Sabtu, 7 Mei 2022 | 11:00am
Kelly kalis kecaman dan kritikan netizen yang sering menganggapnya tidak layak bergelar penyanyi. - Foto IG Kelly Azman
Kelly kalis kecaman dan kritikan netizen yang sering menganggapnya tidak layak bergelar penyanyi. - Foto IG Kelly Azman

Enggan hirau kritikan, Kelly tetap menyanyi

KUALA LUMPUR: Semakin kalis dikecam, selebriti serba boleh, Kelly Azman tetap mahu memeriahkan suasana Syawal menerusi lagu raya berjudul Nikmat Di Hari Raya.

Lagu ciptaan S Atan dan lirik oleh Tanty dan Miss Darna itu dinyanyikan bersama kakak Tomok yang juga penyanyi Ismaliza Ismail atau Isma.

Lebih mengujakan, pemilik nama sebenar Raja Azman Raja Ayob itu berpeluang menyanyikan lagu ciptaan komposer otai yang disegani ramai, S Atan itu.

"Saya memang meminati karya ciptaan S Atan, banyak lagu raya yang menjadi malar segar dihasilkan. Siapa sangka S Atan sudi menghasilkan lagu buat saya, akhirnya mimpi saya jadi kenyataan.

"Idea menghasilkan lagu Nikmat Di Hari Raya datang secara spontan bersama Isma. Ia sepatutnya dilancarkan tahun lalu, namun, tertangguh disebabkan pandemik COVID-19.

"Jadi, lagu Nikmat Di Hari Raya hanya dapat dilancarkan, tahun ini.

"Saya bersyukur segala-galanya dipermudahkan," kata Kelly yang sebelum ini pernah muncul dengan dua single iaitu No No No dan Kepulangan Di Hari Raya.

Kelly berkolaborasi bersama Isma menerusi karya ciptaan S Atan berjudul Nikmat Di Hari Raya. - Foto IG Kelly Azman
Kelly berkolaborasi bersama Isma menerusi karya ciptaan S Atan berjudul Nikmat Di Hari Raya. - Foto IG Kelly Azman

Menerusi lagu Nikmat Di Hari Raya, Kelly dan Isma bekerjasama dengan Sony Music Malaysia.

"Lagu ini mengisahkan nikmat kembali meraikan lebaran bersama keluarga dan teman tersayang.

"Selepas lebih dua tahun tidak dapat beraya dan pulang ke kampung halaman, tentunya keghairahan menyambut Syawal tahun ini sangat berbeza," katanya.

Dalam pada itu, Kelly sudah kalis kecaman dan kritikan netizen yang sering menganggapnya tidak layak bergelar penyanyi.

Namun, bagi juri program All Together Now Malaysia ini, dia mempunyai pendirian tersendiri.

"Ramai tidak berpuas hati dengan kehadiran saya, selama ini. Tetapi, saya enggan mudah mengalah.

"Saya percaya kehadiran lagu Nikmat Di Hari Raya akan dikritik, lebih lagi, apabila ada netizen menganggap vokal saya tidak seberapa.

"Namun, saya tidak boleh memuaskan hati semua orang. Saya yakin bakat dan suara diberikan Tuhan untuk menghiburkan peminat.

"Di sebalik kecaman, ada juga peminat memberikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi. Jadi, ia menjadi sebab untuk saya terus berusaha tanpa rasa lelah.

"Lagipun, bidang seni adalah minat saya. Saya tidak akan berhenti untuk memberikan yang terbaik," katanya.

Kelly memaklumkan, dia dijangka muncul dengan single bergenre balada selain dalam perancangan berkolaborasi bersama trio penyanyi 'Budak -Budak Baru Nak Up (BBNU) menerusi lagu ciptaan Sharon Paul.

Lagu Nikmat Di Hari Raya boleh didengari di semua platform penstriman digital sejak 15 April lalu.

Berita Harian X