Isnin, 11 April 2022 | 1:00pm
Penyanyi, Mas Idayu dan Putra Amaris menyampaikan bantuan kepada keluarga asnaf sempena
Penyanyi, Mas Idayu dan Putra Amaris menyampaikan bantuan kepada keluarga asnaf sempena

Rezeki program Infaq Ramadan #samasamakenyang

KUALA LUMPUR: Pelakon Putra Amaris, 37, bersyukur projek Infaq Ramadan #samasamakenyang bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Dapur Pasar Kuala Lumpur (Dapur Pasak) disokong dengan tajaan berterusan.

Amaris berkata, dia tidak menyangka mendapat bantuan keperluan dan makanan untuk diagihkan kepada golongan asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek.

"Alhamdulillah, Allah beri saya rezeki yang luar biasa dan tidak disangka. Niat saya memulakan projek amal dua hari sebelum Ramadan, tetapi saya fikir adakah kuota mencukupi sepanjang 30 hari berpuasa.

"Bukan sahaja asnaf, tetapi ada 30 sekolah tahfiz menunggu kedatangan untuk membeli baju raya. Saya ragu-ragu antara kami dapat tunaikan atau sebaliknya, tetapi saya yakin aturan Allah lebih baik.

"Syukur Allah izinkan. Satu setengah lori penuh barang dan satu van daripada Adabi untuk diberikan kepada golongan asnaf. Saya juga mendapat tajaan beberapa pihak seperti McDonalds.

"Memang luar biasa tajaan diperoleh hingga saya tidak tahu nak berkata-kata," katanya kepada BH Online.

Amaris ditemui pada majlis pelancaran projek Infaq Ramadan di PPR Jelatek, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Namun, Amaris berharap usaha menghulurkan sumbangan tidak berakhir begitu sahaja.

Putera Amaris, Mas Idayu bersama pasukan Dapur Pasak menyasarkan projek Infaq Ramadan membantu lebih ramai golongan asnaf. - NSTP/Hazreen Mohamad
Putera Amaris, Mas Idayu bersama pasukan Dapur Pasak menyasarkan projek Infaq Ramadan membantu lebih ramai golongan asnaf. - NSTP/Hazreen Mohamad

Katanya, dia menyeru lebih ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan membantu golongan asnaf yang hidup kekurangan.

"Tolong hebahkan projek ini kerana kami menyasarkan membantu lebih ramai golongan asnaf, setiap hari sepanjang Ramadan ini. Ada juga artis veteran yang juga seorang asnaf yang kami mahu bantu.

"Golongan asnaf di Kuala Lumpur bukan hanya 2,000, malah dilaporkan ramai lagi. Jadi, dengan sumbangan diberikan dapat membantu mereka sepanjang Ramadan ini.

"Kami memerlukan sumbangan dan sokongan ramai. Semoga dengan bantuan ini, kita semua boleh membantu meringankan beban mereka," katanya.

Program Infaq Ramadan #samasamakenyang itu bertujuan meringankan beban golongan tidak berkemampuan, selain membantu perjuangan mereka bangkit dari kejatuhan dan kesusahan yang menimpa.

Objektif utama menyasarkan bantuan kepada 2,000 orang, antaranya golongan asnaf, anak yatim, orang kurang upaya (OKU), gelandangan, anak tahfiz dan golongan B40.

Lebih membanggakan, inisiatif terbabit mendapat sokongan penuh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Semua aktiviti sepanjang Ramadan akan diuruskan sendiri oleh sukarelawan Dapur Pasak dan pasukan Putra Amaris.

Amaris berkata, kesemua aktiviti dilakukan bagi memastikan mereka dapat menyantuni golongan yang memerlukan.

"Saya berharap inisiatif ini dapat mengurangkan beban mereka dalam bulan Ramadan ini dan sedikit sebanyak membantu mengharungi kehidupan seharian," katanya.

Berita Harian X