Sabtu, 16 April 2022 | 5:00pm
Afad menghiburkan pengunjung yang berbuka puasa di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA di Sepang yang turut diisi dengan solat Maghrib, Isyak dan Terawih berjemaah. Foto NSTP Owee Ah Chun
Afad menghiburkan pengunjung yang berbuka puasa di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA di Sepang yang turut diisi dengan solat Maghrib, Isyak dan Terawih berjemaah. Foto NSTP Owee Ah Chun

Sembuh daripada angin ahmar, Afad beri motivasi

SEPANG: Selepas diserang angin ahmar, akhir tahun lalu, bekas anggota kumpulan nasyid Raihan, Afad Raihan, 38, bersyukur diberi peluang untuk terus hidup.

Diuji empat bulan sejak November tahun lalu, Afad atau nama sebenar, Zulfadli Mustaza mengaku banyak bertawakal dan cuba melawan penyakit itu sehabis kuat.

"Serangan angin ahmar berlaku secara mengejut. Ketika itu, saya hendak mengisi minyak kereta. Kaki tiba-tiba kebas dengan tidak semena-mena.

Afad bersyukur dapat melalui proses pemulihan selama empat bulan selepas diserang angin ahmar, November tahun lalu. Foto NSTP Owee Ah Chun
Afad bersyukur dapat melalui proses pemulihan selama empat bulan selepas diserang angin ahmar, November tahun lalu. Foto NSTP Owee Ah Chun

"Sebelah kanan tubuh jadi lumpuh," katanya kepada BH Online.

Afad berkata, sebelum kejadian, dia sibuk melakukan kerja pengurusan acara yang dikendalikan syarikat sendiri, ZM Yakiniztiz selain memenuhi undangan persembahan.

"Sebelum insiden itu, saya baru balik daripada menunaikan umrah. Ketika angin ahmar menyerang, tekanan darah naik sampai bacaan 230," katanya pada sidang media Iftar Ramadan 1001 di Hotel Movenpick dan Pusat Konvesyen, KLIA baru-baru ini.

Afad bagaimanapun bersyukur kesihatannya stabil ketika diserang angin ahmar.

"Ketika itu berat badan saya mencecah 140 kilogram (kg). Kalau Tuhan hendak uji, dalam apa juga situasi kita pun, ia tidak mampu dihalangi.

"Saya reda. Pendarahan otak membuat saya jadi pelupa. Saya lambat berfikir. Doktor beritahu risikonya boleh buat mereka yang kena tidak boleh cakap dalam setahun.

"Sejak Januari lalu, saya sudah boleh berjalan perlahan-lahan. Saya elak guna tongkat. Saya banyak ikhtiar termasuk berjumpa pakar sendi membetulkan balik saraf, fisioterapi dan ubat hospital," katanya.

Ketika diuji, Afad menyangka dia sudah tidak boleh menyanyi lagi.

"Keadaan itu memberi tekanan kerana suara. Nyanyian jadi punca rezeki saya. Hendak cakap pun kena 'push'. Ada ketika tidak boleh keluar suara.

"Namun, besarnya keajaiban Tuhan, saya sudah boleh bercakap macam biasa," katanya.

Afad juga bersyukur dikurniakan isteri yang baik dan doa daripada kedua ibu bapa sepanjang diuji angin ahmar.

"Allah juga beri rezeki kawan yang baik. Kawan tiba-tiba hubungi saya meminta nombor akaun bank untuk beri sumbangan tanpa diminta-minta.

"Artis ketuhanan Indonesia, Opick pun pernah mendoakan saya menerusi telefon bimbit dari kejauhan. Saya kebetulan pernah menguruskan persembahannya di Malaysia sebelum ini, jadi kami ada hubungan baik," katanya.

Afad bersyukur mampu menyanyi semula dan menguruskan syarikat diusahakannya itu.

"Saya turut diundang memberi ceramah dan semangat sebagai 'stroke survivor'," katanya.

Bercerita mengenai kegiatan seninya, Afad berkata, selepas meninggalkan Raihan, dia bergerak solo termasuk menubuhkan band Afad & Friends selain mengendalikan syarikat pengurusan acara sejak 15 tahun lalu.

"Saya bersama Raihan dari 2006 hingga 2016. Salah seorang anggota kumpulan itu, Che Am ada hubungi saya untuk memaklumkan soal agihan royalti. Che Am juga benarkan saya menggunakan nama Raihan.

"Sejak sebulan lalu juga, saya didekati pengurusan Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen (KLIA). Rezeki itu saya kongsi dengan kawan seperjuangan termasuk Raihan, InTeam, Hijjaz, Rabbani, Nowseeheart, Saujana, Daqmie dan Fitri Haris.

"Kami ada giliran untuk menghiburkan tetamu yang datang berbuka puasa. Ia disusuli dengan solat Maghrib, Isyak dan Terawih secara berjemaah," katanya.

Berita Harian X