Khamis, 7 April 2022 | 8:30am
Seramai 16 selebriti popular tampil sebagai wajah Kempen Ramadan Raya 2022 menerusi TV3 dan TV3.
Seramai 16 selebriti popular tampil sebagai wajah Kempen Ramadan Raya 2022 menerusi TV3 dan TV3.

Hayati Ramadan, Aidilfitri bersama 16 selebriti

KUALA LUMPUR: Bertemakan Seikhlas Hati, stesen TV3 dan TV9 merancakkan Kempen Ramadan Raya 2022 dengan menampilkan 16 artis popular sebagai wajah kempen.

Ia membabitkan Fedtri Yahya, Sharifah Rose, Fasha Sandha, Nelydia Senrose, Haqiem Rusli, Aina Abdul, Nabila Razali, Meerqeen, Redza Rosli, Raysha Rizrose, Hael Husaini dan Andi Bernadee bagi TV3.

Manakala, TV9 pula menampilkan Datuk Rosyam Nor, Aprena Manrose, Mark Adam dan Kim Hassan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata wajah kempen turut menjayakan program istimewa yang akan disiarkan di Ramadan dan Syawal.

"TV3 dan TV9 meneruskan tradisi menyajikan program menarik merangkumi genre inspirasi, travelog, drama, bual bicara, gaya hidup dan hiburan untuk tatapan penonton dua saluran ini.

"Penonton boleh membeli-belah dan membuat persiapan raya dengan tawaran hebat disediakan oleh segmen beli-belah di rumah, WOWSHOP," katanya.

Beliau berkata, lebih menarik, laman web rasmi kempen iaitu http://www.xtra.com.my/seikhlashati turut menyediakan koleksi e-Kad Seikhlas Hati yang menampilkan 16 wajah selebriti kempen itu.

"Ia boleh dimuat turun dan dikongsi dalam sosial media. Malah, menerusi laman sesawang boleh diikuti artikel dan tips Ramadan, resipi makanan serta restoran yang menyediakan bufet menarik sepanjang Ramadan.

"Tidak ketinggalan, senarai program menarik Ramadan dan Raya di TV3 dan TV9, ucapan serta kata-kata mutiara daripada selebriti popular dan juga paparan menarik di sebalik penggambaran video bagi kempen ini," katanya.

Antara program menarik wajib ditonton sepanjang Ramadan semestinya program Jejak Rasul di TV3.

Sertai pengembaraan masa Fedtri Yahya ke zaman Tanah Melayu di mana Raja-raja Melayu dikuasai oleh imperialis Inggeris dan menyaksikan pemimpin alim ulama yang mengorbankan nyawa demi mempertahankan kedaulatan dan maruah agama serta bangsa.

Ia dipersembahkan menerusi program Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul ll yang disiarkan sejak 1 April lalu, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 6.30 petang.

Program bual bicara, Sembang Sahur menemui penonton TV3 bermula Ramadan, setiap Rabu dan Khamis, jam 11 malam menampilkan Aina Abdul dan Haqiem sebagai artis jemputan untuk berkongsi topik menarik berkaitan dengan Ramadan dan Aidilfitri.

Meerqeen antara selebriti yang dipilih sebagai wajah Kempen Ramadan Raya 2022. - Foto Ihsan TV3
Meerqeen antara selebriti yang dipilih sebagai wajah Kempen Ramadan Raya 2022. - Foto Ihsan TV3

Saksikan drama komedi lakonan Nabila Razali iaitu Mem & Bibik-Bibik menerusi slot Azalea, setiap Isnin hingga Khamis, jam 2 petang sejak 4 April lalu. Ia turut dibintangi Rozita Che Wan.

Sharifah Rose melakonkan watak Daneena yang terpaksa berkahwin secara olok-olok demi menyembunyikan diri daripada rancangan jahat ibu saudaranya dalam drama bersiri, Do You Love Me, Captain? menerusi slot Lestary bermula 13 April ini, setiap hari Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam.

Gandingan mantap Fasha dan Nelydia pula boleh diikuti menerusi drama bersiri Khilaf Asmara terbitan Radius One Sdn Bhd arahan Uchee Fukada yang akan disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 bermula 18 April ini, Isnin hingga Jumaat, jam 10 malam.

Bagaimanakah Hanim (Fasha) menangani krisis rumah tangga apabila dikhianati oleh Irma (Nelydia) disayangi dan dipercayai selama ini?

Di TV9 pula, ikuti perbincangan dan kupasan isu semasa yang tular dalam media sosial daripada perspektif agama Islam secara santai dalam program Sembang Viral Mega yang dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor.

Rosyam pula ditemani bersama panel ustaz dan selebriti jemputan yang menemui penonton TV9 sejak 28 Mac lalu, setiap Isnin, jam 9.30 malam.

TV9 turut menyajikan drama 30 Hari Sebelum Raya arahan Shuhaimi Lua. Drama itu dibintangi Mark Adam, Aprena Manrose dan ramai lagi menerusi slot Diandra, setiap Isnin hingga Khamis, jam 8.30 malam sejak 29 Mac lalu.

Tidak ketinggalan, Kim Hassan mengendalikan WOWSHOP dengan tarikan diskaun segera dan pelbagai tawaran pulangan tunai di platform perayaan gaya hidup sehenti, WOW Seikhlas Hati bagi persiapan pra-Ramadan dan Aidilfitri.

Tema Seikhlas Hati dipilih sebagai tanda peringatan kepada kita supaya tidak mengharapkan balasan atau penghargaan dalam setiap perbuatan yang dilakukan.

Dalam erti kata lain, kita harus sentiasa bersyukur dan reda dengan ujian dihadapi kerana setiap berlaku menjadikan kita lebih kuat dan tabah.

Ramadan menjadi saat dan peluang meningkatkan amal ibadah dan memperoleh pelbagai ganjaran dengan sentiasa bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan seikhlas hati.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai program TV3 dan TV9, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia @TV9Malaysia.

Berita Harian X