Ahad, 1 Mei 2022 | 11:00am
Mengetengahkan konsep ceria, lagu Raya Terbaik nyanyian Dayang, Hannah dan Sophia bawa pendengar mengimbau kemeriahan sambutan Aidilfitri di kampung halaman.
Mengetengahkan konsep ceria, lagu Raya Terbaik nyanyian Dayang, Hannah dan Sophia bawa pendengar mengimbau kemeriahan sambutan Aidilfitri di kampung halaman.

Raya Terbaik satukan Dayang, Hannah, Sophia

KUALA LUMPUR: Buat kali pertama, tiga penyanyi, Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha dan Sophia Liana berpadu suara menerusi lagu Raya Terbaik.

Ia adalah salah satu lagu Edisi Raya All Out syarikat rakaman Universal Music Malaysia. Sebelum ini, syarikat rakaman itu melancarkan lagu Balik Kampung menggabungkan lima rapper popular, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, Asyraf Nasir dan Yonnyboii, Dolla dan Hael Husaini (Suara Lebaran Kita) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza (Lip Lap Raya) dan The Gadys (Gadys Raya).

Lagu Raya Terbaik ciptaan sepenuhnya oleh Ajay Amai, Banni Basyishar, Sophia dan Ja'a.

Mengetengahkan konsep ceria, lagu Raya Terbaik membawa pendengar mengimbau semula kemeriahan sambutan Aidilfitri di kampung halaman bersama orang tersayang.

Penerbit lagu Raya Terbaik, Banni Basyishar berkata, perwatakan dan kekuatan vokal berbeza memberikan 'mood' dalam menjadikan lagu raya berbeza.

"Lagu Raya Terbaik menggabungkan beberapa elemen muzik tradisional seperti inang, joget dan sedikit koplo pada bahagian korus. Rentak tradisional ini diiringi alat muzik bunyian moden.

"Saya percaya sudah lama tiada lagu raya tidak menampilkan muzik seperti ini. Ia satu kelainan dalam menyuntik keistimewaan," katanya kepada BH Online.

Dayang menyifatkan lagu Raya Terbaik berentak rancak seperti yang ingin disampaikan dalam lirik.

"Lagu ini sangat 'fun'. Jika tengok lirik, ia lebih kepada kemeriahan suasana hari raya.

"Jadi, harapan saya pendengar 'vibes' kemeriahan hari raya bersama keluarga," katanya.

Dayang menyifatkan lagu Raya Terbaik berentak rancak seperti yang ingin disampaikan dalam lirik.
Dayang menyifatkan lagu Raya Terbaik berentak rancak seperti yang ingin disampaikan dalam lirik.

Berkongsi gabungan bersama Hannah dan Sophia, Dayang berkata, proses rakaman berjalan lancar.

"Proses rakaman senang dan berjalan lancar kerana masing-masing ada bahagian.

"Saya masuk suara dahulu, sebelum Hannah dan Sophia. Sebelum rakaman, saya berjumpa dengan Hannah, sebab nak tengok bahagian mana sesuai untuk saya dan Hannah.

"Sama seperti penggambaran video muzik, ia berlangsung dalam suasana meriah sama seperti digambarkan dalam lirik.

"Penggambaran video muzik ambil masa lama sebab membabitkan tiga penyanyi. Namun, apa yang ditonjolkan suasana hari raya yang disambut meriah bersama keluarga.

"Secara keseluruhan, penggambaran amat seronok walaupun penat," katanya.

Hannah berpendapat, lagu Raya Terbaik memiliki muzik segar dan mampu menarik perhatian pendengar.

"Ini adalah lagu raya. Sudah tentu lagu ini menceritakan detik gembira ketika meraikan Syawal. Pada hari raya, sudah tentu kita mahu berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan.

"Jadi, lagu ini memberikan 'vibes' menyeronokkan, segar dan menarik. Ia juga kolaborasi lagu raya pertama saya dengan dua penyanyi hebat dalam industri muzik," katanya.

Lagu Raya Terbaik kini sudah tersedia di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. Tayangan video muzik dilancarkan, sejak kelmarin.

Berita Harian X