Selasa, 10 Mei 2022 | 1:00pm
Saraleana menjelaskan filem JanGo mengetengahkan beberapa unsur komedi antara budaya Melayu dan Cina di Malaysia. Foto Ihsan Zebra Studio
Saraleana menjelaskan filem JanGo mengetengahkan beberapa unsur komedi antara budaya Melayu dan Cina di Malaysia. Foto Ihsan Zebra Studio

Filem JanGo sasar global

KUALA LUMPUR: Selepas filem dialek Negeri Sembilan, Gadis Jolobu The Movie, Syarikat Zebra Studio tampil dengan karya baharu, JanGo yang mengetengahkan budaya Melayu dan Cina untuk tayangan global, tahun ini.

JanGo, ringkasan untuk Jangan Goyang ialah produksi usaha sama antara Zebra Studio dari Malaysia dan Times Multimedia Innovation Ltd yang berpangkalan di Hong Kong.

JanGo menjadi filem rentas budaya dalam dwibahasa iaitu Melayu dan Cina yang pertama di Malaysia dengan menggabungkan empat pelakon Melayu dan Cina sebagai pemain watak utama.

Pengasas dan Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi, berkata idea menghasilkan filem JanGo dicetuskan dua pelakon utamanya, Khir Rahman dan Joey Daud.

"Ketika penggambaran filem Gadis Jolobu The Movie, Khir dan Joey mengetengahkan idea menghasilkan filem JanGo.

"Saya tanya apa maksud JanGo, ini kerana saya tidak melihat program realiti yang pernah mereka sertai.

"JanGo adalah nama kumpulan Khir, Joey dan Vicha, mereka pernah diangkat sebagai juara dalam program realiti itu. Dari pada situ, datangnya idea menghasilkan filem JanGo.

"Namun, lebih istimewa kami menggabungkan pelakon berbangsa Cina. Untuk JanGo 1.0, kami akan fokus di Malaysia, kemudian, Khir dan Joey akan terbang ke Shanghai, China menjalani penggambaran filem JanGo 2.0.

"Sepatutnya, kami perlu ke China terlebih dahulu disebabkan mempunyai pelabur dari China. Namun, kami belum sempat membuat kajian.

Saraleana (lima dari kiri) bersama barisan pelakon, pengarah dan pasukan filem JanGo ketika sidang media, baru-baru ini. Foto Zebra Studio
Saraleana (lima dari kiri) bersama barisan pelakon, pengarah dan pasukan filem JanGo ketika sidang media, baru-baru ini. Foto Zebra Studio

"Kami terpaksa menghasilkan filem JanGo 1.0 di Malaysia," katanya kepada BH Online.

Saraleana berkata, apa yang menarik, JanGo juga mengetengahkan beberapa unsur komedi antara budaya Melayu dan Cina di Malaysia.

Tambah Saraleana, pihaknya teruja menjalin kerjasama dengan syarikat produksi Hong Kong kerana projek itu menonjolkan campuran budaya dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Saya mahu pelakon Malaysia diberi peluang mengetengahkan bakat ke luar negara terutama di Hong Kong dan China.

"JanGo dianggap suatu peluang untuk menarik penonton antarabangsa. Dengan pendekatan ini, ia membolehkan kita mencapai matlamat membawa karya dari Malaysia ke peringkat global," katanya pada majlis pelancaran filem JanGo, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pengeluaran, Syarikat Times Multimedia Innovation Ltd Hong Kong, Tony Leung.

Mengulas tahap keyakinannya untuk menerbitkan filem JanGo 2.0 ketika sambutan terhadap filem sulung masih belum pasti, Saraleana percaya karya komedi mampu diterima baik di mana-mana sahaja.

"Genre filem ini adalah komedi dan aksi. Jadi, ia boleh diterima dengan baik di seluruh dunia.

"Sebelum ini, jika kita tengok komedi di Malaysia, ia membabitkan Melayu sahaja. Sama juga dengan filem komedi Cina.

"Namun, menerusi filem JanGo, kami mahu campuran komedi Melayu dan Cina. Jadi, pelakon Cina yang dipilih dalam filem ini boleh bercakap dalam bahasa Melayu.

"Joey dan Khir akan bertutur bahasa Cina untuk menceritakan bagaimana kita hidup dengan dua kaum ini.

"JanGo seperti filem Rush Hour yang menggabungkan pelakon Cina dan kulit hitam. Jadi, kami yakin filem JanGo boleh diterima dengan baik," katanya.

Selain Khir dan Joey, filem JanGo turut mengetengahkan pelakon Cina yang cukup popular di Singapura, Zhang Yaodong dan Chris Tong.

Bagi Saraleana, gabungan pelakon memainkan peranan penting untuk membawa filem tempatan ke peringkat global.

Sehubungan itu, dia yakin gabungan empat pelakon terbabit boleh membawa filem JanGo ke peringkat lebih tinggi.

"Kalau hendak bawa karya ke peringkat global, kita tak boleh menggunakan pelakon sama. Perlu campur dan ketengahkan pelbagai pelakon dengan pelakon berpengalaman dan baharu perlu seiring," katanya.

Bakal diarahkan sutradara berpengalaman, CL Hor, filem JanGo mula menjalani penggambaran di Lembah Klang, sejak kelmarin.

JanGo mengisahkan dua sahabat karib yang bekerja di ladang durian. Suatu hari, mereka membuat keputusan

meninggalkan kampung halaman demi kehidupan lebih baik di kota.

Secara tidak sengaja, mereka ditawarkan dua ketua agensi perisikan untuk menjadi ejen rahsia dan melakukan misi ke China.

Berita Harian X