Sabtu, 23 April 2022 | 3:00pm
Siti Saleha dan Shukri tidak pernah bertelagah, jauh sekali bermasam muka selama bertahun-tahun menjadi teraju drama 7 Hari Mencintaiku. - Foto IG Siti Saleha
Siti Saleha dan Shukri tidak pernah bertelagah, jauh sekali bermasam muka selama bertahun-tahun menjadi teraju drama 7 Hari Mencintaiku. - Foto IG Siti Saleha

'Serasi dalam sengketa'

KUALA LUMPUR: Belum pernah dua bintang yang mencetuskan fenomena menerusi siri trilogi 7 Hari Mencintaiku, Shukri Yahaya dan Siti Saleha bertelagah mahupun bermasam muka, sepanjang tiga musim bergandingan bersama.

Jika sesekali berbalah pun hanya disebabkan watak Khuzairi dan Mia Adriana yang dibawakan drama arahan Jamal Khan dan terbitan SR One Sdn Bhd itu.

Di luar penggambaran hubungan Siti Saleha dan Shukri tidak pernah berdepan bermasalah biarpun mereka terlalu selesa dan lama bersama.

Keserasian Khuzairi dan Mia membawa tuah apabila pasangan hero heroin itu berjaya menggenggam trofi Pasangan Pilihan, Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur pada 2017 dan Pasangan Drama Terbaik, Anugerah Drama Sangat, tahun lalu.

Malah, drama bergenre melodrama, cinta, keluarga dan konflik turut menggenggam Drama Adaptasi Novel Terbaik, Anugerah Drama Sangat, tahun lalu.

Sehingga kini, nama Siti Saleha dan Shukri masih menjadi sebutan peminat yang tidak sabar menantikan siri trilogi 7 Hari Mencintaiku 3 yang menemui penonton, sejak semalam.

Siti Saleha mengakui, Shukri ibarat penyuntik semangat untuknya ke lokasi penggambaran, saban hari. Ini memandangkan mereka perlu bersama selama 78 hari di lokasi penggambaran bagi menyiapkan naskhah drama 7 Hari Mencintaiku 3.

"Alhamdulillah, kami belum pernah bermasam muka mahupun bertelagah selama 78 hari bersama. Bukan kata musim sebelum ini kami pernah bergaduh, namun, hubungan sentiasa baik sejak musim pertama lagi.

"Saya memang membawa semangat Shukri datang ke lokasi. Hubungan sentiasa positif, malah keakraban sudah diibaratkan seperti satu keluarga.

"Walaupun berdepan isu peribadi atau apa sahaja masalah di rumah, namun, sebaik melangkah ke lokasi, semuanya menunjukkan sikap positif dan bersemangat untuk bekerja," kata Siti Saleha kepada BH Online.

Siti Saleha membawa semangat Shukri datang ke lokasi, malah, hubungan sentiasa positif dan keakraban diibaratkan satu keluarga. - Foto IG Siti Saleha
Siti Saleha membawa semangat Shukri datang ke lokasi, malah, hubungan sentiasa positif dan keakraban diibaratkan satu keluarga. - Foto IG Siti Saleha

Bagi wanita kelahiran Basildon, England itu, perkara pertama dibimbangkan adalah andai pengikut drama yang mungkin merasakan tiada kelainan dipaparkan untuk siri trilogi ketiga itu.

Namun, pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu yakin dengan sentuhan idea Siti Rosmizah Semail sentiasa hadir dengan kejutan dalam setiap episod.

"Saya akui, perkara paling membimbangkan membabitkan penerimaan penonton selepas menonton drama terbahari.

"Saya risau jika penonton merasakan graf musim ketiga drama tiada beza dengan drama sebelum ini, di mana Mia dan Khuzairi bergaduh dan kemudiannya, berbaik semula.

"Saya bimbang persepsi penonton mengatakan konfliknya hanya sama sahaja. Namun, saya percaya Siti Rosmizah tahu peranannya sebagai penulis.

"Ini kerana setiap episod ada kelainan dan setiap plot mempunyai tarikan tersendiri," kata Siti Saleha.

Bagi Shukri, dia sentiasa cuba membawa aura positif ketika di lokasi penggambaran.

"Andainya melihat ada di kalangan teman-teman kurang ceria, saya akan cuba sebaik mungkin untuk menawan hati mereka.

"Jujurnya, saya seronok kembali memasuki siri trilogi 7 Hari Mencintaiku 3. Alhamdulillah, bukan sahaja hubungan saya dengan Siti Saleha terus mencipta keserasian, malah sesama pelakon lain juga baik-baik sahaja.

"Saya dan Siti Saleha tidak pernah mempunyai sebarang masalah, sebaliknya saya berasa seronok dapat bersatu semula bersama keluarga Mak Leha dan Pak Samad yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

"Drama ini sepatutnya menjalani penggambaran lebih awal, namun, agak lama tertangguh disebabkan sekatan pandemik COVID-19. Jadi, sudah tentu saya kembali teruja dapat bersatu dalam keluarga 7 Hari Mencintaiku," katanya.

Shukri yakin drama 7 Hari Mencintaku 3 bukanlah karya yang ‘cliche’ dan peminat tidak boleh mengagak jalan ceritanya. - Foto IG Shukri Yahaya
Shukri yakin drama 7 Hari Mencintaku 3 bukanlah karya yang ‘cliche’ dan peminat tidak boleh mengagak jalan ceritanya. - Foto IG Shukri Yahaya

Mengulas penerimaan peminat untuk naskhah siri trilogi itu, Siti Saleha dan Shukri optimis drama itu bakal memberikan impak sama seperti musim terdahulu.

Berbeza dengan kerisauan Siti Saleha, Shukri yakin drama 7 Hari Mencintaku 3 bukanlah karya yang 'cliche'.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berharap, peminat teruja menantikan kemunculan drama berkenan sebagaimana dirinya.

Tambahnya, apa yang menarik peminat tidak boleh mengagak jalan ceritanya, tidak seperti dua naskhah terdahulu dari adaptasi novel.

"Sebagai pelakon, saya berasa sangat teruja untuk musim ketiga kerana jalan cerita lebih menarik dan tidak boleh didapati daripada mana-mana novel. Jadi, saya harap peminat turut teruja.

"Jika ditanya soal kerisauan, jujurnya, saya langsung tidak gusar, sebaliknya yakin penonton akan lebih teruja menonton siri trilogi ini.

"Lagipun, drama 7 Hari Mencintaiku 3 bukan berkaitan Mia dan Khuzairi semata-mata, sebaliknya setiap pelakon ada cerita yang menjadikan drama ini menarik," katanya.

Siti Saleha dan Shukri ditemui pada sidang media drama 7 Hari Mencintaiku 3 secara virtual, minggu lalu.

Sebanyak 35 episod drama menemui penonton menerusi slot Akasia setiap hari, jam 6.58 petang di TV3 dan boleh ditonton di platform iQiyi, sejak semalam.

Selain Siti Saleha dan Shukri, drama 7 Hari Mencintaiku 3 turut dibintangi Kazar Saisi, Liza Abdullah, Syazwan Zulkifly, Wan Sharmila, Jaja Iliyes, Wafariena Roslan, Bil Azali, Faye Kusairi, Jasmin Hamid, Anne Abdullah dan ramai lagi.

Berita Harian X