Jumaat, 1 April 2022 | 8:30am
Alif terharu Allahyarham Rudy sering memberi sokongan dalam setiap aktiviti dilakukannya. Foto IG Alif Satar
Alif terharu Allahyarham Rudy sering memberi sokongan dalam setiap aktiviti dilakukannya. Foto IG Alif Satar

Alif ingat pesan abang Rudy

KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Alif Satar menyifatkan bekas wartawan Harian Metro dan penulis lirik, Allahyarham Rudy Imran Shamsudin, 47, rakan berbakat besar dan insan penyayang.

Alif, 31, berkata, nasihat dikongsi Allahyarham Rudy ketika mula bertapak dalam dunia seni mekar dalam ingatan.

"Saya sedih... Dalam perjalanan ke sidang media ini, saya sebak ketika menulis kapsyen di Instagram Story (IGs) mengenai pemergian Abang Rudy.

"Mungkin momen saya dan Abang Rudy tidak banyak, tetapi kuat. Saya masih ingat lagi, pada 2006 ketika saya sertai One In A Million, ketika itu, saya berusia 16 tahun.

"Saya mungkin bukan peserta paling berbakat, tetapi saya ingat, arwah nasihatkan saya menyusun jawapan sebaik-baiknya sebelum disoal media. Dia memberikan idola saya sebagai contoh, iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Coretan dimuat naik Alif mengenai pemergian Allahyarham Rudy di Instagram Story (IGs). Foto IG Alif Satar
Coretan dimuat naik Alif mengenai pemergian Allahyarham Rudy di Instagram Story (IGs). Foto IG Alif Satar

"Arwah cakap apabila Siti jawab soalan media, dia akan bayangkan bagaimana laporan bakal dibuat. Nasihat itu yang saya ingat sampai sekarang," katanya kepada BH Online.

Tambah Alif, nasihat diberi Allahyarham Rudy menjadi azimat untuk dirinya terus bertapak dan mencipta kejayaan dalam karier.

"Nasihat arwah memberi impak kepada cara pemikiran saya. Setiap kali saya bercakap dengan rakan media, nasihat dan suaranya ada di belakang otak saya.

"Saya akan terus ingat apa yang arwah Abang Rudy cakap," katanya.

Alif berkata, Allahyarham Rudy juga sering memberi sokongan dalam setiap aktiviti dilakukannya.

"Arwah selalu datang persembahan dan acara saya. Apabila arwah datang, saya berbesar hati kerana dia wartawan yang dihormati.

"Arwah juga menonton drama lakonan saya dan memberi komen yang baik kerana dia pelakon," katanya.

Alif menyifatkan pemergian arwah Rudy sebagai kehilangan besar kepada industri seni.

"Saya harap akan ada generasi wartawan hiburan yang merasakan suatu tanggungjawab untuk mempengaruhi artis melalui pena seperti arwah," katanya pada sidang media Alif Satar & The Locos X Raihan, The Sunnah The Better di Hadramawt Kitchen, Jalan Ampang, di sini, petang semalam.

Selepas lebih tiga tahun melawan kanser usus, Allahyarham Rudy meninggal dunia di kediaman keluarga di Semenyih, Selangor, kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.

Allahyarham Rudy yang menggunakan nama pena, Iman Imran, difahamkan baru keluar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Isnin lalu, selepas dimasukkan ke wad akibat keadaan kesihatan yang makin merosot, sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, arwah ketika itu meminta keluarganya merahsiakan perkembangan kesihatannya daripada pengetahuan orang lain.

Berita Harian X