Khamis, 5 Mei 2022 | 6:00pm
Raja Ilya dan suami berharap dapat meraikan Syawal bersama anak dan keluarga dirindui di Malaysia, tahun depan. - Foto IG Raja Ilya
Raja Ilya dan suami berharap dapat meraikan Syawal bersama anak dan keluarga dirindui di Malaysia, tahun depan. - Foto IG Raja Ilya

Sarat hamil, Raja Ilya pendam rindu rai Syawal di Malaysia

KUALA LUMPUR: Hatinya terlalu rindu dengan keluarga, namun, pelakon Raya Ilya, 37, terpaksa meraikan Aidilfitri di Perth, Australia berikutan sarat mengandung anak pertama.

Raja Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad berkata, usia kandungan kini sudah mencecah 30 minggu, jadi, dirinya risau menaiki kapal terbang.

"Ini adalah tahun ketiga saya menyambut raya di Perth. Kali terakhir saya menyambut Syawal di Malaysia pada 2019.

"Memandangkan raya pada bulan Mei, saya pula dijadualkan melahirkan anak pertama pada Julai, jadi saya hanya ada tempoh 10 minggu sahaja lagi.

"Disebabkan itu, saya tidak mahu mengambil risiko menaiki kapal terbang. Kalau pulang pun, sudah tentu saya mahu berada di Malaysia dalam tempoh sebulan atau dua bulan.

"Kami pula sudah menempah bidan dan semua berkaitan urusan kelahiran, sudah diselesaikan di Perth. Jadi, keputusan yang terbaik adalah pulang pada hujung tahun ini," katanya kepada BH Online.

Raja Ilya mempunyai tempoh 10 minggu lagi sebelum melahirkan bayi sulung di Perth. - Foto IG Raja Ilya
Raja Ilya mempunyai tempoh 10 minggu lagi sebelum melahirkan bayi sulung di Perth. - Foto IG Raja Ilya

Tambah pelakon filem Suamiku, Encik Perfect 10 itu, lebih membuatkannya risau menaiki kapal terbang apabila doktor memaklumkan 'plasenta' rendah.

"Lagipun ini, ini kali pertama saya hamil, jadi tidak biasa dan enggan mengambil risiko. Sebab pada awal kehamilan doktor sudah mengatakan 'plasenta' saya terlalu rendah, jadi saya kena berhati-hati.

"Tahun ini, saya tak larat nak buat apapun, nak buat rumah terbuka pun tak berdaya. Dua tahun sebelum ini kami buat rumah terbuka walaupun raya dalam musim sejuk.

"Namun, kami pergi beraya di rumah kawan-kawan Malaysia dan saya hanya masak lemang dan rendang untuk suami," katanya yang bakal menimang cahaya mata perempuan.

Bagaimanapun, Raja Ilya tidak menafikan, perasaan rindunya menyambut lebaran di tanah kelahirannya dan berharap boleh meraikan Syawal bersama cahaya mata dan keluarganya, tahun depan.

"Saya sangat rindu. Setiap tahun jika berada di Kuala Lumpur saya sibuk dengan penggambaran sepanjang Ramadan. Kemudiannya, pulang beraya di Ipoh bersama ibu dan adik-beradik.

"Insya-Allah, saya harap dapat 'raya sakan' balik kampung, tahun depan," katanya.

Terdahulu, Raja Ilya mendirikan rumah tangga bersama lelaki warga negara Australia, Trent Garret pada Disember 2018.

Selepas mendirikan rumah tangga, Raja Ilya berpindah ke Perth dan sudah dua tahun tidak pulang ke Malaysia akibat penularan pandemik COVID-19.

Berita Harian X