi menghidupkan watak Liya, Farah melakukan senaman kecergasan demi mengekalkan stamina.

"Selain itu, saya jaga pemakanan. Kalau makan benda mengarut, senang berat badan naik," kata isteri kepada Mohamed Amirul Yunus ini.

Berita Harian X